Harga Boleh Dibayar, Nilai Tidak
Saya masih boleh melihat rumah itu. Walaupun ia sudah tiada, saya masih ingat ukiran pada kepala tingkapnya. Saya masih ingat katil antik tempat saya tidur ketika bermalam di sana. Teringat meja makan yang menjadi tempat keluarga berkumpul. Dan saya masih ingat perasaan kagum yang tidak pernah saya fahami ketika masih kecil.
Hari ini saya tahu. Apa yang saya kagumi dahulu bukan sekadar sebuah rumah. Saya sebenarnya sedang memandang sebuah warisan.
Kenangan silam tiba-tiba mengetuk pintu hati. Saya teringat sebuah rumah yang pernah menjadi antara tempat kegemaran saya ketika kecil. Rumah itu milik adik kepada Opah saya, yang kami panggil Opah Yang. Rumah Melayu lama itu berdiri megah dengan keindahannya yang tersendiri. Pada saya yang paling besar dan cantik pada waktu itu.
Waktu itu saya tidak tahu istilah seni bina warisan. Saya tidak mengenali istilah konservasi atau pemuliharaan. Saya hanya tahu bahawa saya suka rumah itu. Saya suka melihat ukiran pada tingkap-tingkap dan pintunya. Saya suka melihat kerawang yang menghiasi tepi atapnya. Saya suka berjalan di ruang tamunya yang luas. Saya suka tidur di atas katil antiknya. Saya suka melihat meja makan lama yang seolah-olah menyimpan seribu cerita keluarga.
Dan saya sangat suka dapurnya. Dapur itu unik. Ruang terlapang tanpa dinding tapi tidak mudah tempias kerana atapnya lebar dan panjang. Mengapa tidak berdinding, burung dan makhluk asing boleh terbang masuk?
Daripada cerita emak, kerana rumah itu terlalu luas, besar dan panjang, maka ia dibelah dua, sebahagiannya lagi dihantar kepada kawasan lain menjadi sebuah lagi rumah untuk keluarga sebelah adik beradik opah daripada ibu yang lain.
Bahagian dapurnya bukan sekadar ruang memasak, tetapi sebuah ruang kehidupan yang menggambarkan bagaimana rumah Melayu berubah mengikut keperluan zaman tanpa kehilangan jiwanya.
Ketika kecil, saya hanya mengagumi keindahannya. Hari ini saya memahami bahawa saya sebenarnya sedang melihat sebuah warisan yang sangat berharga. Malangnya, tidak semua orang melihat perkara yang sama.
Suatu ketika dahulu, saya dan suami pernah berbincang untuk membeli rumah itu. Kami melihat nilainya. Kami melihat sejarahnya dan melihat seni yang terdapat pada setiap ukiran kayunya. Kami juga melihat sesuatu yang tidak boleh dibina semula walaupun dengan wang yang banyak. Namun kami terlambat.
Apabila berita itu sampai kepada kami, segala yang paling berharga pada rumah itu telah pun dibeli oleh pihak lain. Ukiran pada setiap tingkap dan pintu-pintu lama. Kerawang kayu. Hiasan atas dan bawah rumah malah sebahagian besar perabot antiknya. Semuanya telah berpindah tangan.
Saya tidak terkejut apabila mengetahui bahawa pembelinya datang dari Kuala Lumpur. Kerana mereka melihat sesuatu yang gagal dilihat oleh pemilik yang mewarisinya. Mereka melihat nilai. Sedangkan pewarisnya hanya melihat harga.

Di situlah bezanya. Harga ialah jumlah wang yang diterima. Nilai ialah sesuatu yang tidak boleh diganti selepas ia hilang.
Ramai orang menjual rumah pusaka kerana memerlukan wang. Itu bukan persoalannya. Persoalan yang lebih besar ialah apabila sebuah warisan dijual tanpa memahami apa yang sebenarnya sedang dilepaskan. Apabila ukiran kayu lama ditanggalkan, yang hilang bukan sekadar kayu. Yang hilang ialah hasil tangan tukang Melayu yang sudah tiada.
Apabila perabot lama dijual, yang hilang bukan sekadar sebuah almari. Yang hilang ialah cerita tentang generasi yang pernah menggunakannya. Lalu apabila rumah warisan dirobohkan atau dileraikan, yang hilang bukan sekadar sebuah bangunan. Yang hilang adalah memori kolektif sebuah keluarga.
Ironinya, orang luar sering lebih cepat mengenali nilai sesuatu warisan berbanding mereka yang mewarisinya. Mereka datang dengan mata yang segar. Mereka melihat seni. Mereka melihat keunikan dan melihat sejarah.
Ya, mereka melihat apa yang tidak lagi dilihat oleh mereka yang membesar bersamanya setiap hari. Mungkin kerana itulah banyak khazanah keluarga akhirnya berpindah tangan. Bukan kerana nilainya kecil. Tetapi kerana nilainya terlalu biasa bagi mereka yang memilikinya.
Kita hidup dalam dunia yang mengajar kita mengira harga hampir segala-galanya. Harga rumah. Harga kereta. Harga tanah. Harga emas. Namun warisan tidak pernah boleh diukur dengan cara yang sama.
Bagaimana mahu meletakkan harga pada rumah yang pernah menyaksikan kelahiran beberapa generasi?
Bagaimana mahu menilai sebuah tingkap yang pernah dibuka oleh tangan nenek dan datuk kita setiap pagi?
Bagaimana mahu mengira nilai sebuah meja makan yang menjadi tempat keluarga berkumpul selama puluhan tahun?
Sesetengah perkara menjadi berharga bukan kerana usianya tetapi kerana cerita yang terkandung di dalamnya. Dan cerita tidak boleh dibeli.
Hari ini rumah Opah Yang mungkin sudah berubah. Ukiran-ukirannya mungkin berada di tempat lain.
Perabotnya mungkin menghiasi rumah orang lain. Tetapi setiap kali saya mengingatinya, saya sedar bahawa kehilangan terbesar bukanlah rumah itu. Kehilangan terbesar ialah apabila kita gagal melihat nilai sesuatu ketika ia masih berada di depan mata.
Kerana apabila kita akhirnya menyedarinya, selalunya sudah terlambat. Dan pada ketika itu, wang yang pernah diterima tidak lagi mampu membeli semula apa yang telah hilang.
*Rumah itu sudah tiada dalam keluarga kami. Ukirannya sudah dibawa pergi. Perabotnya sudah berpindah tangan. Tetapi setiap kali saya menutup mata, saya masih berasa saya berjalan dari ruang tamu ke dapurnya.
Saya masih dapat menyentuh ukiran pada tingkapnya. Membuka pintu yang terlalu cantik ukirannya. Saya masih dapat mendengar bunyi langkah di lantai kayunya. Dan pada saat itu saya sedar, sesetengah rumah tidak pernah benar-benar hilang. Ia hanya berpindah ke tempat yang lebih kekal.
Ia berpindah ke dalam ingatan.
