“No Victory Without Suffering”
“Kejayaan ini adalah amanah. Sudah pasti memerlukan seribu ketabahan untuk mengharungi perjalanan yang berduri sebelum dapat mencium kuntuman mawar yang cantik dan indah ini. Dunia ini tempat kita menanam sebanyak mungkin benih-benih kebaikan. Di sana nanti tempat kita menuainya,” Dr. Sharifah Marzety Adibah Al Sayed Mohamad, pemenang Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2024/2025.
Saat hadir di studio, saya terkejut juga kerana Dr. Zety mengenakan pakaian sama sewaktu majlis Anugerah Wanita Ikon Malaysia. Lengkap bersongket dengan selempang tudung juga songket. “Maaf, saya tiada baju yang cantik sesuai untuk sesi penggambaran hiasan WM dan Borak WM. Sejujurnya saya dan suami baru sampai dari Mesir, terus ke majlis malam semalam, dan paginya ke sini. Baju tajaan daripada Yani Baktier pula terlalu ketat.”
Kerisauan bertambah melihat baju-baju yang telah kami sediakan, “Mungkin tidak sesuai kak,” katanya. “Try first,” saya memujuk. “Ini pun baru saya korek dari almari baju, since you're still in town, kita siapkan kerja-kerja shooting sebelum Dr. pulang ke Kuala Terengganu. Lagipun saya diberitahu Zety akan ke Thailand lusa.”
Siapa Dr. Zety? Anak kelahiran Kampung Padang Air Deras, Bukit Payong, Terengganu punya cerita pahit yang membuat kami di studio, (terkala beliau bercerita),masing-masing mengesat air mata yang berlinangan. Untuk permulaan, Zety mengandung sebanyak 14 kali, ada meninggal sebaik melahirkan anak, ada meninggal setelah beberapa bulan dilahirkan, ada meninggal dalam kandungan, ya 14 orang tetapi yang tinggal cuma tujuh.
“Allah menguji saya bermacam-macam dan saya menerimanya dengan hati yang tabah. Saya tahu akan ada cahaya setelah suram, akan ada yang Allah anugerahkan setelah sekian banyak keperitan yang dialami. Saya membesar dengan seribu kepayahan. Sedari kecil sudah mula membanting tulang membantu ibu yang kerjanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, bersama melayani tujuh lagi adik beradik yang kecil. Ibu awalnya makan gaji, kerana ketidak kecukupan beliau berniaga, tetapi perniagaan bermasalah dan segalanya hilang sekelip mata, jatuh bankrup. Sebagai anak sulung seperti dipertanggungjawabkan, saya terpaksa meringankan tugas ibu, tolong dia berniaga, waktu sama menjaga adik-adik seramai enam orang. Dan belajar, berjanji pada diri mesti menjadi top in the class and top all rounder; bersukan, berpantun, berpidato..”
Maaf bertanya, “bagaimana dengan ayah Zety? Zety terdiam seketika, “Dia orang senang…” Dan kata-kata tergantung di situ.


“Melihat ibu yang melalui pelbagai derita, dianinaya dan penderaan, kami juga kekadang menjadi mangsa untuk melepaskan kekecewaannya, (besar kemungkinan kerana bankrup) saya tak tahu nak cerita tetapi pengalaman pahit itu membuat saya menjadi kuat dan bersemangat untuk keluar daripada kehidupan yang memeritkan. Azam saya apa juga penderitaan ini tidak sepatutnya berpanjangan, mesti ada titik noktah. Dan seperti dimahukan ibu, saya mesti menggenggam ilmu hingga ke peringkat paling tinggi. Ibu mahu saya sampai ke peringkat Ph.D dan saya buktikan kepadanya.”
Dari awal lagi, Dr. Zety menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang sosial dan keusahawanan. Setelah menamatkan pengajian dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia dari KUSZA pada 1999, ceritanya, beliau meneruskan pengajian di peringkat sarjana muda dan memperoleh ijazah dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling di UPM, Terengganu pada 2002. Menyambung lagi pengajian dan memperoleh ijazah sarjana dalam Sains Sosial 2006 dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Tidak berhenti di situ, Zety melanjutkan pengajian akademiknya dengan memperoleh Ph.D dalam bidang Kaunseling dari Universiti Malaya (UM) pada 2011 dan menyambung pengkhususan dalam Expressive Art Therapy di Philips Island, Melbourne Australia pada 2016.
Dr. Zety melengkapkan dirinya dengan pelbagai kelayakan profesional yang memperkukuhkan lagi kemahiran dan pengetahuannya dalam bidang kaunseling dan psikologi. Beliau memperoleh Certificate in Expressive Therapies With Children And Adolescent dari Expressive Therapies Institute of Australia pada 2014, menjadi Kaunselor Berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia pada tahun yang sama. Beliau juga memiliki kelayakan dalam Creative Arts Therapy dari JM Counseling and Therapy Unit pada 2008 dan Certificate in Max Recall Memory Training dari Memory Learning Dynamics Sdn Bhd pada 2006.
Bertitik tolak dengan kerjaya sebagai seorang guru kaunselor kemudian meneruskan kerjaya sebagai Pensyarah di Universiti Malaysia Terengganu bermula 2011 hingga 2018. Zety menjawat beberapa jawatan penting di dalam universiti pada ketika itu antaranya Timbalan Pengarah (Penyelidikan & Komuniti), Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) UMT, dan Pengerusi Program, Penyelidikan Komuniti Pesisiran, Pusat Pembangunan Sosioekonomi, Institut Penyelidikan Kenyir, Universiti Malaysia Terengganu. Antara pencapaian terbaik adalah membangunkan Modul Cendekiawan Islam yang digunakan untuk melahirkan saintis Islam di kalangan pelajar sekolah di Negeri Terengganu.
Dari dunia akademik, katanya dia meneroka bidang keusahawanan dalam sektor pertanian. Ia sesuatu yang di luar perancangannya. “Satu ketika saya diberitahu doktor bahawa kandungan saya bermasalah, dan perlu digugurkan atau saya dan kandungan dalam keadaan amat bahaya. Namun kami suami isteri percaya kepada ketentuan Allah. Saya meneruskan kandungan. Benar apa yang dikatakan pakar, saya diuji dengan cabaran kesihatan yang sangat besar. Saya didiagnosis dengan penyakit saraf dan tulang belakang yang menyebabkan saya lumpuh, ya tidak dapat berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda selama setahun. Anak selamat.
“Rupanya ada hikmah di sebalik cuti tanpa gaji selama setahun dan berkerusi roda itu. Saya selalu ingat, zaman kanak-kanak saya yang tidak seperti kanak-kanak lain, mereka boleh bermain, boleh berseronok-seronok tetapi saya tidak. Jadi untuk menyeronokkan hati, saya mencari kedamaian dengan mencium bau-bau mawar yang ditanam sekeliling rumah. Harumannya menghidupkan jiwa, dan saya berangan-angan menjadi ala-ala cinderella manari-nari di celah-celah mawar yang berkembangan dan rama-rama berterbangan. Ibu juga masa kecil selalu menyebut dia mahu membina rumah putih di kelilingi jambangan-jambangan ros. Saya menunggu saat itu tetapi dek kerana kemiskinan ia hanya impian. Di saat sakit saya ikhtiar untuk sembuh melalui terapi dan rawatan khususnya terapi bersama bunga ros. Berkat usaha dan doa, saya akhirnya mampu bangun kembali.

“Sayugia, ketika itu Allah membuka hati dan mata saya. Saya tahu apa juga yang saya ingin, ia selalu menjadi kenyataan. Kerana saya akan usaha sampai jaya. Kalau dulu, saya mahu menjadi top student, misalnya, saya usaha untuk berdiri megah dengan keputusan terbaik. Teringat, sampai kawan-kawan sepengajian dan pensyarah sendiri tidak sedar saya mengandung sehingga perut memboyot baru mereka tahu. Baru seminggu melahirkan anak, saya sudah kembali ke kelas, kerana saya tidak mahu tersangkut untuk mendapatkan degree misalnya.
“Kata saya, ya, cukup lah kerja makan gaji. Saya mahu menjadi entrepreneur. Mak tidak merestui kerana pengalaman peritnya berniaga, tetapi suami saya, dia amat yakin kepada keupayaan dan kehendak hati saya.”
Bermulakan dengan Zety Roses Garden & Farm, taman ros terbesar di Malaysia (diiktiraf oleh Jabatan Pertanian) yang menjadi destinasi pelancongan popular peminat peminat Ros seluruh Malaysia. Juga kami bangunkan beberapa buah syarikat antaranya Zety Roses Legacy Sdn Bhd. Syarikat ini juga bertanggungjawab menghasilkan produk-produk penjagaan tanaman seperti baja, tanah, semburan khas tanaman serta produk makanan yang berasaskan ros. Juga mengusahakan sebuah cafe iaitu Zety Roses Garden Cafe di dalam Taman Rosnya, berkonsepkan kafe dalam taman ala alam bunian. Keistimewaan kafe ini adalah dari segi konsepnya di dalam taman ros dan menu-menu istimewa yang berasaskan mawar. Belum puas di situ Dr. Zety juga mengasaskan Zety Roses Natural Life, sebuah syarikat yang menghasilkan produk kecantikan berasaskan ros.
Rumah putih ilham mak didirikan di kelilingi kawasan lebih empat ekar taman bunga mawar. Sebagai seorang yang kerjanya banyak membuat research, pada saya ilmu pertanian yang saya ceduk dalam pelbagai sumber seluruh dunia, memudahkan penanaman dan membangunkan perniagaan ini dengan lancar.
Melihatkan galakan yang diterima daripada orang ramai, berduyun-duyun bas pelancongan singgah ke taman ros, hadir pula ilham untuk memulakan Zety Roses Umrah & Tour, syarikat pelancongan yang menawarkan pakej umrah serta pelancongan di luar negara dan Zety Roses Golden Diamond, sebuah syarikat yang khusus dalam penjualan barang-barang kemas yang diperbuat daripada emas dan berlian.
Selain itu, kemahiran kaunseling Dr. Zety juga menjadi aset penting dalam aktiviti tanggungjawab sosial yang beliau jalankan. Melalui pelbagai program pemindahan ilmu seperti Jejak Remaja Hebat, Personaliti Diri Unggul, dan Rebuilders: I’m Possible, beliau telah membantu ramai individu, terutamanya golongan muda dan ibu bapa, dalam membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran interpersonal, dan mengatasi pelbagai cabaran kehidupan. Program-program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, tetapi juga memperkukuhkan lagi peranan beliau sebagai kaunselor dan ahli perniagaan yang berdedikasi dan berwibawa.


Dr. Zety menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan nasional. Pada 2023, beliau dinobatkan sebagai No 1 Asean Entrepreneur Women Winner oleh Indonesian Award Magazine. Juga menerima anugerah Brand Prestigious Women CEO di World Muslimpreneur Award Malaysia 2022 dan Rising Star CEO dalam 100 Top CEO 2022. Pada 2022, calon Tokoh Usahawan Terengganu. Pencapaian ini menunjukkan bahawa usaha dan dedikasi beliau diiktiraf di peringkat tertinggi. Dr. Zety juga diletakkan sebaris dengan tokoh-tokoh usahawan dan mereka yang berjaya di Malaysia. Profil Dr.Zety telah pun dimasukkan ke dalam ensiklopedia biografi Britishpedia’s Successful People In Malaysia. Buku ini mengumpulkan tokoh-tokoh usahawan, politik, CEO syarikat di Malaysia yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Sebelum pulang, saya sempat bertanyakan beberapa soalan, dan dijawab serba ringkas.
Bagaimana rasanya dinobatkan sebagai pemenang? Pulang membawa nama kepada wanita Terengganu khasnya. Gembira dan syukur. Tetapi penuh rasa kerisauan juga kerana kemenangan ini satu amanah dan tanggungjawab yang besar.
Bercakap tentang entrepreneur, tiga perkara penting menjadi ahli perniagaan berjaya? 1. Sentiasa berfikir positif. 2. Banyak memberi. 3.Berusaha bersungguh-sungguh.
Yang paling menyusah sebagai entrepreneur? Mengurus pekerja untuk sama-sama menjiwai visi dan misi syarikat serta mencapai halatuju tersebut. Nak bangkit dan bangun semula bisnes setelah mengalami kerugian jutaan ringgit dan modal sudah habis.
Kualiti yang bagaimana wajib dimiliki ahli perniagaan. Dan pengalaman menjalani? Sanggup berkorban apa sahaja untuk mencapai apa yang telah dirancangkan demi manfaat dan kebaikan komuniti serta orang ramai. “No victory without suffering.”
Bagaimana Dr. Zety pasarkan perniagaan. Bezanya berbanding dulu dan sekarang? Marketing menggunakan semua platform media sosial Facebook, Tiktok, Instagram, Website & Google. Bisnes yang sedang dijalankan ini memang sangat berbeza dengan bisnes dengan yang lain. Bisnes bidang pertanian bunga ros ini satu-satunya di Malaysia. Dulu bermula dengan hobi tetapi berkembang atas dasar membantu komuniti.
How do you stay top in your industry? Bisnes penanaman / pertanian bidang ros agak rare kerana tiada yang berani menceburi bidang ini. Saya sentiasa kembangkan bisnes ini daripada satu produk ke produk yang lain.
Bagi yang baru hendak bermula menjalankan perniagaan, what advice would you give them? Buat sesuatu biarlah yang unik lain daripada yang lain. Kalau nak berjaya dalam apa-apa bisnes yang kita ceburi bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan kerana melalui halangan tersebut adalah pembelajaran untuk mencapai kejayaan demi kejayaan.
Pulang dengan satu anugerah yang besar, Wanita Ikon Malaysia 2024/25, menjadi tanggungjawab anda memperkasakan wanita terutama di negeri Terengganu, dengan title yang anda bawa, apa yang mahu didahulukan? Dan bagaimana? Saya dahulukan dengan memulakan program-program transfer knowledge untuk membuka minda para wanita untuk penerokaan pembangunan diri. Setiap hari Sabtu seperti biasa, saya menjemput wanita-wanita datang berkunjung di taman ros saya untuk saya kongsikan perjalanan menuju kejayaan yang telah saya capai ini secara percuma dan mendapat kuntuman ros secara percuma juga. Ia terapi diri. Daripada transfer knowledge ini, ilmu akan berkembang dan menjana pendapatan.


Dalam kita berusaha menjalani hidup seharian, what will you never compromise on? A. perniagaan. B. mendidik anak-anak? Mesti ada perancangan dan target yang hendak dicapai, kalau tiada boleh mati. Pada anak-anak, tentang disiplin dan jaga masa. Ini wajib patuh.
Sebagai isteri, ibu dan kakak sulung kepada adik-beradik, apa yang mahu Dr. sampaikan kepada mereka? Memberi fahaman kepada mereka bahawa apabila saya bergelar sebagai CEO syarikat, apatah lagi bergelar Ikon Malaysia, saya telah menjadi milik komuniti dan masyarakat dan bukan milik mereka sahaja. Jadi masa dan fokus saya harus banyak diberikan kepada komuniti juga masyarakat.
Typical day for you? Memastikan diri saya dan orang-orang yang saya pimpin dapat mencapai target harian mereka seperti yang telah dirancang.
Dengan bisnes travel and tour, yang juga mengambil masa seminggu dua, pergi bersama suami, siapa pula mengelolakan anak-anak? Kehidupan mereka pasti tidak sama dengan kehidupan masa kecil Dr. yang menghadapi banyak kesusahan dan kepahitan hidup, jadi bagaimana pula caranya Zety mendidik mereka menjadi lebih berdikari, kuat semangat dan mengimpikan yang besar dalam hidup? Mereka saya tinggalkan bersama pembantu rumah. Mereka tidak mengalami zaman kanak-kanak seperti saya tetapi saya mendidik daripada kecil untuk berdikari dan turut sama sertai apa-apa aktiviti bisnes harian kami. Kami melatih mereka daripada kecil untuk sama-sama terbabit membantu menjayakan perjalanan bisnes ini.



Bila punya masa lapang, selain melayan mawar-mawar yang sedang berkembang, apa yang Dr. suka lakukan? Your ME time. Selain hobi menanam ros, saya suka memasak, melancong dan pergi spa.
Anda telah melawat ke merata dunia, yang mana paling menarik dan mengapa? Saya bercita-cita untuk menghabiskan hari tua saya nanti di bumi Makkah atau Madinah dan membawa keluarga saya menetap di sana. Bumi itu memberi saya seribu ketenangan yang tidak ada di tempat lain.
Nantikan, Dr. Zety akan bersiaran di dalam Borak WM ‘heart to heart’ bersama pemenang Wanita Ikon Muda Malaysia, Cik Norsidayati Mustari.
Facebook: Zety-Roses-ZR
Instagram : drzetyroses
Tiktok : zetyroseszr
Website : www.zetyroses.com
Penghargaan kepada Yayasan Restu dan Nasyrul Quran
Gambar: Krew Fotografi TV Restu
Koordinator: Mahani Awang
Pengarah Seni: Wirda Adnan