GAYA HIDUP

THE GRACE OF NOT COMPETING

Pagi yang tenang.

Selepas bersarapan bersama suami, saya mengambil sedikit masa di meja kecil berhampiran jendela ruang tamu. Cahaya pagi masih lembut. Kota belum benar-benar sibuk. Ada sesuatu tentang pagi yang memberi ruang untuk saya jujur kepada diri sendiri.

Suami saya seorang arkitek. Selama bertahun-tahun saya mengikutinya menghadiri pameran seni bina, pembukaan galeri dan persidangan reka bentuk di luar negara. Saya lebih banyak memerhati daripada berbicara. Saya belajar bahawa seni, seperti kehidupan, menuntut disiplin dan kesabaran. Bahawa sesuatu yang kelihatan indah selalunya lahir daripada struktur yang kukuh.

Mungkin sebab itu saya selalu tertarik kepada kecantikan yang tidak terlalu cuba.

Pagi ini saya mengenakan sedikit Chanel No. 19 — wangi yang bersih, hijau, dan sedikit tegas. Ia mengingatkan saya bahawa kewanitaan tidak semestinya manis untuk menjadi elegan dan antara bau yang paling digemari suami. Setiap kali dia ke Paris, dia tidak pernah lupa membelikan sesuatu jika saya tidak ikut serta. Katanya di Lapangan Terbang Paris-Charles de Gaulle pilihan pewanginya pelbagai, dan dia kalah dengan bau yang memikat, lantas pulang membawa saya sebotol dua.

Petang nanti saya akan bertemu beberapa rakan universiti. Kami jarang bertemu, tetapi setiap kali kami duduk semeja, masa seperti berlapis kembali. Dalam salah satu pertemuan itulah, lima bulan lalu, saya berkata kepada suami saya dalam perjalanan pulang, “I think I want to start writing again.”

Hasrat itu hadir selepas saya bertemu dengan teman lama Wirda Adnan. Perbualan kami tentang wanita, maruah diri dan makna refinement, membuka semula sesuatu yang sudah lama saya simpan. Saya sedar bahawa ada pengalaman yang tidak harus dibiarkan diam terlalu lama.

Saya tidak menulis untuk menjadi suara paling lantang.

Saya menulis kerana saya percaya bahawa wanita yang tenang juga mempunyai cerita yang perlu dihormati.

Di ruangan ini, saya ingin berkongsi apa yang saya pelajari — tentang usia tanpa rasa takut, tentang feminiti tanpa persaingan, tentang kecantikan yang lahir daripada disiplin dan doa yang tidak selalu dilihat.

Jika tulisan ini menemui anda pada pagi yang sunyi seperti ini, mungkin itu bukan kebetulan.

Hasrat bertemu geng terpaksa dibatalkan memberi peluang saya menemani suami ke sebuah majlis kasual. Memang tiada rancangan tetapi kerana katanya cuma majlis santai, saya setuju turut serta. Melaram dengan pant baggy dan top floral, saya memilih Portrait of a Lady — aroma yang tegas, dalam, dan sedikit mysterious. Ia seperti peringatan lembut bahawa kehadiran tidak perlu dibesar-besarkan untuk dirasakan.

Saya memerhati orang di sekeliling — mereka sibuk, tergesa-gesa, bercakap kuat untuk didengar. Dan saya tersenyum sendiri.  Teringat satu peristiwa, ia sukar untuk dilupakan dan kekal di sanubari : sewaktu awal kerjaya, saya pernah berada dalam satu acara sosial yang penuh glamor dan gosip, di mana semua orang bersaing untuk perhatian. Saya terdiam melihat bagaimana wanita-wanita ‘bangsawan’, saya sebut bangsawan kerana dari top to toe nampaknya berjenama dan berlumba-lumba untuk menonjol — sehingga terlupa diri sendiri. Saat itu, ibu yang hadir bersama menepuk bahu saya dan berkata, “Su, tidak semua perlumbaan harus kau ikut. Kadang, berdiri tenang itu lebih berkuasa daripada bersuara paling lantang.”

Pesanan itu tidak hilang daripada ingatan. Ia terus membimbing saya ketika saya memilih untuk berhenti kerja, menjadi suri rumah, menemani suami, dan membesarkan anak perempuan kami. Dunia mungkin melihatnya sebagai keputusan mundur. Tetapi bagi saya, itu adalah ruang untuk mengekalkan integriti, maruah, dan ketenangan.

Kadang-kadang, elegan adalah tentang memilih untuk tidak bersaing. Untuk berdiri dengan tenang, membiarkan orang menyesuaikan diri dengan ritma kita. Di saat manusia suka sangat menuntut perhatian, refinement sejati lahir daripada pilihan: mendengar lebih banyak daripada bercakap, menghormati ruang sendiri dan orang lain, menjaga diri dengan disiplin, bukan obsesi.

Saya menulis nota kecil tentang orang di sekeliling, cara mereka bergerak, tersenyum, dan diam. Ia adalah pembelajaran tentang kesabaran, tentang bagaimana keheningan menjadi kekuatan, dan bagaimana wanita yang tenang meninggalkan kesan lebih lama daripada mereka yang berteriak untuk diperhatikan.

Mungkin itu yang saya maksudkan dengan “The Grace of Not Competing.” Ia bukan tentang menang atau menonjol. Ia tentang bagaimana kita berdiri dalam dunia ini, dengan maruah dan keanggunan, walau tanpa sorotan lampu.

Bulan depan saya sambung lagi.Saya bawa laptop ke katil di  kamar tidur. Sebelum itu saya sempat menyemburkan pewangi ke badan. Saya pilih pewangi yang aromanya menenangkan, kerana beratur di meja solek, malam ini berasa nak bau lavender. Kadang saya senang bau chamomile, ada masa cdndana mahupun melati dan vanila. Untuk tidur lena  saya senang dengan pillow spray, reed diffuser atau essential oil, pasti nyenyak sampai ke pagi. Ya, nak tidur kena berwangi-wangi pastinya. 

Related posts

Penawar Kencing Manis

admin

Treat Yourself To A 5-Star Sleep Experience with Locally Designed Sheets from GAIAS Home

adminwm

Urus Haid Cara Bermaruah

admin

Leave a Comment