Tidak seperti selalu, suasana di Pusat Membeli Belah terbesar Pavilion Bukit Jalil meriah. Di tapak Pavilion Exhibition Centre (21 hingga 23 Februari 2025) pula poster-poster besar tergantung. Saya terkesima seketika melihat wajah saya juga ada di dalam salah satu poster. “Gosh this is interesting,’ kata di hati.
Sebelum ke dalam dewan, saya luangkan masa melangkah dari satu booth ke booth yang lain di sekitarnya. Ada baju kebaya yang sudah memikat hati, dipadankan dengan kerongsang perak, sudah pasti Raya kali ini pada saya berbeza, sebab dua tahun tidak beraya sebenarnya.


Aneka produk daripada pakaian, barang kemas, kedai emas dan pastinya gerai-gerai buku terutama novel dan buku-buku puisi, juga tapak minuman dan makanan. Nampak kelainannya kerana yang hadir di situ bukan calang-calang mereka, tetapi dari serata dunia untuk meraikan Hari Puisi Sedunia yang diadakan setiap tahun.
Hari Puisi Sedunia adalah sebuah deklarasi diangkat oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (UNESCO) dalam Konferensi Umum ke-30 di Paris pada 1999. Ia bertujuan mendukung keragaman bahasa melalui ekspresi puitis yang diraikan pada Mac setiap tahun.




CIPTA CITRA meraikan edisi ke empat khusus bersempena Hari Puisi Sedunia yang kali pertama dianjurkan di Pusat Pelancongan Malaysia MATIC Kuala Lumpur sewaktu era pandemik 2021. Usaha murni ini diteruskan di Universiti Malaysia Kelantan pada 2022 dan di Ipoh, Perak pada 2024 untuk edisi ketiga sebagai sebuah usaha pemerkasaan sastera dan seni berbahasa yang disampaikan dalam bentuk persembahan musikalisasi puisi, muzik dan filem selain sebagai medium dalam menjambatani hubungan kesenian Malaysia di peringkat global dengan penglibatan seniman dan tokoh antarabangsa.
Dianjurkan oleh Meja Poedjangga dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, CIPTA CITRA IV, tiga acara utama iaitu Selamat Datang Cipta Citra, Konsert Cipta Citra dan Kemuncak Cipta Citra yang menjadi fokus selama tiga hari. Turut diadakan ialah Ucap Utama Cipta Citra yang disampaikan oleh Prof. Dr. Tan Awang Besar, REKTOR Akademi Seni, Budaya & Warisan Kebangsaan dan forum Ramu Puisi Rencah Sasterawan yang menggabungkan tokoh-tokoh dalam pelbagai lapangan termasuklah Sasterawan Negara Dato Dr. Zurinah Hassan, Wirda Adnan, Hidayat Nordin dari Singapura dan Dato Sri Asrizal Nur dari Indonesia yang dimodetori penulis dan mantan pensyarah di ASWARA, Raihani Mohd Saaid.



Acara dianjurkan sebagai mendukung Tahun Melawat Malaysia 2026, menampilkan tokoh sasterawan dan seniman mapan dari tujuh negara termasuk Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan, Brig. Jeneral Dato' Mohd Radzi, Zaen Kasturi, Umar Uzair, Lin Haslinaz, Shirley Idris, Mohar dan SATWO yang mewakili Malaysia.
Cipta Citra juga diusahakan sebagai menjambatani hubungan sastera dan bahasa bukan sahaja bersama sahabat serumpun terutama Indonesia yang diwakili oleh seniman Jakarta – Dato’ Sri Asrizal Nur, Rois Rinaldi dan Nuthayla Anwar malah sebagai ruang untuk mengantarabangsakan sastera dan Bahasa Melayu dengan jalinan undangan seniman terkenal Maman Teacher's Pet dan Hidayat Nordin mewakili Singapura, Latif Bolat pemuzik sufi dari Turki dan Alena Belozertseva dari Rusia.

Bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia, Akademi Seni dan Budaya Kebangsaan, Institut Pendidikan Guru Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Penawar International Sdn. Bhd. dan HYATT Place Hotel Bukit Jalil, festival puisi terbesar di Malaysia yang terbuka secara percuma kepada umum ini diisi dengan Kampung Budaya dengan pelbagai pameran seni, kraf dan informasi menarik termasuklah daripada Penerbit Kata-pilar, Keretapi Tanah Melayu Berhad, Rare Seashell Museum, Yayasan Wanita Malaysia dan banyak lagi bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam.



Sungguh siapalah saya duduk sepentas dengan Sasterawan Negara Dato’ Dr. Zurinah Hassan, Asrizal Nur (Indonesia) dan Hidayat Nor dari Singapura membincangkan seputar dunia penulisan kreatif, puisi dan buku pada tema Ramu Puisi Rencah Sasterawan. Sayugia, dihoskan Mantan Pensyarah Fakulti Penulisan di Akademi Seni, Budaya & Warisan Kebangsaan, Rahaini Mohd Said, pentasnya menyeronokkan dengan aneka rencah cerita orang lama dan orang baru. Saya boleh bayangkan Dato’ Dr. Zurinah yang terpaksa menulis di kertas guna pen yang dicelup dengan dakwat setiap kali dakwatnya kering, kemudian ke Balai Orang Ramai yang jauh dari rumah mengayuh basikal tua hanya untuk menggunakan trypewriter bagi menaip pula karyanya itu. Nah pengalaman yang tiada nilainya, dan hasil karya di bawah cahaya pelita minyak itu antara pelbagai karya beliau yang diangkat satu persatu sebagai karya ulang negara.
Raihani mengajak saya bercerita tentang pengalaman sebagai Editor yang membawa saya ke pelosok dunia mengisi bahan fesyen, kecantikan dan gaya hidup, yang duduk di baris depan pada minggu fesyen di London, Milan dan Paris khasnya, ke New York dan juga Australia serta di beberapa negara Asia yang lain. Menemui tokoh-tokoh fesyen dan kecantikan dunia, dengan layanan enam bintang dan banyak lagi peristiwa menyeronokkan membuat saya mengatakan, kerjaya Editor jujurnya amat menyeronokan, tidak kaya wang tapi kaya pengalaman

Terima kasih kepada pengasas Meja Poedjangga Malaysia, Omar Uzair, kerana membuka ruang pada saya mengenali lebih ramai lagi insan-insan sastera. Penyanyi dan pemuisi terkenal ini akan berlepas ke Athens, Greece mewakili Malaysia untuk persembahan sempena 12th International Video & Poetry Festival pada 11 & 12 April di Riga Palamidi Prisi (tengah kota Athens).