KHAS PERKAHWINAN

“Jangan Lepaskan Tangan Itu…” Air Mata Che Ta Iringi Langkah Baharu Ammar dan Auni

Tanggal 10 Muharram 1448H menjadi detik yang terpahat indah dalam perjalanan hidup keluarga pelakon dan usahawan terkenal, Rozita Che Wan, apabila anak sulungnya, Ammar Effendy Azuar Effendy, selamat diijabkabulkan dengan pilihan hati, Auni Ikhwan.

Dalam suasana penuh syahdu dan keberkatan, Ammar sah bergelar suami kepada Auni dengan sekali lafaz pada jam 8.41 malam di GlamHall Damansara. Majlis akad nikah bertemakan Garden Wedding itu berlangsung sederhana namun elegan, dihadiri lebih 200 tetamu terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat terdekat kedua-dua mempelai.

Dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Ikhwan Hashim, pasangan itu disaksikan Penolong Pendaftar Nikah dan Imam Masjid Damansara Perdana, Ustaz Abdus Salam Mahmud.

Bertemakan serba putih yang melambangkan kesucian sebuah ikatan, Ammar segak mengenakan busana rekaan Man Kajang, manakala Auni tampil anggun dalam persalinan hasil sentuhan pereka Zaimi Zulkafli. Sebagai tanda permulaan kehidupan bersama, Ammar menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 berserta wang hantaran berbentuk jongkong emas, sementara kedua-dua pihak turut berbalas tujuh dulang hantaran.

Kemuncak emosi pada malam itu tentunya hadir daripada seorang ibu. Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta tidak mampu menyembunyikan rasa sebak saat melihat anak sulungnya melangkah ke alam perkahwinan.

Dengan suara bergetar, beliau menitipkan pesanan yang cukup mendalam buat pasangan pengantin baharu itu.

“Tetaplah bersama walau dalam keadaan tak sempurna dan apa sekalipun. Moga Ammar menjadi suami yang melindungi dan bukannya terlalu mengongkong. Buat Auni, jadilah isteri yang sentiasa mendampingi dan bukan sekadar menemani.”

Bagi Che Ta, kebahagiaan rumah tangga bukanlah milik pasangan yang tidak pernah diuji, sebaliknya milik mereka yang memilih untuk terus bertahan dan berpegangan tangan meskipun berdepan pelbagai cabaran kehidupan.

Pengalaman peribadi melalui episod perpisahan dalam perkahwinan terdahulu menjadikan nasihat yang disampaikan lebih bermakna. Beliau berharap Ammar dan Auni sentiasa bersikap realistik, mengutamakan toleransi serta tidak mengambil jalan mudah apabila diuji.

“Perkahwinan bukan seperti menukar pakaian. Akan ada perkara yang tidak dijangka berlaku, tetapi jangan sesekali lari daripada ujian. Mudah-mudahan mereka dapat membina rumah tangga yang dipenuhi sakinah, mawaddah dan warahmah,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan pengacaraan Ahmad Fedtri Yahya, bacaan doa oleh PU Amin serta upacara membatalkan air sembahyang yang menyaksikan Ammar menghadiahkan cincin berlian 1.8 karat kepada isterinya sebagai simbol kasih dan permulaan sebuah perjalanan baharu.

Pasangan yang bertunang pada 25 Oktober tahun lalu itu kini meniti fasa baharu sebagai suami isteri. Ammar bertugas sebagai pegawai di sebuah institusi perbankan, manakala Auni berkhidmat dalam bidang pemasaran.

Malam esok, pasangan mempelai bakal diraikan sekali lagi dalam majlis resepsi bertemakan Black Tie di sebuah hotel di I-City, Shah Alam, sebelum majlis bertandang berlangsung pada 4 Julai depan.

Related posts

CINTA ANUGERAH TERINDAH

Wirda Adnan

Perkahwinan dan Perceraian

adminwm

The Rising Trend In Interracial Marriage

adminwm

Leave a Comment