EYE ME

BUKAN SALAH IBU MENGANDUNG

Eyeme by Wirda Adnan
Eyeme by Wirda Adnan

Cinta seorang ibu sabar dan pemaaf

ketika semua orang lain meninggalkan

Cinta seorang ibu tidak pernah gagal atau terputus-putus

meski hati sedang patah…

Kedengaran suara di gangang telefon sebak. Tidak selalu mummy (mil)  begitu, tetapi saya tahu mummy tidak dapat menahannya lagi dan mahu meluahkan.“Mummy nak bagitahu Wirda, dia suruh maknya keluar dari rumah, dan katanya surat saman akan sampai bila-bila masa.” Sebab saya tahu siapa dia yang dimaksudkan oleh ibu mertua, dan serba sedikit mummy ada menceritakan kepada saya, saya cuba menenangkan fikirannya. Saya faham jika orang di sana derita, mummy juga dapat merasai kesakitan itu. Cubit tangan kanan, tangan kiri juga merasa sakit. Dan kalau orang di sana tidak dapat tidur, dia juga tidak bisa melelapkan matanya. Mereka bersaudara, masakan dia mampu melihat saudaranya tidur di kaki jalan, oh tidak…” 

Untuk beberapa bulan saya melihat mummy sendiri tidak tenang. Fikirannya memikirkan kekandanya, apa akan jadi kalau anaknya itu menang bicara, tanya mummy kepada saya. Kat mana pula dia hendak tinggal? “I will invite her to stay here,” itu kata putusnya seorang yang berhati mulia.

Kelmarin mummy menghubungi, dan dapat saya rasakan kegembiraannya. Kami sekeluarga menyambut gembira. Alhamdulillah, dan menyambung dengan sujud syukur. Pendekkan cerita sang ibu menang bicara dan haknya tidak dapat dirampas oleh anaknya sendiri. 

Saya pernah menulis kisah yang hampir sama. Seorang anak menyaman ibunya sendiri. Seorang anak menghalau ibu dari rumah milik arwah suaminya yakni ayah si anak. Seorang anak yang mahu membolot semua harta si ayah. Dia anak lelaki dan katanya dia berhak atas harta itu tetapi dia lupa ibunya juga ada hak ke atas harta suami..

Apa jenis anak sehingga sanggup dan sampai hati mengheret ibu ke pengadilan? Kerana merasakan sang ibu langsung tiada hak atas semua harta peninggalan ayahnya? Konon dia ada alasan yang kukuh bagi menolak semua harta berpindah kepadanya sahaja.  Apa jenis anak berbalah dengan ibu bapa sendiri. Berpuluh tahun tidak menjejak kaki ke rumah orang tuanya. Berpuluh tahun tidak bertanya khabar berita, berpuluh tahun meninggalkan kedua orangnya dalam kesepian, kepiluan dan kerinduan. Satu-satu darah daging mereka, malah sehingga sang ayah menghembuskan nafas terakhir pun anak (yang telah dimaklumkan tentang berita pemergian), masih tidak sudi menatap wajah ayah kandungnya sendiri. Tetapi setelah urusan perkebumian selesai, dan ibu yang masih belum berhenti air matanya di atas pemergian suami secara tiba-tiba, anak datang menuntut haknya sebagai anak.

Saya teringat perkataan ini yang disebut oleh Datin A ketika ditemuramah, “Bukan salah ibu yang mengandung. Kami telah memberi yang terbaik kepadanya. Sejak kecil dia dididik dengan memberikan ilmu dunia dan akhirat. Bersekolah yang punya ilmu kedua-duanya. 

Dia dilayan sebaik-baiknya sebagai anak, paling kurang dua kali sebulan kami akan melawatnya yang ketika itu bersekolah di asrama penuh. Hari-hari yang tidak dibenarkan keluar dari kawasan asrama pun tetapi ibu bapa boleh melawat, kami membawa makanan kegemarannya dan berkemah di padang, sehinggalah waktu tamat melawat baru pulang. Kemudian ke universiti, nama universiti punya jelas Islam. Harapan kami dialah nanti yang akan mengimamkan jenazah mak dan ayahnya, dialah yang turut menggali kubur dan mengebumikan kami.”

Air mata Datin A deras mengalir. “Kami tidak menyangka hanya dengan satu peristiwa yang pada kami tidak pun besar sangat untuk dirajuk, mengamuk dan keluar rumah. Bagi kami permintaannya meminta wang yang besar jumlah alasan hendak membayai bisnis kekasih, memang tidak masuk akal. “Kahwinlah dulu, biar halal segalanya, kemudian barulah mengambil langkah seterusnya,” saya memujuknya. Jujur kami tidak berkenan dengan pilihannya tetapi kalau anak berkeras hendak mengahwini perempuan itu, kami restu. Mengapa tidak, yang hendak hidup bersama adalah mereka. Itu hal boleh dibincangkan.” 

Begitupun pada satu hari bila perempuan itu sakit, anak menuduh maknya membomohkan kekasihnya. Dia datang mengamuk, siap melemparkan perkataan mak ba alif ba ya…malah kakinya dihayung untuk menendang si ibu. Nasib tidak rebah kerana sempat diselamatkan oleh sang ayah, ini memaksa si ayah menghalaunya terus dari rumah.

Ibu dan ayah mana tidak kesal dengan perbuatan anak, pun begitu sentiasa berdoa anak insaf dan pulang ke pangkuan mereka.

Your mother will always accept you no matter how many times you broke her heart

Mei bulan meraikan ibu. Lebih tepat lagi pada Ahad 11 Mei ini seluruh dunia akan meraikan Hari Ibu. Salahkah meraikan hari itu kerana ibu sepatutnya diraikan setiap hari, setiap ketika tiada terbatas pada bulan khas?  Betul, tetapi kita terkadang tidak punya waktu untuk meluangkan masa untuk bersamanya, maka mengapa tidak sementelah diingat supaya dia diraikan, supaya hari itu digunakan memohon maaf dan mohon dihalalkan semua makan minum. 

“Tetapi I tidak pernah buat dosa dengan mama I,” jawab seorang anak. “I am always nice to her cuma mama suruh I bertudung tapi I refuse.  I told her not now mama. Mama dulu pun tidak bertudung sampai umur 50 tahun?” Nah pembuatan ini yang kamu kata kamu tidak bersalah, hah?.

Cerita saya di labour room kala melahirkan anak pertama, saya ingat sampai mati. Sakitnya Allah sahaja yang tahu. Lengan suami saya gigit sampai bekas gigitan tidak hilang lebih dua minggu. Dia memberi lengannya mengelakkan saya menjerit, katanya lah. Tetapi saya tidak sedar yang saya melalak sakit. Tiba saat dalam sakit yang teramat itu, saya teringatkan mak… saya kata dalam hati, mak lahirkan 12 anak (dua meninggal) dan aku seorang ini pun sudah rasa macam hendak mati. Kerana ingatkan mak, saya mendapatkan kekuatan dan menarik nafas panjang, dan tenangkan hati lalu berdoa mohon direstui kelahiran ini. Ihtisham lahir sihat walafiat. “Hah, mana tak sakit besar menghampiri 4kg.. Allahu Akbar.”

Ya, anak-anak yang di luar sana, jangan sehari pun kamu lupa memuliakanlah ibumu kerana doa ibu mampu menembus langit, sangat mustajab di hadapan Allah SWT. 

Jangan dehaka kepada ibu ayah kamu terutama ibu kerana restu ibu itu kunci surga.

Tidak ada satu pun yang dapat menggantikan tempat seorang ibu di hati anak-anaknya namun apakah kita sebagai anak dilahirkan, dimanja, dibesarkan, dan kamu tidak menyadari apa yang sudah diperjuangkan olehnya?

I am a strong woman because a strong woman raised me. Tepat, mak seorang yang amat kuat orangnya. Masakan tidak, dengan anak yang ramai, tanpa pembantu dia melakukan semua kerja rumah. Eh mana ada mesin pembasuh kain, lampin pakai buang, seterika, peti sejuk. Malah sewaktu saya dilahirkan pun belum ada letrik dan air yang terpaksa diceduk dari perigi. Mana mak mendapat tenaga berulang alik ke perigi, wallahuaklam. Tetapi seingat saya, saya tidak pernah mendengar keluhan itu. And becoming a mother makes me realise, i can do almost anything one-handed, sama seperti emak.

Sebagai ibu bekerja, saya mesti  pandai meluangkan masa antara kerja dan rumah tangga. Saya wajib menyediakan hidangan di meja sebelum keluar bekerja sekalipun ada pembantu,  Lalu saya rasa saya wajib masak sebelum ke tempat kerja. Saya pula mahu jadi ibu mithali, seboleh-bolehnya mahu mereka makan masakan air tangan ini. Lalu apa, terpaksa korbankan waktu tidur, korban me time, ya tiada istilah me time, kerana seluruh masa terluang ditumpukan kepada keluarga. Ini belum cerita pembantu lari dari rumah, sedang kita di pejabat. Betapa kelam kabut kami sebagai ibu ayah, mengelolakan dua anak yang masih kecil. 

Ingat anak-anakku, “no one in your life will ever love you as your mother does. There is no love as pure, unconditional as a mother’s love.” Hope Elderman

Terkenang satu lagi kisah yang membuat ada kala air mata ini menitis. Satu kampung kenal dia memang kurang ajar dengan ibunya. Usahkan minta dia menolong ibunya membuat kerja rumah, jangan menengking ibu pun sudah cukup baik. Maknya itu dia lakukan seperti sampah. Saat dia merasa tidak mampu lagi menjaga orang tuanya itu, dia menghantar maknya balik ke kampong, membiarkan sendirian tanpa ditinggalkan sekampit beras pun. Pesannya, siang ke malam ke,  jangan tutup pintu rumah, sebab kalau tutup orang kampung tidak tahu maknya di dalam rumah, nanti jiran-jiran tak hantar makanan. Ya mengharap simpati jiran tetangga memberi maknya makan dan minum.

Sekarang dia lupa siang atau malam, kakinya asyik ke pusara maknya. Sebab dia tidak tahan duduk di rumah,  anak-anak memperlakukan seperti mana dia memperlakukan kepada ibunya. Dan yang paling dikesalkan, tidak seorang pun daripada lima anaknya menjadi walau ada yang lulus cemerlang, berakhir ada kerja lori sampah dan ada kaki dadah. 

Daripada Abu Bakrah r.a daripada Nabi SAW, Baginda bersabda, “setiap dosa akan diakhirkan oleh Allah SWT sekehendakNya sampai hari kiamat, kecuali dosa besar yang menderhakai kedua orang tua. Sesungguhnya Allah SWT akan menyegerakan (balasan) kepada pelakunya ketika hidupnya sebelum mati.”

Dan cinta seorang ibu bersinar dengan segala keindahannya

daripada permata yang paling langka dan paling cemerlang,

Ini jauh melampaui definisi,

Cinta seorang ibu menentang semua penjelasan,

Dan itu masih menjadi rahasia

seperti misteri penciptaan- Helen Steiner

Related posts

Cerita Kahwin

Wirda Adnan

Membina Istana Cinta

Wirda Adnan

Lelaki Dengar Sini…

Wirda Adnan

Leave a Comment