Isu penyondol semakin galak dibincangkan sejak akhir-akhir ini, sama ada ia berlaku dalam kalangan selebriti, VIP ataupun orang biasa, ternyata ia menarik perhatian umum. Apabila ia melibatkan soal keruntuhan sebuah hubungan yang selama ini berlangsung aman, tiada sesiapa pun terutamanya wanita mampu bersikap husnudzon lagi. Dan kamu, yang terpalit sebagai penyondol itu harus menerima ‘hukumannya’.
Dan, rentetan daripada beberapa kes sondolan popular yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini yang membabitkan si penyondol yang dilihat kurang ‘berupa’ berbanding wanita yang menjadi mangsa itu, akhirnya kebanyakan orang membuat rumusan; penyondol ini kebanyakannya terdiri daripada mereka yang berwajah awam atau berwajah biasa-biasa.
Adakah kenyataan ini kuat dan benar? Baik, saya cuba untuk ‘meneutralkan’ pandangan peribadi saya sendiri. Saya serahkan kepada 11 wanita ini untuk memberikan pendapat peribadi mereka masing-masing Bagaimana agaknya mereka memandang sifat dan sikap penyondol itu?
Yana Baharudin, Perunding Fesyen

“Saya tidak bersetuju jika mahu membandingkan wajah dengan status apa pun. Kerana, rupa paras adalah anugerah yang terlalu sempurna daripada Yang Maha Esa. ‘Status’ ini lebih merujuk kepada keperibadian dan perilaku seseorang. Maka, seseorang yang mengakibatkan keruntuhan dan bahana sebuah rumah tangga, baik lelaki mahupun ‘wanita murahan’ ini bermaksud mereka berada dalam radar ‘low-class mentality’ dan boleh mendorong kepada faktor penerima energi yang tidak sihat dan negatif buat mereka sama ada pada masa kini dan akan datang. Semoga kita semua dijauhi menjadi atau terbabit dengan individu sebegini.”
Sofia Ellen, Usahawan

“Maaf, saya kurang setuju. Sukar untuk kita merumuskan sebegitu kepada mereka yang berwajah awam suka menyondol hanya kerana merujuk kepada kes popular yang berlaku sekarang ini. Saya kerap melihat perkara ini berlaku kepada wanita tidak kira berwajah awam atau sebaliknya. Ia sebenarnya lebih kepada perwatakan seseorang itu. Ada sesetengah wanita kalau dilihat daripada paras rupanya biasa-biasa sahaja tetapi perwatakannya begitu menggoda, manja dan ini sudah tentu akan membuat orang jatuh hati. Dalam apa jua situasi atau kehidupan, ia tetap bergantung kepada nawaitu dan prinsip seseorang itu.”
Husna Mior Ariffin, Eksekutif Teknologi Maklumat

“Saya kurang setuju kerana kecantikan itu subjektif. Bunyinya mungkin agak klise, kan? Tetapi itulah hakikatnya. Muka awam pada mata kita mungkin sebaliknya pada mata orang lain. Wajah atau paras rupa seseorang tidaklah wajar menjadi kayu pengukur kepada keperibadian seseorang samada yang negatif atau sebaliknya. Pada saya, semua wanita itu lahirnya cantik, mungkin disebabkan perangainya yang kurang molek menyebabkan orang melihatnya sebagai wajah awam.”
Mira Shamira, Pengurus Pemasaran

“Saya lebih suka mengambil jalan tengah. Jawapan saya ada yang ya dan ada tidak. Isu ini sebenarnya sangat subjektif, terpulang pada penilaian masing-masing. Namun, sebagai wanita of course saya akan berasa geram dan mula membuat perbandingan yang negatif apabila bersabitkan isu kecurangan dan rampas-merampas ini. Dan, kadang-kadang si penyondol sendiri membuka ruang untuk orang membidas fizikal dan keperibadiannya hanya kerana dia kelihatan seperti ‘tak sedar diri’.”
Hanie Kamarul Bahari, Guru

“Sebenarnya untuk title penyondol, ia bukanlah berdasarkan pada wajah. Hakikatnya, ia bermula dengan niat dan tujuan sesuatu perbuatan itu. Lebih tepat lagi, ia daripada sekeping hati. Namun saya juga tidaklah berani untuk menidakkan suratan takdir daripada segi ketentuan jodoh, rezeki ajal dan maut. Pada saya isu penyondol bukan sahaja berlaku dalam hubungan suami isteri, tetapi boleh juga terjadi dalam fasa pertunangan atau percintaan. Contohnya merampas kekasih orang, lalu berkahwin. Cumanya status perkahwinan itu lebih sah dan kuat. Apapun
ceritanya, kepada wanita lebih baik undur diri, kerana kelak wanita juga dipersalahkan. Lelaki? Lepas tangan dan act innocent!”
Hijanah, Eksekutif Penyiaran

“Wajah atau rupa paras itu adalah sangat subjektif untuk dinilai dan dijadikan pengukur kepada sikap tertentu. Namun sebagai mata netizen saya sangat bersetuju bahawa rata-rata para ahli penyondol ini berwajah awam. Masalah penyondol ini adalah diri mereka itu sendiri atas pilihan keputusan yang dibuat dengan rela. Bak kata pepatah – jika tiada angin mana mungkin pokok bergoyang? Ada juga yang berkelas sederhana dan tinggi menjadi penyondol. Ia juga menjadi tanda tanya adakan di zaman kini penyondol itu satu kerjaya?”
Mel Azhar Eksekutif

“Jujurnya, mungkin orang menganggap penyondol ini berwajah awam kerana geram dengan sikap mereka yang menjengkelkan itu. Selalunya penyondol ini terdiri daripada mereka yang baru nak up, memiliki aset yang fresh dan baru nak kenal hidup. Mereka kurang matang dan terlalu cepat nak hidup senang dengan cuba mendapatkan sesuatu itu untuk kepentingan diri sendiri walaupun dengan merampas laki orang. Mahu gaya hidup mewah menerusi jalan singkat menyebabkan mereka hilang pertimbangan diri.”
Adleen Shazlina Zaid, CEO Mulya Projects

“Tidak setuju. Penyondol tidak mengenal rupa boleh jadi dia berwajah awam dan boleh jadi yang menyondol menggunakan paras rupa yang cantik untuk menggoda sang buaya di luar sana. Tapi ingin saya tegaskan di sini untuk tidak terlalu skeptikal dalam menghakimi penyondol. Penyondol juga adalah makhluk Allah dan segala
kekhilafannya, biarlah Allah yang menghakimi bukan daripada kita yang juga manusia pendosa. Setiap perbuatan manusia terkadang datang dengan alasan yang mungkin tak terjangkal dek akal kita untuk merumuskan.”
Shafina Ahmad, Penerbit Rancangan TV

“Tak setuju untuk terus menyatakan bahawa kebanyakan penyondol itu berwajah awam, ia terlalu asas. Ada juga mereka yang menyondol ini yang mukanya cantik tetapi disebabkan mengikut hawa nafsu, tetap mahu menjadikan milik orang sebagai haknya. Mungkin satu kepuasan barangkali, umpama memenangi satu pertandingan! Namun, kalau suami/tunang/kekasih yang berjaya disondol itu jenisnya muka awam, okey saya boleh katakan memang jenis tak tahu bersyukur! Pasangan dah cantik pun masih nak menggatal dan mencari makan di luar, dungu!”
Fiza Hamad, Pengarah Kandungan

“Suka atau tak saya terpaksa mengakuinya, berdasarkan penelitian saya daripada pengalaman teman-teman di sekeliling. Tidak kisah sama ada dalam golongan selebriti mahupun orang biasa, perkara ini kerap berlaku dan ya, yang menyondol itu kebanyakannya tidak mampu menyaingi kecantikan wanita yang dihancurkannya itu. Kebanyakan mereka ini ‘aim’ lelaki yang sudah stabil dan berkedudukan, jadi mereka berasa yakin dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memasang umpan. Saya sendiri tertanya-tanya, apalagi yang dimahukan seorang lelaki yang sanggup skandal dengan wanita yang tidak setara dengan isteri yang sudah halal baginya? Sedangkan wanita itulah yang bersama ketika dia baru naik dulu, jawablah sendiri wahai lelaki!”
Salmi Ahmad, Pengurus Projek IT

“Sangat subjektif. Mungkin kisah visal kebelakangan ini melibatkan muka berwajah awam mengukuhkan tanggapan ini, walhal wanita yang memiliki paras rupa dan fizikal yang sempurna masih mendahului juga. Bagi saya, penyondol wanita zaman sekarang rata-rata memiliki sifat pentingkan diri, kurang pendidikan tinggi dan tidak menghormati perasaan kaum sejenis mereka. Sebagai wanita, kita seharusnya menghormati dan lebih memahami perasaan wanita lain. Menyondol adalah sesuatu yang boleh kita elakkan dan ia pilihan.”