EYE ME

90-AN, ZAMAN KITA MENJADI DIRI SENDIRI

Nostalgia kembali, tetapi kali ini dengan pengalaman

Ketika menyelak laporan kecantikan musim Luruh/Sejuk 2026, saya teruja sekali. Teringat akan zamannya, dan sejujurnya saya mencintai 90-an. Bukan semata-mata kerana fesyennya, rambutnya, muziknya atau nostalgia yang datang bersama dekad itu. Saya mencintainya kerana siapa saya ketika itu.

Itulah zaman ketika saya semakin tahu apa yang terbaik untuk diri saya — apa yang sesuai dengan saya, apa yang tidak, apa yang saya mahu dan, lebih penting, ke mana saya mahu pergi.

Dalam kerjaya, saya sedang on the go. Banyak yang berlaku, banyak yang dipelajari dan banyak pintu yang mula terbuka. Dunia editorial, majalah, fesyen dan wanita menjadi sebahagian besar daripada hidup saya. Dan di antara helaian-helaian majalah itulah saya membesar sebagai seorang editor, seorang wanita dan seorang pemerhati kehidupan.

Dan mungkin sebab itu, apabila 90-an kembali ke pentas fesyen hari ini, saya tidak melihatnya sekadar sebagai trend yang datang semula. Saya melihatnya sebagai sesuatu yang lebih dekat.

Seperti membuka sebuah almari lama dan menemukan bukan sekadar pakaian, tetapi sebahagian daripada diri kita yang pernah tinggal di dalamnya.

Namun ada satu perkara yang berbeza. Kita bukan lagi wanita yang sama. Kita sudah melalui terlalu banyak perkara untuk sekadar mengulang apa yang pernah kita pakai.

Hari ini, kita mengambil 90-an dan memakainya dengan pengalaman. Dan bagi saya, itulah yang membuatkan nostalgia menjadi matang.

WHEN 90s MEETS EXPERIENCE

Dekad 90-an mempunyai satu kesederhanaan yang sangat saya rindukan.

White shirt.
Tailored blazer.
Denim.
Slip dress.
Loafers.
A beautiful handbag.
Red lipstick.

Tidak terlalu banyak. Tidak terlalu sarat. Dan mungkin kerana itu, pakaian-pakaian tersebut masih terasa moden hingga hari ini. Cuma wanita yang memakainya sudah berubah. Dahulu, dia mungkin memilih blazer kerana ia membuatkan dia kelihatan lebih sophisticated. Hari ini dia memilihnya kerana kita tahu potongan yang benar-benar sesuai dengan tubuh kita.

Dahulu dia membeli beg kerana sukakan logonya. Hari ini dia mungkin lebih menghargai kulit, craftsmanship dan bagaimana ia akan menemani dia bertahun-tahun.

Dahulu dia mengikut trend. Hari ini dia edit. Itulah kelebihan usia. Dia tahu bahawa tidak semua yang cantik pada orang lain akan menjadi cantik dirinya. Dan tidak semua yang sedang trending perlu dia miliki.

Experience teaches us to choose.

… AND THE WOMAN I WAS BECOMING

Ada sesuatu tentang era majalah dahulu yang sukar diterangkan kepada generasi hari ini. Majalah bukan sekadar content. Ia adalah sebuah pengalaman. Kita menunggu keluaran baharu. Membuka helaian demi helaian. Melihat fesyen, kecantikan, wanita, kehidupan dan dunia dari perspektif yang berbeza.

Dan bagi saya, majalah-majalah tempat saya bekerja adalah sebahagian daripada perjalanan itu. Di situlah saya belajar bahawa menjadi editor bukan sekadar memilih gambar yang cantik atau menulis cerita yang menarik. Ia tentang memahami wanita. Apa yang mereka mahu baca.

Apa yang mereka fikirkan,  yang mereka takutkan, yang mereka impikan. Dan bagaimana sebuah majalah boleh menjadi teman kepada seorang wanita pada satu-satu musim kehidupannya. Mungkin tanpa saya sedari ketika itu, tahun-tahun tersebut sedang membentuk cara saya melihat wanita sehingga hari ini.

THE 90s WOMAN HAS GROWN UP

Sebab itu saya tidak mahu melihat kebangkitan 90-an sebagai usaha untuk menjadi muda kembali. Tidak. Kita tidak perlu kembali menjadi wanita yang dahulu. Kita hanya perlu mengambil perkara terbaik daripada wanita itu. Keberaniannya. Kesederhanaannya. Keyakinannya. Dan kemudian menambah sesuatu yang hanya boleh datang dengan usia: wisdom.

Hari ini, saya mungkin masih menyukai blazer 90-an. Masih menyukai denim dan percaya kepada sebuah white shirt yang sempurna. Dan saya memakainya kerana saya tahu siapa saya. Dan mungkin itulah definisi sebenar gaya apabila kita semakin matang. Bukan tentang kelihatan lebih muda tetapi dilihat lebih yakin. Bukan tentang memiliki lebih banyak sebalik memilih yang lebih baik. Bukan juga tentang mengikuti fesyen tetapi mengetahui bila fesyen itu patut menjadi sebahagian daripada diri kita — dan bila ia patut kita biarkan berlalu.

THE BEST OF THE 90s, THE BEST OF US

Maka apabila 90-an kembali musim ini, ambillah yang terbaik daripadanya. Blazer yang bagus. Denim yang sempurna. Slip dress yang sederhana. Loafers. Minimal jewellery.

Tudung yang belitannya tidak melampau, atau rambut yang lebih natural. Makeup yang tidak terlalu sempurna. Dan mungkin yang paling penting — the attitude.

Kami menyarungkan bomber jaket kepada penghias kulit September 2026, tiba-tiba saya teringat jaket itu seakan serupa yang pernah ada di almari baju. Masa itu masih cantik, tetapi kerana sizenya, bukan ia mengecil tetapi saya yang ‘membesar’, ia disedekah pada anak saudara saya, Nah fesyen lama kembali, saya katakan pada Afiza, “please book that for me too, remind me of my younger day.”

Kerana fesyen boleh kembali dan trend boleh berulang. Siluet juga berubah tetapi pengalaman tidak pernah boleh diulang.

Kita yang pernah hidup melalui 90-an membawa sesuatu yang tidak boleh dibeli di mana-mana butik: memori. Dan memori itulah yang menjadikan sesuatu yang lama terasa baharu.

Saya mencintai 90-an.

Kerana ia mengingatkan saya kepada satu masa ketika saya sedang berlari mengejar impian, belajar mengenal dunia dan perlahan-lahan menemukan suara saya sendiri.

Hari ini, apabila dekad itu kembali, saya tidak mahu kembali ke sana. Saya hanya mahu membawa yang terbaik daripadanya bersama saya.

Dan fesyen bukan tentang usia. Ia bagaimana kita membawa diri. Mungkin selepas semua tahun yang telah berlalu, inilah versi 90-an yang paling saya sukai:

90-an, tetapi dengan wisdom.

90-an, tetapi dengan keyakinan.

90-an, tetapi sudah tahu apa yang terbaik untuk diri sendiri.

Related posts

Cerita di Wad Kecemasan

Wirda Adnan

Cinta dan Perkahwinan

Wirda Adnan

Hero Ku

Wirda Adnan

Leave a Comment