kesihatan

APA YANG WANITA PERLU TAHU MENGENAI FIBROID DAN
CYST?

14 / 100

Meskipun sering terjadi di kalangan wanita, perbezaan bagi kebanyakan penyakit tanpa simptom seperti fibroid dan cyst mungkin tidak diketahui ramai

Mengetahui keadaan badan dan tahap kesihatan masing-masing sememangnya dapat membantu kita untuk menjadi lebih sihat. Namun, terdapat beberapa keadaan di mana ia mungkin sedikit mencabar untuk membezakan penyakit. Sebagai contoh, fibroid dan sista (cyst) kerap didiagnos di kalangan wanita tetapi ramai tidak mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan fibroid dan cyst serta persamaan dan perbezaan di antara kedua penyakit ini. 

Walaupun fibroid dan cyst selalunya tidak bergejala dan hanya dapat dikesan ketika pesakit menjalani pemeriksaan imbasan ultrasound abdomen dan pelvis, pakar perunding daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) berkongsi jawapan kepada pelbagai persoalan yang sering menjadi tanda tanya ramai wanita.  

Apakah kekerapan kedua penyakit ini dan bolehkah pesakit mendapat fibroid dan cyst pada masa yang sama?

Dr Wong Yen Shi, Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan daripada SMCV berkongsi bahawa fibroid adalah ketumbuhan bukan kanser yang bermula daripada otot rahim dan sering terjadi kepada wanita semasa mereka berada di fasa reproduktif. Manakala bagi sista ovari atau ovarian cysts, ia adalah kantung yang kebanyakannya mengandungi cecair, kadangkala tisu atau darah yang tumbuh di dalam ovari atau di permukaannya.

Tidak seperti fibroid yang merupakan ketumbahan bukan kanser, cyst berkemungkinan untuk menjadi beningna (tumor bukan kanser) atau malignan (tumor jenis kanser). Doktor akan menggunakan imbasan ultrasound dan ujian penanda tumor CA125 untuk membezakan kedua jenis ketumbuhan ini. Ketumbuhan ovari lebih banyak berlaku kepada wanita berusia 60 ke 65 tahun. Namun begitu, Dr Wong memberi jaminan bahawa kebanyakan cyst adalah jenis beningna. “Kebanyakan cyst akan hilang dengan sendiri dalam beberapa bulan manakala cyst tidak berbahaya seperti follicular cyst atau corpus luteal akan membesar dan hilang bersama kitaran haid seorang wanita,” katanya. 

Seorang wanita boleh mengidap fibroid dan cyst pada masa yang sama – memandangkan keadaan pesakit adalah berbeza-beza, cara merawat dan memantau penyakit ini bergantung kepada saiz dan simptom yang dialami pesakit. 

Apa yang menyebabkan penyakit ini berlaku dan apakah simptom untuk dikenal pasti?

Walaupun punca sebenar mengapa fibroid boleh berlaku masih lagi tidak dapat dikenal pasti sehingga kini, Dr Wong menyatakan bahawa hormon, genetik dan faktor pertumbuhan (produk gen yang boleh menggalakkan atau menghalang mitosis atau menjejaskan pembezaan selular) dikatakan sebagai faktor kepada berlakunya fibroid dan cyst. “Seperti fibroid, cyst berlaku secara semula jadi. Kehamilan, jangkitan pada pelvis, endometriosis dan sejarah kesihatan mengalami cyst ovari juga boleh meningkatkan kemungkinan untuk mendapat cyst ovari,” kongsi Dr Wong. 

“Fibroid dan cyst juga mungkin menunjukkan simptom yang sama. Contohnya, haid yang tidak teratur atau menyakitkan, kerap membuang air kecil atau sembelit, kembung perut, sakit belakang, pertambahan berat badan yang tidak dapat dijelaskan atau persetubuhan yang menyakitkan. Manakala mereka yang mengalami fibroid berkemungkinan untuk mengalami pendarahan haid yang banyak jika dibandingkan dengan cyst. Dalam kes ketumbuhan ovari, rasa cepat kenyang ketika makan, hilang berat badan dan selera makan adalah antara simptom yang pesakit boleh perhatikan.”

Bolehkah fibroid dan cyst memberi kesan terhadap kesuburan?

Dr Farah Leong Rahman, Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan berkongsi bahawa kebanyakan wanita yang menghidapi fibroid dan cyst tidak mempunyai masalah untuk hamil. Namun, bergantung kepada saiz dan lokasi fibroid tersebut, ia mungkin memberi kesan kepada tahap kesuburan pesakit. 

“Fibroid dan cyst selalunya tidak akan menjadi penghalang jika seseorang pesakit itu ingin hamil. Namun terdapat kemungkinan bagi kedua penyakit ini untuk menyebabkan tiub fallopio tersumbat atau menyebabkan persekitarannya menjadi tidak kondusif untuk implantasi embrio terutamanya bagi fibroid yang terletak pada dinding rahim. Manakala rawatan bagi penyakit ini bergantung kepada simptom yang dialami pesakit dan pembedahan hanya akan dilakukan jika ia dapat meningkatkan peluang kehamilan,” katanya. 

Adakah fibroid atau cyst akan memberi kesan kepada perkembangan bayi atau kesihatan ibu?

Dr Farah berkongsi bahawa kebimbingan terbesar apabila mempunyai fibroid ketika hamil adalah risiko kelahiran awal. “Dalam sesetengah kes, ia boleh menyebabkan kesakitan yang teruk di mana fibroid akan melebihi bekalan darah pesakit. Jika fibroid bersaiz besar, ia boleh menyebabkan kedudukan bayi berada pada posisi yang salah (kepala tidak berada di bawah walaupun sudah cukup bulan.) 

Manakala bagi cyst ketika kehamilan, ia selalunya tidak akan memberikan mudarat kecuali jika cyst itu cukup besar dan menyebabkan koyakan. Dr Farah menasihatkan pesakit untuk mendapatkan nasihat daripada doktor sebelum memulakan perancangan kehamilan mereka bagi memastikan semuanya berada pada keadaan yang baik. 

Bagaimana untuk merawat fibroid dan cyst?

Seperti dikongsi Dr Farah, rawatan individu atau ‘personalized treatment’ adalah kunci untuk merawat fibroid dan cyst – cyst bersaiz kecil selalunya tidak memerlukan rawatan dan pertumbuhannya akan dipantau, manakala cyst bersaiz besar akan memerlukan pembedahan secara laparoskopi atau secara terbuka (open surgery).

“Pembedahan masih kekal sebagai solusi bagi rawatan fibroid. Apabila kesuburan menjadi kebimbangan, miomektomi (pembuangan fibroid) boleh dilakukan melalui pembedahan terbuka, laparoskopi atau melalui miomektomi histeroskopik bergantung kepada saiz dan lokasi fibroid. Bagi wanita yang tidak mahu menambah cahaya mata atau dalam fasa selepas menopaus, histerektomi (pembuangan rahim) akan dipertimbangkan,” kongsi Dr Wong.

Uterine arteri embolisasi dan kemajuan baharu dalam teknologi seperti pembedahan High Intensity Focused Ultrasound (HIFU) adalah antara alternatif lain tetapi rawatan-rawatan ini masih belum tersedia secara meluas di kebanyakan hospital. Bagi pesakit yang tidak memerlukan pembedahan, mereka akan diberikan rawatan perubatan untuk melegakan simptom seperti pendarahan haid yang banyak serta haid yang menyakitkan. 

Apa yang boleh dilakukan untuk menghindari penyakit ini?

Dr Farah menekankan bahawa fibroid dan cyst bukan penyakit yang boleh diwarisi – bermakna ia tidak diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain. Namun, ia masih boleh berlaku dalam sesebuah keluarga. Beliau mengesyorkan para wanita untuk melakukan pemeriksaan ginekologi secara berkala kerana ketumbuhan fibroid dan cyst mungkin tidak menyebabkan sebarang simptom dan mungkin tidak disedari. “Amat penting untuk membuat pemeriksaan berkala dengan doktor anda untuk melakukan imbasan ultrasound bagi memantau saiz fibroid atau cyst dan untuk memeriksa simptom anda. Tidak semua fibroid atau cyst memerlukan pembedahan. Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai simptom atau merancang untuk hamil, doktor boleh mengesyorkan rawatan yang sesuai untuk anda.

“Masih tiada bukti yang boleh membantu mencegah ketumbuhan fibroid atau cyst. Tetapi mengamalkan gaya hidup sihat dan mengekalkan diet seimbang adalah cara yang baik untuk kesihatan anda secara menyeluruh,” kata Dr Farah sebagai penutup.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button