GAYA HIDUP

SEABAD, DAN MASIH BERBUNGA

Tun Dr Siti Hasmah pada usia 100: muzik, bunga, gelak tawa dan sedikit cerita tentang cinta

“Kenapa baru 100 tahun baru nak jemput saya dan sambut?” Tun Dr Siti Hasmah sendiri yang bertanya.

Seluruh ruang ketawa.

Dan mungkin, tiada cara yang lebih sempurna untuk memulakan petang yang meraikan usia 100 tahun selain dengan jenaka daripada wanita yang diraikan sendiri.

Bukan dengan angka 100. Tidak juga dengan protokol. Bukan juga dengan deretan panjang pencapaian yang sudah begitu kita kenali tetapi dengan ketawa seorang wanita yang masih tahu menikmati hidup.

Petang itu, Yayasan Kepimpinan Perdana berubah wajah menjadi sebuah taman yang hidup. Bunga-bunga hadir di mana-mana — pada pakaian, pada corak, pada topi dan pada gaya para tetamu wanita yang hadir dalam warna-warni yang begitu indah. Semuanya seolah-olah berpakat untuk meraikan seorang wanita yang telah melalui satu abad kehidupan.

Acara Seabad Inspirasi dan Warisan Kasih, anjuran Persatuan Wanita Islam Prihatin, dengan jemputan istimewa daripada Penuang, Puan Sri Maniseh Adam dan Presiden Puan Mashita Abdul Rahman, terima kasih. Tidak terasa seperti sebuah majlis ulang tahun yang terlalu formal sebaliknya, ia  pertemuan wanita-wanita yang datang untuk meraikan kehidupan. Dan di tengah-tengahnya ialah Tun Dr Siti Hasmah.

Seratus tahun, tetapi tidak terasa begitu

Seratus tahun adalah angka. Tetapi bagaimana seseorang menghidupkan seratus tahun itulah yang menjadi cerita. Tun Dr Siti Hasmah bukan sekadar wanita yang hidup panjang. Beliau telah melihat begitu banyak perubahan dalam kehidupan dan negaranya — daripada seorang doktor, kepada tokoh dalam bidang kesihatan awam, seorang ibu kini onyang,  seorang isteri kepada negarawan, dan seorang wanita yang selama puluhan tahun berada begitu dekat dengan perjalanan sejarah Malaysia. Namun petang itu, semua gelaran tersebut terasa jauh sedikit.

Yang hadir di hadapan kami ialah Tun Siti Hasmah sebagai seorang wanita yang  boleh bergurau, masih mencintai muzik, masih boleh bercakap tentang cinta dengan senyuman. Dan seorang wanita yang tidak keberatan untuk ketawa tentang usianya sendiri.

“We don’t stop playing because we grow old; we grow old because we stop playing.”

Kata-kata yang sering dikaitkan dengan George Bernard Shaw itu terasa begitu sesuai untuk petang tersebut kerana Tun masih bermain dengan biolanya.

Apabila biola Tun berbunyi

Salah satu detik paling indah pada petang itu ialah apabila Tun mengambil biola dan memainkan beberapa lagu kegemarannya. Bayangkan sebuah ruang yang dipenuhi wanita-wanita dalam bunga dan topi, kemudian tiba-tiba muzik datang daripada seorang wanita yang sudah berusia satu abad.

Ada sesuatu yang sangat menyentuh tentangnya. Tun memang mempunyai hubungan yang panjang dengan muzik. Beliau mula belajar biola ketika remaja dan selepas lebih tujuh dekad, kembali bermain instrumen yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan mudanya. Namun melihatnya bermain sendiri di hadapan para tetamu pada usia 100 tahun memberikan makna yang berbeza.

Ia bukan sekadar persembahan. Ia seperti sebuah pintu yang dibuka kepada masa lalu. Kita tidak lagi melihat Tun sebagai tokoh negara. Kita melihat seorang gadis muda yang pernah memegang biola, yang kemudiannya membesar, menjadi doktor, membina keluarga, menjalani kehidupan penuh tanggungjawab — dan akhirnya kembali kepada muzik.

Sesetengah perkara dalam hidup mungkin kita tinggalkan, tetapi tidak pernah benar-benar hilang.

Kumpulan Mashita yang sudah pun mengambil tempat untuk mengiringi petang mungkin bukan kumpulan profesional, tetapi ada sesuatu pada permainan muzik dan lagu mereka yang terasa lebih penting daripada kesempurnaan teknikal — keharmonian, kesungguhan dan keseronokan.

Lagu-lagu lama yang dipilih begitu kena dengan suasana. Satu lagu membawa kepada satu lagi lagu daripada kumpulan Nurmashita diikuti nyanyian solo penyanyi utama Dato Rohayati Roycesaayan yang begitu menyenangkan, tetamu mula menyanyi bersama.

Dan sedikit demi sedikit, suasana berubah. Yang duduk mula berdiri. Yang hanya tersenyum mula menyanyi. Yang menyanyi mula menari. Telefon pula mula diangkat untuk mengabadikan gambar. Petang itu seakan-akan tidak mahu tamat.

Apabila cinta menjadi bahan cerita

Kemudian datang pula satu lagi bahagian yang menarik — sesi podcast bersama Tun. Yang menjadikan sesi itu istimewa ialah soalan-soalannya daripada dua moderator Puan Sri  Maniseh dan Datin Noni, ya bukan tentang kehidupan sebagai isteri seorang bekas Perdana Menteri. Bukan tentang tanggungjawab, kerjaya atau sejarah sebaliknya, soalan dibawa ke wilayah yang lebih peribadi.

Tentang cinta.

Dan di sinilah kami mendapat peluang untuk mengenali sisi Tun yang mungkin tidak selalu kita lihat. Beliau menjawab dengan bersahaja. Ada jawapan yang membuatkan kami tersenyum, juga ketawa. Dan ada ketika Tun Hasmah menunjukkan sisi jenakanya yang begitu spontan. “Be cool,” Tun ketawa antara jenaka dan nasihatnya.

 Saya ketawa bila Datin Noni bertanyakan soalan, “Tun nak tanya soalan nakal sedikit, boleh? Masa Tun remaja, muda terang tantang, sangat jelita, slim, sophisticated, bukan itu saja, bijak pandai pula, soalan saya, Tun tentu banyak suitors, boyfriends, tolong share sikit Tun. Panjang senyum Tun Hasmah mendengar soalan, yang jawapannya adalah cuma senyum yang panjang.

Sungguh, wanita yang telah kita kenali selama bertahun-tahun melalui gelaran dan sejarah itu terasa begitu dekat. Seorang wanita yang pernah menjadi muda, pernah jatuh cinta, pernah membina keluarga. Yang tahu bahawa kehidupan berumah tangga mempunyai cerita-ceritanya sendiri. Dan mungkin selepas 100 tahun, seseorang mempunyai hak istimewa untuk bercakap tentang cinta dengan lebih banyak kebijaksanaan — dan lebih banyak humor.

“Love is not just looking at each other, it is looking in the same direction.”

Mungkin itulah yang menjadikan kisah panjang sebuah perkahwinan begitu istimewa. Bukan kerana dua manusia tidak pernah melalui perbezaan, tetapi kerana mereka terus memilih untuk berjalan dalam arah yang sama.

Bunga, topi dan sedikit persaingan

Tema petang itu benar-benar hidup. Hampir semua yang hadir tampil dalam cetakan bunga, warna-warni dan topi yang cantik. Ada sesuatu yang ringan dan ceria tentangnya — seolah-olah semua tetamu bersetuju bahawa untuk petang ini, kita tidak perlu terlalu serius.

Pertandingan Best Dressed turut menjadi salah satu tarikan.

Enam wanita dipilih sebagai antara yang paling menyerlah sebelum seorang dinobatkan sebagai pemenang utama. Hadiah istimewa untuk pemenang disediakan dengan penuh gaya, courtesy of RHR Xcluseev Boutique.

Dan menariknya, pertandingan itu bukan sekadar soal siapa paling bergaya. Bagi menambahkan lagi warna kepada suasana, pemenang dinobatkan daripada suara paling gemuruh daripada hadirin. Kerana apabila wanita berkumpul dengan pakaian yang cantik, sedikit persaingan yang sihat dan banyak ketawa, sebuah majlis biasanya menjadi lebih hidup.

Rezeki kecil di tengah kenangan besar

Kemudian ada pula cabutan bertuah. Hadiah utama berupa baucar perjalanan istimewa bernilai RM1,000, manakala hadiah kedua ialah set kecantikan Vinte bernilai RM500. Dan kali ini, saya yang bertuah — membawa pulang hadiah kedua.

Barangkali rezeki memang datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang datang sebagai perjalanan, ada daripada hadiah tetapi bagi saya ia petang yang akan saya ingat selamanya.

Sebuah petang yang tidak mahu berakhir

Menjelang penghujung acara, suasana semakin meriah. Muzik masih dimainkan. Tetamu masih menyanyi. Ada yang menari. Ada yang bergambar bersama Tun. Ada yang masih berbual dan ketawa. Tiada siapa kelihatan benar-benar tergesa-gesa untuk pulang seolah-olah semua mahu mencuri sedikit lagi masa daripada petang itu.

Satu lagi lagu, bergambar dan terus bergambar, satu lagi cerita, mesra dan ketawa. Dan mungkin itulah yang paling indah tentang sebuah sambutan ulang tahun. Kita fikir kita datang untuk meraikan seorang tetapi akhirnya, kita sendiri yang pulang dengan hati yang terasa diraikan.

Warisan yang lebih besar daripada gelaran

Tun Dr Siti Hasmah telah meninggalkan jejak yang jauh lebih besar daripada usia. Sebagai doktor, beliau menyumbang kepada kesihatan dan masyarakat. Sebagai wanita, beliau menjadi sebahagian daripada generasi yang membuka ruang lebih luas untuk wanita Malaysia. Sebagai isteri, ibu, nenek dan onyang beliau melalui puluhan tahun kehidupan keluarga di tengah-tengah perhatian umum. Namun warisan seseorang tidak hanya tercatat dalam buku sejarah. Kadang-kadang ia tinggal dalam perkara yang jauh lebih kecil. Dalam cara seseorang membuat orang lain berasa selesa. Dalam ketawa yang dikongsi dan lagu yang dimainkan. Menghidupkan lagi kisah cinta yang diceritakan dengan senyuman dan  kenangan yang dibawa pulang oleh mereka yang pernah duduk di dalam satu ruang bersamanya.

“The longer I live, the more I realize the impact of attitude on life.”

Barangkali usia 100 tahun memberi seseorang satu perspektif yang sukar diperoleh pada usia lain. Kita mula memahami bahawa kehidupan bukan tentang berapa banyak yang kita kumpulkan tetapi berapa banyak yang kita rasakan, berikan dan tinggalkan. Sayugia pada petang itu, Tun Siti Hasmah memberi kami satu gambaran yang begitu indah tentang perkara tersebut.

Seabad kehidupan — tetapi masih ada muzik. Masih ada bunga. Masih ada sahabat. Masih ada cinta. Masih ada jenaka. Masih ada keinginan untuk bergembira. Dan masih ada sebuah biola yang boleh dimainkan. Mungkin itulah rupa sebenar sebuah kehidupan yang panjang. Bukan sekadar hidup hingga 100 tahun, tetapi tiba di usia itu dengan hati yang masih mahu berbunga.

Dan apabila petang akhirnya berakhir, kami pulang bukan sekadar membawa gambar-gambar di telefon atau hadiah daripada cabutan bertuah. Kami membawa pulang sesuatu yang jauh lebih berharga: sebuah peringatan bahawa usia mungkin bertambah setiap tahun, tetapi cara kita memilih untuk hidup tetap milik kita.

Tun Dr Siti Hasmah, pada usia 100 tahun, masih memilih untuk bermain, menyanyi, ketawa dan meraikan kehidupan. Mungkin itu sendiri adalah warisan kasih yang paling indah.

Related posts

Just in time for the Christmas and New Year celebrations

admin

Mengapa Anda Perlukan Minyak Ikan?

admin

Tengku Permaisuri Selangor Lancar Tiga Buku Inspirasi Baharu KanWork

Afiza Kamarulzaman

Leave a Comment