WCB bukan hanya fokus pada keuntungan ekonomi, tetapi juga memberi impak positif kepada masyarakat
“Saya seorang yang tegas dan ada sedikit garang kerana saya perlu memastikan semua kerja yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan sempurna dan bagi memastikannya, saya menjadi seorang meticulous and particular.”
Ibu kepada dua anak ini memiliki PhD dalam bidang Pendidikan Keusahawanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Dr. Salmah Ishak anak kelahiran Pahang memulakan kerjaya di Universiti Utara Malaysia sebelum bertukar kerjaya dalam perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1996. “Saya ditempatkan di pelbagai Kementerian dan Jabatan Kerajaan dan jawatan terakhir saya sebelum bersara adalah Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).”
Dr. Salmah juga Ahli Lembaga Koperasi Wanita Malaysia Berhad (WCB) dan kini meneruskan sumbangan dalam sektor koperasi dengan berkhidmat secara kontrak di ANGKASA sebagai Pengurus Besar Kanan yang mengetuai Kumpulan Hubungan Strategik.
Mengapa Dr. rasa setiap wanita wajib menjadi anggota Koperasi Wanita Berhad?
Melihat kepada matlamat asal penubuhan WCB yakni bertujuan menyatukan 16 juta wanita Malaysia untuk bersama membangunkan agenda ekonomi wanita. Oleh itu, saya rasa setiap wanita yang berumur 18 tahun ke atas wajib menjadi anggota WCB kerana beberapa sebab penting:
Pemberdayaankan Ekonomi Wanita di negara ini
WCB memberi peluang kepada wanita untuk mengakses pelbagai program ekonomi yang boleh meningkatkan kestabilan kewangan mereka. Sebagai anggota koperasi, wanita boleh mendapatkan akses kepada pembiayaan, pinjaman mikro, dan peluang perniagaan yang lebih baik melalui program Pembangunan keusahawanan yang dilaksanakan secara kolaborasi dengan pelbagai entiti, yang dapat membantu mereka mengembangkan perniagaan atau meningkatkan pendapatan. Contoh terbaharu, Program Eksplorasi Usahawan untuk membantu wanita di luar sana menjana pendapatan melalui program tersebut.
Sokongan Komuniti dan Jaringan
Menjadi anggota koperasi membolehkan wanita membina hubungan dan jaringan sesama anggota yang lain. Ini memberi peluang untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan, dan sumber daya, sekaligus memperkasa kedudukan wanita dalam sektor perniagaan dan kehidupan sosial.
Meningkatkan Kemahiran dan Pengetahuan
Koperasi sering mengadakan kursus, bengkel, dan program latihan melalui Program Pembangunan Usahawan yang kami harap dapat membantu wanita memperkembangkan kemahiran dalam bidang seperti keusahawanan, kewangan, kepimpinan, dan lain-lain. Ini memberi wanita peluang untuk meningkatkan diri, bukan sahaja dalam bidang profesional tetapi juga dalam kehidupan peribadi.
Sumbangan kepada Kesejahteraan Sosial
WCB bukan hanya fokus pada keuntungan ekonomi, tetapi juga memberi impak positif kepada masyarakat. Sebagai anggota, wanita boleh terlibat dalam aktiviti sosial yang dapat membantu komuniti, seperti program kebajikan, pendidikan, dan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Keadilan Gender dan Penyertaan Aktif dalam Pembangunan Negara
Dengan menjadi anggota, wanita turut menyumbang kepada kemajuan sosial dan ekonomi negara. Koperasi menyediakan platform yang sesuai bagi wanita untuk terlibat aktif dalam proses pembangunan dan pengambilan keputusan, ia langkah penting dalam mencapai kesetaraan gender.
Secara keseluruhan, menjadi anggota WCB membuka peluang untuk wanita bukan sahaja memperbaiki kehidupan ekonomi mereka, tetapi juga memainkan peranan penting dalam memajukan kesejahteraan komuniti dan negara.
Ceritakan sedikit tentang tugas Dr. di WCB
Sebagai individu yang bertanggung jawab menguruskan urusan berkaitan penyediaan aturan dan garis panduan untuk WCB, tugas saya adalah memastikan semua aspek operasi koperasi berjalan mengikut peraturan dan prinsip yang telah ditetapkan. Antara tanggungjawab saya adalah:
Menyediakan Garis Panduan WCB
Tugas utama saya adalah menyusun dan menyediakan garis panduan yang jelas dan terperinci mengenai produk WCB. Ini termasuk menyusun aturan mengenai pembiayaan termasuk aturan pinjaman dan urusan proses kelulusan pembiayaan dari awal permohonan diterima hingga kelulusan, aturan jual beli emas dan ar-rahnita. Aturan ini penting untuk memastikan semua anggota koperasi memahami prosedur dan proses yang dilaksanakan oleh WCB dalam menimbang dan meluluskan semua permohonan yang diterima, serta memastikan semua pemohon mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Membangunkan Prosedur Operasi Standard (SOP)
Saya akan menyusun Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk setiap aktiviti dalam koperasi, termasuk prosedur berkaitan pinjaman, pembahagian keuntungan, dan pengurusan aset koperasi. SOP ini membantu dalam mengawal kualiti dan konsistensi operasi koperasi, serta memastikan kepatuhan terhadap undang-undang yang relevan.
Mengawasi Pemantauan dan Penilaian Aktiviti Koperasi
Saya juga bertanggungjawab untuk memastikan pematuhan kepada garis panduan yang telah ditetapkan dengan memantau dan menilai aktiviti koperasi secara berkala. Ini termasuk memeriksa laporan kewangan, penyelenggaraan rekod yang betul, dan memastikan bahawa semua program dan inisiatif koperasi dijalankan sesuai dengan matlamat yang telah ditetapkan.
Secara keseluruhan, tugas saya adalah untuk memastikan bahawa koperasi beroperasi dengan efisien, adil, dan mematuhi undang-undang serta prinsip-prinsip koperasi. Garis panduan dan aturan yang jelas adalah kunci kepada kejayaan koperasi dalam memberikan manfaat kepada anggota dan komuniti.
How do you ensure that your team members feel valued and supported?
Memastikan ahli pasukan berasa dihargai dan disokong adalah penting untuk memupuk persekitaran kerja yang positif dan produktif. Kelebihan kami walaupun mempunyai latar belakang yang berbeza tetapi atas minat dan perjuangan yang sama menjadikan kami begitu rapat. Walaupun kekadang tu kami bertikam lidah atas urusan koperasi namun kami sangat profesional dalam menjalankan peranan selaku ALK WCB. Dalam hal ini, kami sentiasa berbincang dan terbuka kepada sebarang teguran yang membina. Kami juga sering nasihat menasihati serta bertukar fikiran jika ada masalah berbangkit. Walaupun dalam kesibukan tetapi melalui panggilan telefon kepada rakan-rakan membantu menyelesaikan masalah. Jika dapat berjumpa kami akan berbincang bersama-sama agar setiap masalah dapat diselesaikan secara baik.
Selain itu, kami saling menghormati sekiranya kami sibuk, Pengerusi WCB tidak mengganggu kami dan beliau akan bersama ALK yang tidak sibuk menghadiri majlis. Tiada sebarang paksaan untuk hadir program yang diatur kekadang secara last minute. Begitu juga dalam membuat keputusan kebiasaannya kami ambil keputusan bersama kecuali dalam keadaan terdesak Pengerusi akan buat keputusan tetapi beliau akan melaporkan kepada semua ALK menerusi group whatapp WCB
How do you communicate your vision and goals effectively to your team members?
Kami biasanya saling memahami antara satu sama lain kerana kumpulan ALK kami kecil sahaja iaitu hanya enam orang sahaja. Setakat ini, belum ada masalah ketara. Namun sebagai penyedia utama kepada garis panduan di WCB, saya menggariskan visi dan misi yang jelas yang mudah difahami oleh kesemua anggota kami. Pertama, saya kena pastikan visi dan misi yang digarap mudah, ringkas dan jelas difahami. Dan kebiasaannya kami letakkan dalam portal kami dan kekadang peringatkan dalam kumpulan whatsapp kami sendiri. Ini memudahkan setiap ALK memahami fungsi dan peranan masing-masing. Tetapi sebab kumpulan masih kecil urusan agak mudah memahami kerja menyumbang kepada Visi misi WCB.
Berbincang melalui platform WA ALK WCB dan sering berkongsi maklum balas dalam WA. Dalam konteks ini, semua ALK berpeluang bertanya soalan, berkongsi pendapat, dan menjelaskan sebarang kebimbangan. Ini membina penglibatan dan menjadikan komunikasi lebih dua hala dan memastikan terdapat penjajaran.
Dengan team yang baharu join ALK, kami akan sentiasa berbincang untuk mengukuhkan Visi dan Matlamat WCB. Kami juga mengaturkan mesyuarat sekurang-kurangnya sekali atau dua kali dalam tempoh dua bulan. Kalau tiada sebarang mesyuarat kami kekadang berkumpul di mana-mana kafe atau lokasi yang dikenal pasti bagi berbincang. Disebabkan koperasi kami masih bertatih lagi serta tidak punya sumber kewangan yang mencukupi, kami sesama kami sentiasa berkongsi rezeki untuk membayar makanan saat berkumpul.
Di kalangan ALK juga, kami sentiasa menunjukkan tingkah laku, sikap, dan etika kerja yang selaras dengan visi selain mempamerkan komitmen yang tidak berbelah bagi, walaupun di masa sukar. Bersikap terbuka dan bersedia untuk penambahbaikan demi kebaikan WCB bagi memastikan kami terus bermotivasi demi memajukan WCB agar lebih ke depan dan dapat mengatasi isu kekurangan aliran tunai pada masa kini.
Bagaimana Dr. mengimbangi kehendak ahli dan kehendak organisasi?
Beberapa pendekatan yang biasa kami digunakan. Antaranya, WCB sentiasa menyediakan saluran komunikasi antara anggota dan ALK. Anggota WCB boleh mengemukakan cadangan dan pandangan yang bernas demi kemajuan WCB yang saya anggap satu langkah memajukan WCB pada masa akan datang. Kami juga senantiasa meraikan dan menghargai pandangan anggota WCB seperti menganjurkan Majlis Hi-TEA sempena Hari Wanita dan menyediakan hadiah khusus kepada anggota yang menyumbang kepada WCB. Antaranya yang menjadi anggota Gold Platinum, dan Gold selain acara cabutan bertuah bagi meraikan mereka.
Kami juga berusaha mewujudkan suasana kerja yang saling menghormati dan mendukung memastikan kedua-dua pihak dapat bekerjasama dengan baik. Dalam kontek ini WCD kena pamerkan bahawa kami mengambil berat terhadap kebajikan anggota.
Bagaimana cara Dr. mengatasi andai ada konflik antara anggota?
Kebiasaannya, kami berbincang bersama bagi atasi konflik tersebut. Namun, jika melibatkan individu tertentu dalam ALK, Dato’ Faridah dan saya selalunya menjadi orang tengah untuk menyelesaikannya. Biasanya kami akan memastikan sebarang konflik tidak berlarutan lama dan dipastikan dapat bekerja secara harmoni dalam Kumpulan ALK kami.
Sebagai ketua bagaimana Dr. tangani masalah di tempat kerja atau ketika membuat keputusan kritikal?
Sebagai ketua, menangani masalah di tempat kerja atau membuat keputusan yang sukar memerlukan kemahiran pengurusan yang baik, ketenangan fikiran, dan pendekatan yang bijaksana. Antara pendekatan yang digunakan adalah: mengumpul maklumat yang lengkap dan memahami situasi yang berlaku sebelum membuat sebarang keputusan. Ini termasuk lah mendengar pandangan daripada semua pihak yang terlibat, menilai data atau fakta yang ada, dan memahami konteks sepenuhnya.
Saya juga menilai kesan jangka pendek dan panjang daripada pelbagai pilihan yang membantu untuk membuat keputusan lebih bijak. Dalam banyak kes, melibatkan pasukan kerja saya atau pihak yang terbabit dalam perbincangan adalah sangat penting. Ini bukan sahaja memberi peluang mendapat pelbagai pandangan, tetapi menunjukkan sebagai ketua, anda menghargai input dan kepakaran mereka. Dalam sesi perbincangan atau rundingan, beri perhatian penuh kepada setiap pandangan dan elakkan membuat keputusan terburu-buru tanpa memahami perspektif semua pihak.
Dalam menghadapi masalah atau membuat keputusan sukar, adalah penting untuk memastikan keputusan tersebut diambil dengan adil dan tidak memihak. Ketelusan dalam proses pengambilan keputusan akan meningkatkan kepercayaan pasukan terhadap kepimpinan saya. Setelah keputusan dibuat, terangkan dengan jelas alasan di sebalik keputusan tersebut kepada semua pihak. Ini dapat membantu mengurangkan ketidakpuasan hati atau kekeliruan.
Namun begitu, suatu keputusan yang sukar kadang kala boleh menyebabkan ketidakpuasan hati di kalangan ahli pasukan, tetapi dengan kepimpinan saya yang tegas, saya boleh mengekalkan kepercayaan mereka dengan menjaga keharmonian dan motivasi pasukan.
Cabaran paling besar bagi koperasi-koperasi yang ada di Malaysia?
Cabaran terbesar yang dihadapi koperasi di Malaysia adalah melibatkan kekurangan jati diri berkoperasi. Kebanyakan mereka yang menyertai koperasi hanya inginkan dividen yang ditawarkan oleh koperasi atas pelaburan mereka sebagai bayaran saham mereka, tetapi tidak pernah ambil peduli apa yang diusahakan oleh koperasi untuk menjana pendapatan. Apabila kurang jati diri yang kukuh di kalangan anggota menyebabkan hampir 40% koperasi diklasifikasikan tidak aktif dan dorman. Jika dibiarkan berlarutan akan menyebabkan gerakan koperasi di Malaysia kelihatan lesu dan tidak berdaya saing.
Selain itu, saya dapati juga bahawa pemimpin koperasi mempunyai agenda kepentingan mereka sendiri menyebabkan kebelakangan ini kita sering dengar atau baca di dada akhbar yang pemimpin koperasi ditahan oleh SPRM atau polis atas salah laku pecah amanah dan ketidakakuran kepada perundangan.
Isu kepimpinan koperasi juga sering menjadi cabaran kepada koperasi di Malaysia kerana tiadanya kepimpinan yang baik menyebabkan kebanyakan koperasi kurang aktif dan tiada aktiviti yang boleh menjadi pendapatan kepada koperasi.
Oleh itu, saya mohon agar pihak KUSKOP, SKM, IKMa mahupun ANGKASA perlu berganding bahu bagi memastikan kelestarian gerakan koperasi di Malaysia dan berdiri sama tinggi dengan golongan usahawan serta mampu menyumbang kepada pertumbuhan KDNK negara.
Mengapa Dr. melibatkan diri dalam aktiviti amal ini?
Terdapat pelbagai sebab yang mendorong saya terlibat dalam kerja sosial. Antaranya termasuk keinginan membantu mereka yang memerlukan atau yang kurang bernasib baik, seperti golongan miskin, orang kurang upaya, kanak-kanak, dan yang hidup dalam keadaan yang sukar. Dengan memberikan bantuan, kita dapat membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih baik. Ini juga membuktikan saya warga negara yang bertanggung jawab dan berbakti kepada Pembangunan Masyarakat demi meningkatkan kesejahteraan sosial.
Terbabit dalam aktiviti amal memberi rasa kepuasan yang tidak ternilai. Melihat orang lain mendapat bantuan dan sokongan hasil daripada usaha kita, memberi perasaan bahagia dan bermakna dalam kehidupan. Ini adalah satu bentuk sumbangan peribadi yang memberi ganjaran emosi.
Melalui kerja sosial, kita dapat meningkatkan kesedaran tentang masalah sosial yang dihadapi oleh orang ramai, seperti kemiskinan, ketidakadilan sosial, atau isu-isu alam sekitar. Ini juga mendorong kita untuk lebih peka terhadap isu-isu yang memerlukan perhatian. Selain itu, aktiviti amal dan kerja sosial juga membantu kita memahami masalah yang dihadapi oleh orang lain. Ia meningkatkan rasa empati dan keprihatinan terhadap isu-isu sosial yang mungkin kita tidak pernah hadapi secara langsung.
Sama ada dalam koperasi atau urusan tugasan harian, bagaimana ‘stay motivated’?
Untuk memastikan saya kekal fokus dan bersemangat dalam menyelesaikan kerja, saya menetapkan matlamat yang jelas, baik dalam jangka pendek (seperti menyelesaikan tugasan harian) mahupun jangka panjang (seperti pencapaian koperasi). Matlamat yang jelas memberi arah dan membantu saya fokus pada apa yang perlu dicapai.
Saya juga akan berusaha untuk bekerjasama dengan orang yang mempunyai semangat positif, kerana ia membantu saya untuk tetap termotivasi dan terus memberikan yang terbaik.
Saya selalu mengingatkan diri ini tentang tujuan utama saya dalam menyelesaikan tugas atau terlibat dalam koperasi. Memahami impak positif yang boleh diberikan kepada orang lain atau organisasi memberi saya motivasi tambahan untuk bekerja lebih keras. Dalam konteks ini saya sentiasa memastikan menginovasikan cara dan proses kerja saya bagi menghasilkan kerja yang lebih baik.
How has your leadership style evolved?
Gaya kepimpinan saya telah berkembang sepanjang perjalanan kerjaya saya, berasaskan pengalaman, pembelajaran, dan maklum balas daripada orang di sekitar saya. Berdasarkan pengalaman, gaya kepimpinan saya kini berubah dan cenderung untuk melibatkan subordinate dalam membuat sebarang Keputusan dengan menggalakkan mereka untuk berkongsi idea dan pandangan bagi memastikan kelancaran dan kejayaan pelaksanaan projek/tugasan. Dalam hubungan ini, saya memberi kuasa kepada mereka untuk menyiapkan tugasan yang diberi, cuma saya akan melaksanakan proses “follow up and get the progress report” agar kerja mereka dilaksanakan mengikut perancangan dan mencapai sasaran yang ditetapkan.
Saya lebih percaya kepada kepimpinan berdasarkan pengaruh, di mana saya berusaha untuk mempengaruhi orang lain dengan memberi contoh yang baik, memberi inspirasi, dan membina hubungan yang saling menghormati. Saya percaya bahawa apabila saya menunjukkan integriti dan komitmen terhadap matlamat, pasukan akan lebih cenderung untuk mengikuti dan menyokong saya selain mengamalkan komunikasi secara terbuka dan lebih empati kepada pasukan kerja saya.
Bagaimana mengekal keseimbangan kerja-kehidupan?
Mengekalkan keseimbangan kerja-kehidupan adalah penting bagi memastikan saya tidak hanya produktif di tempat kerja, tetapi juga sihat secara fizikal dan mental, serta menikmati kehidupan peribadi saya. Dalam hal ini, saya sentiasa cuba menguruskan masa secara berkesan dengan menyusun keutamaan dalam melaksanakan kerja dan punya ruang masa walaupun sedikit untuk kepentingan peribadi. Selain itu, saya juga mengagihkan tugas di tempat kerja untuk memastikan saya tidak terbeban dengan kerja yang tidak perlu saya lakukan sendiri. Saya memberi kepercayaan kepada subordinate untuk mengambil tanggung jawab tertentu.
Saya pastikan mendapat tidur yang mencukupi setiap malam. Tidur yang berkualiti adalah kunci untuk pemulihan mental dan fizikal, serta penting untuk meningkatkan fokus dan produktiviti semasa bekerja.
Selain itu, faktor pemakanan juga penting untuk mengekalkan tenaga dan fokus. Saya cuba untuk makan secara sihat dan mengelakkan makanan yang boleh menyebabkan keletihan atau ketidakseimbangan tenaga.
Saya turut menyedari bahawa untuk menjadi produktif, saya perlu memberi diri saya masa untuk berehat. Oleh itu, saya memastikan mengambil cuti apabila diperlukan dan mengelakkan diri daripada bekerja terlalu lama tanpa henti.
Apabila menghadapi situasi sukar, saya cuba untuk berfikir secara positif dan mencari penyelesaian. Ini membantu mengurangkan tekanan dan memberi saya perspektif yang lebih baik terhadap masalah yang dihadapi.
Saya juga memberikan keutamaan kepada masa berkualiti dengan keluarga dan rakan-rakan. Ini bukan sahaja penting untuk kesejahteraan emosi saya, tetapi membantu saya merasa lebih seimbang dan berhubung dengan dunia luar di luar pekerjaan.
Saya jugatidak segan untuk meminta sokongan atau bantuan daripada rakan sekerja, ahli keluarga, atau mentor apabila saya merasa tertekan atau terbeban dengan tugasan. Mendapatkan bantuan daripada orang lain bukan sahaja meringankan beban tetapi juga menggalakkan kerja berpasukan dan sokongan sosial.
How do you stay updated in your industry?
Untuk sentiasa memastikan saya ‘stay updated’, saya mengamalkan beberapa pendekatan yang membantu saya mengikuti perkembangan terkini dan memastikan saya sentiasa relevan dalam bidang yang saya ceburi. Antaranya, seperti menghadiri Kursus dan Latihan untuk mempelajari kemahiran baru dan memperdalam pengetahuan dalam bidang saya.
Selain itu, saya cuba meluangkan masa setiap minggu untuk membaca artikel dan blog yang ditulis oleh pakar industri atau organisasi terkemuka. Ini membantu saya memahami tren terkini, perkembangan teknologi, dan perubahan dalam amalan terbaik di industri.
Saya sering menghadiri persidangan, seminar, atau webinar yang diadakan oleh organisasi profesional atau badan industri. Ini memberi peluang untuk mendengar secara langsung daripada pakar, berkongsi idea dengan rakan sejawat, dan mengetahui trend atau inovasi baru yang berlaku di lapangan.
Saya juga membina jaringan profesional dengan rakan sejawat dan mentor dalam industri. Dengan berbincang, saya dapat memperoleh pandangan mengenai cabaran terkini dan peluang dalam industri.
Bagaimana pula cara menggalakkan perkembangan pemikiran antara anggota?
Sebagai pemimpin, kita perlu mempamerkan kepimpinan melalui teladan (lead by example) untuk membina budaya kerja yang positif, inovatif, dan berorientasikan pencapaian di kalangan pasukan kerja kita. Dalam konteks ini, kita juga perlu menunjukkan sikap terbuka terhadap pembelajaran dan perkembangan diri. Kongsi pengalaman peribadi anda yang melibatkan kegagalan dan pembelajaran daripada pengalaman tersebut.
Selain itu, kita juga perlu memberi penekanan pada proses, dan bukan hanya berfokuskan kepada Keputusan (result) sahaja. Bagi tujuan ini, kita perlu beri perhatian kepada usaha dan proses dalam mencapai matlamat, bukan hanya kejayaan akhir. Ini menggalakkan pasukan untuk melihat pembelajaran sebagai sesuatu yang berterusan, bukan sekadar mencapai hasil. Namun begitu jika berlaku sebarang kegagalan dalam menjalankan proses tersebut, maka perlu sentiasa memberi dorongan kepada pasukan untuk menilai semula proses kerja dan menggalakkan mereka mencuba pendekatan yang lebih kreatif dan inovatif serta menganggap kegagalan yang berlaku sebagai satu pembelajaran terbaik. Dalam konteks ini, kita sentiasa perlu memastikan anggota pasukan kerja kita merasa selesa untuk mencuba idea baru dan berisiko tanpa takut dihukum jika gagal. Membangunkan persekitaran yang selamat dan menyokong akan menggalakkan pasukan untuk berinovasi dan belajar daripada kesilapan.
As a good boss, kita juga perlu selalu memberi maklum balas yang membina dan menggalakkan pasukan untuk terus memperbaiki diri mereka. Elakkan daripada memberi maklum balas yang merendahkan atau mengkritik secara peribadi. Kita juga perlu berikan penghargaan kepada pegawai dan staf yang menunjukkan kemajuan dalam meningkatkan kemahiran mereka atau berjaya mengatasi cabaran. Ini mengukuhkan idea bahawa pembelajaran dan usaha berterusan adalah perkara yang dihargai dalam pasukan. Dalam konteks ini juga, kita perlu beri galakkan kepada pegawai/staf kita untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman, dan idea mereka. Dengan bekerja bersama dan saling menyokong, setiap individu dalam pasukan akan merasa lebih yakin untuk terus belajar dan berkembang.
Malam 1000 Kebaya bakal diadakan pada tahun hadapan, apa yang Dr. sendiri harapkan?
Malam 1000 Kebaya adalah satu acara yang cukup bermakna kepada WCB dan program ini satu acara terbesar yang bakal WCB anjurkan dengan hasrat mengumpulkan seramai mungkin wanita di Malaysia untuk menyertainya. Apatah lagi acara sebesar ini memberi peluang kepada wanita Malaysia daripada pelbagai latar belakang untuk berkumpul, menyatukan identiti budaya, dan memperingati kepelbagaian etnik yang wujud di negara ini. Jika program ini berjaya mengumpulkan 1000 wanita, ia berpotensi dimasukkan dalam Guinness Book of Records. Satu acara yang sangat menarik dan bermakna, terutama dalam memartabatkan golongan wanita dan secara tidak langsung mampu memartabatkan kebudayaan dan warisan negara.
Sebagai seorang yang terbabit dalam penganjuran program ini, saya berharap Malam 1000 Kebaya dapat menarik perhatian dunia terhadap keindahan dan nilai budaya kebaya sebagai salah satu pakaian tradisional yang terkenal di Malaysia dan Asia Tenggara. Ini boleh menjadi platform yang sangat baik untuk memperkenalkan kebaya kepada khalayak global, menunjukkan keunikan reka bentuk dan pengaruh sejarah yang mendalam di sebalik pakaian ini. Tambahan lagi, kebaya mempunyai pelbagai rekaan dan corak yang menarik, dan saya berharap majlis ini dapat mempamerkan pelbagai variasi kebaya, daripada yang tradisional hingga yang lebih moden, yang memperlihatkan kepelbagaian gaya dan kreativiti dalam seni fesyen.
Satu lagi, dengan mengadakan acara besar seperti ini, kebaya dapat dilihat sebagai satu elemen fesyen yang lebih dihargai dan dihormati di persada global. Saya berharap acara ini dapat menarik perhatian pereka fesyen antarabangsa untuk memberi perhatian kepada kebaya dan memperkenalkan elemen-elemen kebudayaan Malaysia ke dalam dunia fesyen global.
Manakala harapan untuk memasukkan program 1000 Kebaya dalam Guinness Book of Records bukan hanya untuk mendapatkan pengiktirafan, tetapi juga untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepelbagaian dan keindahan budaya tempatan. Saya berharap acara ini dapat memberi kesan positif terhadap masyarakat, dengan menggalakkan orang ramai untuk lebih menghargai dan melestarikan warisan budaya yang ada.
Malam 1000 Kebaya juga merupakan satu platform yang terbaik untuk menghargai dan mengiktiraf usaha pereka fesyen, pengusaha, dan tukang jahit tempatan yang telah memelihara dan meneruskan tradisi kebaya. Saya berharap acara ini dapat memberikan mereka platform untuk memperkenalkan hasil kerja seni mereka yang memerlukan penuh ketelitian dan kepakaran.
Sedikit tentang gaya hidup anda, bila tidak bertugas, apa yang anda suka buat?
Saya suka melepak di rumah sahaja sambil menonton program TV yang menjadi kegemaran saya. Ini adalah untuk melepaskan penat lelah bekerja sepanjang minggu apatah lagi saya memang tidak duduk diam dalam memastikan setiap tugasan yang diamanah dilaksanakan sebaik mungkin.
Sekiranya ada cuti yang agak panjang saya suka melancong ke mana-mana lokasi pelancongan terkenal di negara ini khususnya Langkawi. Selain menikmati panorama alam yang cantik di sana, saya suka membeli belah terutama coklat yang murah berbanding di tanah besar.
Selain itu, saya ambil kesempatan untuk memasak makanan kegemaran keluarga memandangkan dek kesibukan saya di pejabat menyukarkan saya untuk memasak bagi famili saya. Saya akan memasak menu yang jarang-jarang dimasak seperti laksa, mee bandung, mee kari ataupun nasi dagang. Bila dah memasak banyak saya akan menjemput saudara mara saya untuk datang menjamu selera.
Tempat bepergian yang paling disenangi bersama keluarga bila bercuti? Dan kenapa?
Saya dan keluarga paling suka bercuti di Sabah khususnya di Kota Kinabalu dan Ranau Sabah. Ini kerana kita boleh melawat banyak kawasan menarik di sana seperti Pulau Manukan dan menyertai aktiviti air dan pantai, kita juga boleh melawat pelbagai kawasan menarik di Ranau seperti pusat tenusu, pasar Ranau, ladang atau ke sungai melihat ikan. Semua ini membantu merawat kesihatan kita bila kita merendamkan kaki kita dalam anak sungai di Ranau.
Selain itu, saya suka makanan laut yang cukup murah dan sedap dengan produk seafoodnya segar dan dimasak dengan sedap sekali. Kami pulang dengan bilis, udang kering atau ikan kering. Biasanya saya beli dengan banyak dan agihkan kepada anggota keluarga atau sedekah kepada jiran-jiran sebelah rumah.
Jika berpeluang, saya akan pergi lagi ke sana bersama-sama keluarga dan ingin menerokai lokasi pelancong di Sempurna Sabah.
Kredit
Coverstory Disember 2024
Gambar Syarief Nurlette
Solekan dan Penata Gaya Rossa Talip dan Eleena
menggunakan produk Farmasi Turki
Penyelaras Nora Muhammad dan Shameen Ashraf
Pengarah Seni Wirda Adnan
Terima Kasih HOTEL WYNDHAM ACMER HOTEL, KELANG