GAYA HIDUP

RIANG RIA FEST 2026 MERAIKAN MUZIK, BAKAT MUDA DAN KEBERSAMAAN

Dalam kemeriahan festival hujung tahun, Riang Ria Fest 2026 – All Got Lah! hadir dengan pendekatan yang lebih bermakna. Bukan sekadar menawarkan hiburan untuk seisi keluarga, festival ini turut membuka ruang kepada pembangunan bakat muda Malaysia, khususnya dalam bidang muzik dan seni persembahan.

Menerusi peranannya sebagai Rakan Rasmi Muzik, Yayasan Amanah Industri Kreatif Kebangsaan (YAIKK) membawa agenda pembangunan muzik yang merangkumi pendidikan, latihan, persembahan serta pengurusan seni. Di bawah pimpinan Datuk Zulkifli Ishak, YAIKK berpegang kepada tiga tonggak utama, iaitu Inspire, Empower dan Excel, sebagai landasan memperkasa potensi generasi muda.

Kerjasama bersama Qube Integrated Malaysia Sdn. Bhd. dan Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) menjadikan Riang Ria Fest sebagai platform yang menggabungkan hiburan, pembangunan bakat dan penglibatan masyarakat.

Muzik Ruang Mengembangkan Potensi

Antara pengisian utama YAIKK ialah bengkel alat muzik brass dan tiupan, drumline, perkusi serta colour guard. Pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan ensembel orkestra sekolah, concert band dan marching band, termasuk kumpulan yang pernah meraih gelaran Champion of Champions serta kejuaraan kebangsaan.

Pentas festival ini menjadi ruang untuk bakat muda memperlihatkan hasil latihan, disiplin dan kesungguhan mereka. Di sebalik setiap persembahan, tersimpan usaha para pelajar, pendidik dan pengarah pancaragam dalam membentuk kecemerlangan muzik.

Menerusi Band Fundraising Program pada 5 dan 6 Disember, YAIKK turut berusaha menyokong pendidikan muzik serta perkembangan seni belia. Usaha ini akan diteruskan melalui Band Program 2027 yang menyediakan laluan pembangunan lebih tersusun kepada kumpulan muzik sekolah.

Selain itu, Judges College yang mendapat pengiktirafan Asian Marching Band Confederation (AMBC) bertujuan meningkatkan standard pengadilan pertandingan pancaragam. Band Management Seminar pula memberi pendedahan berkaitan operasi, logistik, pemasaran dan pentadbiran program muzik.

Kerjasama strategik dengan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut membantu menyelaraskan pembangunan bakat dengan matlamat pendidikan negara, sekali gus membuka peluang kepada pelajar untuk berkembang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Festival Keluarga dengan Pelbagai Tarikan

Dianjurkan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn. Bhd., Riang Ria Fest 2026 – All Got Lah! merupakan festival hujung tahun yang dirancang khusus untuk keluarga dan orang ramai, bersempena cuti sekolah serta persiapan kembali ke sekolah.

Menurut Pengarah Urusan Qube Integrated Malaysia, Jessie Tan, festival ini merupakan penganjuran pertama syarikat tersebut yang memberi tumpuan khusus kepada keluarga dan orang ramai selepas bertahun-tahun berpengalaman dalam penganjuran pameran perdagangan, persidangan industri dan acara perniagaan.

Berlangsung selama tiga hari di MITEC, Kuala Lumpur, festival ini menghimpunkan pelbagai aktiviti di bawah satu bumbung. Antara tarikannya ialah Bazar Haiwan Peliharaan bersama KeciMeow Market, petting zoo yang menampilkan hampir 20 jenis haiwan, bengkel muzik, persembahan bakat muda, aktiviti kanak-kanak serta tawaran membeli-belah hujung tahun.

Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai pilihan makanan, minuman dan persembahan pentas dalam suasana santai bersama keluarga.

Penganjuran festival ini turut berpotensi merancakkan pelancongan domestik dan ekonomi tempatan, sekali gus memberi manfaat kepada sektor perhotelan, makanan, pengangkutan dan perniagaan setempat.

Gift of Joy: Kegembiraan yang Dikongsi

Di sebalik kemeriahan festival, Riang Ria Fest turut membawa nilai kemasyarakatan menerusi Gift of Joy, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh MITEC di bawah program kelestarian #myWorld.

Menerusi inisiatif ini, orang ramai digalakkan menyumbangkan mainan baharu atau preloved yang masih elok untuk kanak-kanak daripada rumah kebajikan terpilih. Mereka juga akan dijemput menyertai festival pada Disember nanti bagi menikmati pelbagai aktiviti yang disediakan.

Sumbangan yang diberikan mungkin kelihatan kecil, namun mampu membawa kegembiraan besar kepada penerimanya. Inisiatif ini turut mengajak masyarakat untuk berkongsi rezeki dan menyemai semangat keprihatinan.

Penglibatan tetamu kehormat dalam aktiviti sumbangan mainan ketika pelancaran awal pada 27 Oktober lalu menjadi simbol permulaan usaha tersebut, sekali gus memperlihatkan kepentingan kerjasama antara organisasi, industri dan masyarakat.

Menghimpunkan Hiburan, Inspirasi dan Komuniti

Riang Ria Fest 2026 – All Got Lah! membawa pengalaman lebih luas daripada sebuah festival biasa. Gabungan agenda pembangunan muzik YAIKK, aktiviti keluarga serta inisiatif Gift of Joy menjadikan acara ini platform yang meraikan kreativiti, kebersamaan dan semangat komuniti.

Bagi YAIKK, festival ini membuka peluang untuk memperkenalkan pendidikan muzik dan bakat muda kepada khalayak lebih luas. Bagi pengunjung pula, ia menawarkan ruang untuk menikmati hiburan, meneroka aktiviti baharu dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

Kerjasama antara YAIKK, Qube Integrated Malaysia, MITEC dan rakan strategik lain membuktikan bahawa sebuah festival mampu menyatukan hiburan, pembangunan bakat dan tanggungjawab sosial dalam satu pengalaman bermakna.

Riang Ria Fest 2026 – All Got Lah! akan berlangsung pada 4 hingga 6 Disember 2026, dari 10 pagi hingga 8 malam di MITEC, Kuala Lumpur. Tiket masuk umum berharga RM5 bagi pengunjung berumur 13 tahun ke atas, manakala kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah boleh masuk secara percuma. Tiket petting zoo pula berharga RM5 seorang.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web rasmi riangria.my.

Related posts

An Authentic Taste of Traditional Japan Outside of Japan

adminwm

Bila Persahabatan dan Cinta Bertembung

adminwm

THE GRACE OF NOT COMPETING

Suraya Baktier

Leave a Comment