
Memahami Amanah Yang Dipikul Sejak Awal Penciptaan Manusia
“Di atas setiap orang yang berpengetahuan, ada lagi Yang Maha Mengetahui.”
(Surah Yusuf: 76)
Saya bukan seorang ustazah. Saya juga bukan seorang ilmuwan agama.
Dan saya menulis rencana ini bukan kerana saya merasakan diri sudah memahami segala-galanya tentang Islam. Sebaliknya, saya menulis sebagai seorang Muslimah yang masih belajar. Masih membaca, masih bertanya dan masih cuba memahami hikmah-hikmah Allah yang kadangkala begitu luas sehingga tidak mampu dicapai sepenuhnya oleh akal manusia.
Semakin usia bertambah, semakin saya menyedari bahawa banyak perkara yang pada mulanya kelihatan mudah sebenarnya mempunyai lapisan makna yang sangat mendalam.
Antaranya ialah persoalan tentang lelaki.
Mengapa Islam meletakkan tanggungjawab yang begitu besar di bahu mereka?
Mengapa mereka dipilih menjadi pemimpin keluarga?
Mengapa mereka diwajibkan melindungi, menyediakan nafkah dan menjaga mereka yang berada di bawah tanggungjawabnya?
Dan mengapa sejak awal penciptaan manusia, Allah meletakkan amanah yang besar kepada lelaki?

Persoalan ini sering dibincangkan dalam masyarakat moden. Malangnya, banyak perbincangan hanya tertumpu kepada soal hak dan kuasa.
Sedangkan semakin saya membaca Al-Quran dan memahami ajaran Islam, semakin saya melihat bahawa perkara yang diberikan kepada lelaki bukanlah semata-mata hak. Ia adalah amanah.Dan amanah sentiasa lebih berat daripada kelebihan yang datang bersamanya.
Allah SWT berfirman:
“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.”
(Surah Al-Baqarah: 30)
Apabila saya membaca ayat ini, saya sering berhenti sejenak untuk berfikir. Perkara pertama yang Allah sebut tentang manusia bukanlah kekayaan.
Bukan kuasa dan bukan pangkat. Tetapi amanah sebagai khalifah. Khalifah bukan sekadar pemimpin. Khalifah ialah pemegang amanah Allah di bumi. Seseorang yang dipertanggungjawabkan untuk memakmurkan kehidupan, menegakkan keadilan dan menjaga kesejahteraan sesama manusia.
Kata lain, manusia tidak diciptakan hanya untuk hidup. Manusia diciptakan untuk memikul tanggungjawab. Dan dalam susunan kehidupan yang ditetapkan oleh Allah, lelaki diberikan peranan yang besar dalam melaksanakan amanah tersebut.
Namun penting untuk difahami bahawa amanah bukanlah tanda seseorang itu lebih mulia daripada orang lain. Inilah bahagian yang sering disalah fahami.
Ada yang melihat lelaki sebagai pemimpin lalu menganggap Islam meletakkan mereka lebih tinggi daripada wanita. Sedangkan Allah sendiri telah memberikan ukuran kemuliaan yang sangat jelas.
Allah berfirman:
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.” (Surah Al-Hujurat: 13)
Ayat ini sangat indah. Ia mengingatkan kita bahawa kemuliaan tidak diukur melalui jantina. Tidak melalui kekuatan. Tidak melalui kedudukan. Dan tidak melalui kuasa.
Kemuliaan di sisi Allah hanya diukur melalui taqwa. Seorang wanita yang bertakwa boleh jauh lebih mulia daripada seorang lelaki yang mengabaikan amanahnya.
Begitu juga seorang lelaki yang menjaga tanggungjawabnya dengan penuh keikhlasan boleh mencapai kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Kerana yang dinilai oleh Allah bukanlah siapa kita. Tetapi bagaimana kita melaksanakan amanah yang diberikan kepada kita.
Semakin saya memahami Islam, semakin saya menyedari bahawa Allah tidak memberikan sesuatu tanggungjawab tanpa hikmah. Allah yang menciptakan manusia lebih mengetahui fitrah manusia daripada manusia itu sendiri.
Firman Allah:
“Apakah Allah yang menciptakan itu tidak mengetahui, sedangkan Dia Maha Halus lagi Maha Mengetahui?” (Surah Al-Mulk: 14)
Manusia sering mengukur segala-galanya berdasarkan apa yang kelihatan di mata. Tetapi Allah melihat keseluruhan gambaran. Allah melihat apa yang mampu dipikul oleh setiap ciptaan-Nya.
Allah melihat kekuatan yang diberikan kepada mereka. Dan Allah melihat peranan yang perlu dimainkan untuk memastikan kehidupan berjalan dengan seimbang.
Mungkin sebab itulah Islam tidak melihat lelaki dan wanita sebagai pesaing. Mereka bukan dua pihak yang saling berlumba untuk menentukan siapa lebih hebat. Sebaliknya mereka adalah dua amanah yang saling melengkapi.
Apabila seorang lelaki menjalankan tanggung jawabnya dengan baik dan seorang wanita melaksanakan amanahnya dengan penuh keikhlasan, lahirlah sebuah keluarga yang sejahtera.
Daripada keluarga yang sejahtera lahirlah masyarakat yang baik. Dan daripada masyarakat yang baik lahirlah sebuah tamadun yang diberkati.
Namun menjadi khalifah bukanlah sesuatu yang mudah. Allah mengingatkan manusia tentang satu amanah yang begitu besar sehingga langit, bumi dan gunung-ganang sendiri enggan memikulnya.
Firman Allah:
“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, lalu dipikullah amanah itu oleh manusia.”
(Surah Al-Ahzab: 72)
Setiap kali membaca ayat ini, saya berasa kecil. Betapa besarnya amanah yang diberikan kepada manusia. Dan betapa mudahnya kita terlupa bahawa setiap tanggungjawab yang kita pegang hari ini akan dipersoalkan suatu hari nanti.
Barangkali sebab itu Islam tidak pernah melihat kepimpinan sebagai satu keistimewaan. Kepimpinan adalah amanah. Ia bukan mahkota yang dipakai untuk dibanggakan. Tetapi beban yang dipikul dengan penuh tanggungjawab.
Dan mungkin sebab itu juga Allah meletakkan amanah yang besar di bahu lelaki. Bukan untuk menjadikan mereka lebih mulia daripada wanita. Tetapi untuk memastikan ada insan yang dipertanggungjawabkan menjaga keluarga, masyarakat dan dunia yang diamanahkan olehNya.
Kerana yang akan dinilai oleh Allah bukanlah sebesar mana kuasa yang pernah kita miliki. Tetapi sejauh mana kita menjaga amanah yang pernah dipinjamkan kepada kita.
“Ilmu Allah tidak bertepi. Sedangkan kita hanyalah pengembara yang sedang mencari setitis daripadanya.”- Wirda Adnan
