GAYA HIDUP

‘The Art of Lamb’ Membawa Pengalaman Rasa Yang Tak Dapat Dilupakan

Kalau selama ini kambing hanya dikaitkan dengan hidangan panggang, The Art of Lamb mungkin mengubah pandangan anda. Menerusi pengalaman makan malam hujung minggu ini, Makan Kitchen di DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur membawa kambing Australia halal ke meja dalam pelbagai bentuk, rasa dan teknik masakan.

Berlangsung setiap Jumaat dan Sabtu dari 2 Oktober hingga 28 November 2026, The Art of Lamb menampilkan konsep yang mudah tetapi menarik yakni mengenali seekor kambing secara menyeluruh dan memberikan setiap potongan peluang untuk menyerlahkan keistimewaannya.

Daripada panggang perlahan, grill, braise, kari hinggalah salai, setiap teknik menghasilkan karakter rasa yang berbeza. Pendekatan ini juga menunjukkan bahawa lamb bukan hanya sesuai untuk satu jenis hidangan, sebaliknya boleh diolah mengikut pelbagai citarasa dan budaya.

Lebih menarik, menu yang ditampilkan membawa tetamu merentasi beberapa budaya makanan, termasuk Malaysia, Timur Tengah, India dan China. Ia cukup selari dengan konsep Makan Kitchen yang sememangnya terkenal dengan kepelbagaian warisan makanan.

Banyak Pilihan, Pelbagai Cerita

Pilihan hidangan cukup pelbagai untuk membuatkan tetamu mahu mencuba lebih daripada satu pinggan. Antaranya Malaysian Sup Kambing Berempah, Australian Lamb Neck Assam Pedas, Malay Curry Lamb Hind Shank, Signature Lamb Shoulder Briyani, Lamb Trunk Rogan Josh dan Cantonese Slow-Braised Lamb Ribs.

Bagi penggemar hidangan panggang, Slow-Roasted Australian Lamb Leg with Gremolata and Fig menawarkan gaya penyediaan yang lebih klasik, manakala hidangan seperti Lamb Neck Assam Pedas memberikan sentuhan tempatan yang lebih dekat dengan selera masyarakat Malaysia.

Ada juga Australian Lamb Striploin yang hadir dengan gaya lebih moden. Potongan ini dipadankan dengan limau bali, bunga kantan, pudina serta dressing asam jawa dan gula Melaka dengan kombinasi yang memberikan sentuhan segar kepada hidangan lamb.

Apa yang menarik tentang menu ini ialah kepelbagaian cara satu bahan yang sama boleh diterjemahkan. Rempah yang berbeza, teknik yang berbeza dan budaya masakan yang berbeza menghasilkan pengalaman yang sama sekali berlainan.

Jangan Abaikan Potongan Yang Jarang Dikenali

The Art of Lamb juga membawa pendekatan “All Cuts, Zero Waste”, yang memberi perhatian kepada keseluruhan bahan termasuk potongan yang kurang dikenali dan organ dalaman.

Setiap potongan mempunyai sifat tersendiri. Ada yang lebih sesuai dimasak perlahan untuk mendapatkan tekstur lembut dan rasa yang lebih mendalam, manakala potongan lain boleh disediakan sebagai hidangan yang lebih ringkas.

Untuk membantu tetamu memahami perkara ini, Makan Kitchen memperkenalkan aktiviti “Know Your Cuts”. Di sini, pengunjung boleh mengenali bahagian-bahagian kambing dan melihat bagaimana setiap satunya memberi respons berbeza terhadap teknik memasak.

Bagi yang gemarkan aktiviti interaktif, pengetahuan yang diperoleh boleh diuji menerusi pertandingan “Know Your Lamb”. Pemenang berpeluang membawa pulang cookie tin ikonik DoubleTree by Hilton.

Pendekatan sebegini menjadikan pengalaman makan lebih menarik. Kita datang untuk makan, tetapi pulang dengan sedikit pengetahuan baharu tentang makanan yang dinikmati.

Makan Malam Santai Penuh Asyik

Tidak perlu risau jika datang bersama anak-anak. Kids’ Corner menyediakan pelbagai hiburan seperti permainan arked, simulator perlumbaan dan Nintendo Switch untuk dinikmati sepanjang malam.

Sementara anak-anak mempunyai ruang untuk bermain, ibu bapa boleh meluangkan masa menikmati hidangan dan mencuba pelbagai sajian lamb yang disediakan.

Konsep ini menjadikan The Art of Lamb sesuai untuk mereka yang mahu menjadikan hujung minggu sebagai masa untuk berkumpul, makan bersama dan mencuba sesuatu yang berbeza.

The Art of Lamb diadakan setiap Jumaat dan Sabtu, dari 2 Oktober hingga 28 November 2026, bermula 6.30 petang hingga 10 malam di Makan Kitchen, Level 11, DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur.

Harga bufet ialah RM168 bersih untuk dewasa dan RM84 bersih untuk kanak-kanak. Promosi Buy 4, Free 1 turut ditawarkan, selain diskaun khas untuk ahli Hilton Honors.

Daripada sup kambing berempah yang dekat dengan selera tempatan, briyani yang kaya rasa, kari dan rogan josh hinggalah lamb yang diolah dengan sentuhan moden, The Art of Lamb memberi cukup banyak sebab untuk kembali mencuba.

Related posts

Sokong Bendera Putih

admin

KUIH MUIH TRADISIONAL LAMBANG KEKAYAAN WARISAN MELAYU

adminwm

Inilah Malaysia — Tempat Manusia Datang Melihat Dunia, Tetapi Pulang Dengan Melihat Diri Mereka Sendiri.

adminwm

Leave a Comment