GAYA HIDUP

Bilik Pengantin Melayu Yang Semakin Dilupakan

Sebelum wujudnya pelamin moden yang dihias untuk satu malam, orang Melayu mempunyai sebuah ruang yang jauh lebih bermakna. Ia dipanggil bilik pengantin.

Di situlah bermulanya sebuah kehidupan baru. Di situlah keluarga menzahirkan kasih sayang melalui hasil tangan mereka sendiri.

Bilik itu dihiasi dengan bantal-bantal bertekad. Tilam khas untuk pengantin. Cadar benang emas. Langsir dan hiasan yang dijahit dengan penuh teliti oleh wanita-wanita dalam keluarga.

Hari ini, banyak daripada tradisi itu semakin hilang. Generasi muda mengenali dekorasi moden, tetapi tidak lagi mengenali seni yang pernah menjadi kebanggaan nenek moyang mereka. Namun di rumah kami, sebahagian daripada warisan itu masih hidup.

Hiasan bilik pengantin yang dihasilkan oleh Opah masih disimpan. Mungkin kainnya semakin berusia. Namun maknanya semakin bertambah, sejarah keluarga sedang disambung tanpa disedari.

Sesungguhnya bilik pengantin Melayu bukan sekadar ruang yang dihias indah. Ia adalah tempat warisan, doa dan harapan diserahkan daripada satu generasi kepada generasi yang seterusnya.

Apabila Pengantin Duduk Di Atas Warisan

Ada sesuatu yang sangat menyentuh hati setiap kali majlis akad nikah berlangsung dalam keluarga kami. Di tengah-tengah kesibukan tetamu, doa dan lafaz akad, ada sebuah tilam lama yang sentiasa hadir. Tilam itu bukan sebarang tilam. Berwarna hijau pucuk pisang berhias bunga benang emas. Ia dihasilkan oleh Opah saya. Seni tekad yang halus. Saya teringat opah menjahitnya siang malam berbulan-bulan dengan kesabaran yang sukar dicari pada zaman hari ini.

Ramai yang melihatnya sebagai sebahagian daripada adat tapi saya melihat sesuatu yang lebih besar. Saya melihat bagaimana sebuah hasil tangan mampu merentasi masa. Arwah Hisham pernah duduk di atas tilam tekad empuk itu sewaktu akad nikah kami, begitu juga pernikahan semua anak perempuan emak, anak perempuan Su. Seperti ia ‘wajib’ diletakkan di tengah ruang tamu. Tetamu duduk bersila, pengantin dan jurunikah juga. Di sebelah tersedia tepak sireh diperbuat daripada kayu jati; di dalamnya sireh, pinang, gambir, kapur, gula garam yang dibubuh dalam mangkuk-mangkuk khas kecil daripada tembaga, dibalut dengan baldu berhias tekad emas, itu pun hasil tangan Opah.

Mungkin dahulu seorang anak lelaki duduk di situ ketika bergelar pengantin. Kemudian adiknya. Kemudian anak saudaranya. Dan kini cucu-cucit pula di atas tilam yang sama.

Sedar bahawa warisan bukan sekadar sesuatu yang dipamerkan. Warisan adalah sesuatu yang terus digunakan dan terus hidup. Selagi masih ada yang menghargainya, ia tidak akan menjadi barang tidak berharga dan akan terus menjadi sebahagian daripada keluarga.

Dan mungkin itulah hadiah terbesar yang ditinggalkan oleh Opah kepada kami. Tidak sekadar hasil seni tetapi untuk mengingati asal-usul kami.

Related posts

Apakah fenomena biologi (sarcopenia) yang muncul pada manusia apabila mereka sudah tua?

adminwm

RED FLAGS TETAPI MASIH BERTAHAN

Wirda Adnan

A SISTERHOOD OF DREAMS

Wirda Adnan

Leave a Comment