AGAMA

Kitab-Kitab Yang Dimakan Anai-Anai

Kehilangan Yang Tidak Disedari

Warisan tidak selalu hilang kerana dicuri. Kadangkala ia hilang kerana tiada siapa yang menyedari nilainya.

Atuk saya seorang pencinta ilmu. Di dalam rumahnya terdapat kitab-kitab lama yang dikumpulkan sepanjang hidupnya. Sebahagiannya dimiliki dan dibeli ketika menuntut ilmu di Makkah. Sebahagiannya dibawa pulang dari Indonesia ketika arwah menyambung pengajiannya di sana. Dan sebahagiannya ditulis dengan tangannya sendiri.

Pada waktu itu, tiada siapa yang menyangka kitab-kitab tersebut mempunyai nilai yang besar. Kami melihatnya sebagai kitab lama. Sementelah pula dalam bahasa Jawi dan bahasa Arab, sukar membacanya. Betul, kami melihatnya sebagai kertas yang semakin usang. Dan kami tidak melihat sejarah yang terkandung di dalamnya. Kami tidak melihat perjalanan ilmu yang merentasi negara dan generasi. Kami tidak melihat bahawa setiap helaian mungkin menyimpan catatan seorang ulama yang tidak akan dapat ditulis semula.

Lalu masa melakukan apa yang biasa dilakukan oleh masa. Sedikit demi sedikit. Senyap-senyap. Anai-anai datang. Kertas mereput. Kulit kitab rosak. Dan akhirnya sebahagian besar khazanah itu hilang.

Hari ini apabila saya memikirkannya, saya tidak bersedih kerana kehilangan buku-buku tersebut. Saya sedih kerana kami tidak memahami nilainya ketika kami masih berpeluang menyelamatkannya. Mungkin itulah pengajaran terbesar tentang warisan. Bahawa sesuatu tidak perlu diperbuat daripada emas untuk menjadi berharga. Kadangkala sebuah kitab lama lebih bernilai daripada peti harta. Kadangkala sehelai manuskrip lebih penting daripada sekeping tanah.

Dan kadangkala perkara yang paling berharga dalam sebuah keluarga ialah perkara yang tidak pernah dinilai oleh sesiapa. Sehingga ia tiada.

“Anai-anai tidak memakan kitab-kitab itu dalam sehari. Seperti warisan, kehilangan juga berlaku sedikit demi sedikit ketika tiada siapa yang menjaganya.” — Wirda Adnan

Related posts

NISFU SYAABAN MALAM MALAM DIAMPUN DOSA PENDUDUK BUMI

adminwm

WANITA SOLEHAH: ANTARA DUNIA DAN SYURGA Martabat Yang Diangkat Langit

adminwm

AKHIR DAN AWAL TAHUN

adminwm

Leave a Comment