FESYEN

LELAKI, USIA BUKAN ALASAN UNTUK TIDAK BERGAYA

A Gentleman Never Retires from Grooming

Ada sesuatu yang menarik apabila melihat seorang lelaki berusia 60-an atau 70-an yang masih tahu membawa dirinya. Rambutnya mungkin sudah beruban, wajahnya mungkin sudah dihiasi garis usia, tetapi pakaiannya kemas, kasutnya bersih, rambutnya terurus dan keseluruhan penampilannya memperlihatkan seorang lelaki yang masih menghargai dirinya.

Sebaliknya, ada juga lelaki yang apabila memasuki usia 60-an seolah-olah bersara daripada segala urusan berkaitan penampilan. Baju dipilih sekadar ada, seluar tidak lagi mengikut bentuk tubuh, kasut sudah tak ambil kisah sesuai majlis atau tidak dan rambut dibiarkan tanpa potongan yang sesuai. Seakan-akan apabila usia bertambah, tidak ada lagi sebab untuk kelihatan menarik.

Mengapa perlu begitu?

Menjadi lelaki matang tidak bermaksud perlu mengabaikan penampilan. Malah, usia sepatutnya menjadikan seseorang lelaki lebih memahami kepentingan membawa diri dengan baik. Kita tidak perlu kelihatan seperti lelaki berusia 30 tahun, tetapi sekurang-kurangnya biarlah penampilan mencerminkan lelaki yang tahu menjaga dirinya. Rambut beruban, wajah yang semakin berusia dan perubahan bentuk tubuh bukan sesuatu yang perlu disembunyikan. Apa yang penting ialah bagaimana seorang lelaki menyesuaikan gaya dengan usianya, menjaga kekemasan dan terus mempunyai keyakinan untuk membawa diri dalam apa jua keadaan. Penampilan yang baik bukan milik lelaki muda sahaja.

Jangan sampai kawan lama sendiri terkejut melihat kita, bukan kerana sudah lama tidak bertemu, tetapi kerana penampilan kita terlalu jauh berubah daripada apa yang mereka kenali dahulu.

1. Rambut Beruban Bukan Masalah, Rambut Tidak Terurus Itu Masalah

Tidak perlu terlalu ghairah mewarnakan rambut untuk menutup setiap helai uban. Rambut putih atau kelabu yang dipotong kemas sebenarnya boleh memberikan karakter dan daya tarikan tersendiri.

Pilih potongan rambut yang sesuai dengan bentuk wajah. Jika mempunyai misai atau janggut, pastikan ia dirapikan. Jangan biarkan rambut menjadi terlalu panjang atau tidak berbentuk sehingga keseluruhan wajah kelihatan tidak terurus.

Lelaki juga perlu memberikan perhatian kepada kulit wajah. Pencuci muka, pelembab dan pelindung matahari bukan hanya untuk wanita. Penjagaan asas ini membantu kulit kelihatan lebih sihat dan segar.

2. Kenali Pakaian Yang Sesuai Dengan Usia Dan Tubuh

Salah satu kesilapan lelaki apabila meningkat usia ialah terus memakai pakaian yang sama seperti 20 tahun dahulu, tanpa mengambil kira perubahan bentuk tubuh.

Ada yang terlalu gemarkan kemeja besar, seluar terlalu longgar atau T-shirt yang sudah kehilangan bentuk. Ada pula yang masih menyimpan pakaian lama dengan harapan suatu hari nanti dapat memakainya semula.

Sudah tiba masanya membuat sedikit perubahan.

Kemeja yang mempunyai potongan tepat, seluar tailored, polo shirt berkualiti, blazer ringan dan jaket kasual boleh menjadi asas almari pakaian lelaki matang.

Tidak perlu terlalu mengikut trend. Pilih pakaian yang mempunyai potongan bersih, fabrik berkualiti dan warna yang mudah dipadankan.

3. Berpakaian Mengikut Majlis, Bukan Mengikut Keselesaan Semata-mata

Tidak semua tempat memerlukan pakaian yang sama. T-shirt dan seluar santai mungkin sesuai untuk membeli-belah atau bersarapan bersama keluarga, tetapi apabila menghadiri majlis perkahwinan, makan malam rasmi atau acara korporat, berikan sedikit penghormatan melalui pakaian yang bersesuaian.

Untuk acara formal, sut atau blazer dengan kemeja yang kemas memberikan penampilan lebih berwibawa. Untuk makan malam santai, kemeja linen atau polo shirt dengan seluar tailored sudah memadai.

Lelaki yang tahu berpakaian mengikut acara memperlihatkan bahawa dia memahami suasana dan menghormati tuan rumah serta tetamu yang hadir.

4. Jangan Pandang Ringan Tentang Kasut

Kasut boleh menceritakan banyak perkara tentang seorang lelaki.

Sepasang kasut kulit yang bersih dan terjaga, loafers yang sesuai atau sneakers putih yang kemas boleh melengkapkan penampilan. Tidak perlu memiliki puluhan pasang kasut, tetapi sekurang-kurangnya miliki beberapa pilihan yang sesuai untuk acara berbeza.

Elakkan memakai kasut sukan untuk setiap kesempatan, terutama apabila menghadiri majlis yang memerlukan penampilan lebih formal.

Dan satu perkara: kasut mahal tidak semestinya menjadikan seseorang bergaya jika tidak dijaga dengan baik.

5. Wangian Dan Aksesori Membentuk Identiti

Wangian yang sesuai memberikan sentuhan akhir kepada penampilan lelaki. Pilih bau yang bersih, tidak terlalu kuat dan sesuai dengan personaliti serta acara.

Jam tangan juga merupakan aksesori yang boleh memberikan karakter. Tidak perlu jam tangan mewah atau berjenama terkenal. Reka bentuk klasik dan bersesuaian dengan pakaian sudah cukup.

Begitu juga tali pinggang. Padankan dengan kasut apabila sesuai dan pastikan semuanya berada dalam keadaan baik.

6. Jangan Takut Menerima Pandangan

Kadangkala lelaki terlalu selesa dengan gaya sendiri sehingga sukar menerima cadangan untuk berubah. Apabila isteri atau anak mencadangkan baju baharu, jawapannya sering sama: “Ini pun sudah cukup.”

Mungkin benar. Tetapi cukup untuk apa?

Jika sudah bertahun-tahun tidak memperbaharui pakaian, mungkin sudah tiba masanya melihat semula apa yang ada dalam almari. Minta pandangan mereka yang memahami fesyen, cuba potongan baharu dan berikan peluang kepada diri sendiri untuk kelihatan sedikit berbeza.

Perubahan tidak semestinya besar atau mahal. Kadangkala menukar potongan rambut, memilih kemeja yang lebih sesuai atau membeli sepasang kasut baharu sudah cukup mengubah keseluruhan penampilan.

7. Penampilan Yang Baik Mengundang Rasa Hormat

Kita tidak perlu menjadi ahli perniagaan, tokoh korporat atau individu terkenal untuk berpakaian dengan baik. Sama ada seorang pesara, usahawan, profesional, bapa, datuk atau suami, setiap lelaki mempunyai alasan untuk menjaga penampilan dirinya.

Penampilan bukan ukuran mutlak keperibadian atau kekayaan seseorang. Namun, apabila kita tampil kemas, bersih dan bersesuaian dengan keadaan, kita memberikan gambaran bahawa kita menghargai diri sendiri dan menghormati orang lain.

Jangan tunggu jemputan makan malam, perkahwinan anak atau pertemuan dengan kenalan lama untuk mula berpakaian baik. Jadikan ia sebahagian daripada kehidupan seharian.

A GENTLEMAN NEVER RETIRES FROM LOOKING GOOD.

Usia 60 bukan noktah kepada gaya. Usia 70 bukan alasan untuk berhenti mengambil berat tentang penampilan. Malah, lelaki yang matang mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki ketika muda: pengalaman, kematangan dan personaliti yang terbentuk melalui perjalanan hidup.

Biarlah rambut beruban, tetapi jangan biarkan penampilan kusam. Biarlah usia bertambah, tetapi jangan sampai semangat untuk menjaga diri turut hilang. Kerana seorang gentleman tidak diukur melalui harga jam tangannya, jenama kasutnya atau mahalnya sut yang dipakai. Dia dikenali melalui cara dia membawa diri.

Dan lelaki yang tahu menghormati dirinya sendiri akan sentiasa mempunyai gaya tersendiri.

Related posts

GABRIELLE UNION AND DWYANE WADE WEAR TIFFANY & CO. AT THE 2023 MET GALA

adminwm

Suunto 9 Peak Pro serba baharu

adminwm

YANI BAKTIER-Membawa Sentuhan Nusantara ke New York

Wirda Adnan

Leave a Comment