kesihatan

Stres, Hormon dan Lemak Perut – Wanita Moden Semakin Sukar Turun Berat Badan!

Ramai wanita menyalahkan makanan atau kurang bersenam apabila berat badan semakin meningkat. Namun hakikatnya, ada satu faktor yang sering terlepas pandang yakni stres. Tekanan hidup yang berpanjangan bukan sahaja mengganggu emosi, malah boleh mengubah cara tubuh menyimpan lemak, memperlahankan metabolisme dan meningkatkan risiko pelbagai penyakit kronik.

Bersama Pengamal Perubatan Estetik Alainn Clinic, Dr. Nurul Ain Abdullah, Majalah WM menyelami hubungan rapat antara stres, hormon dan kesihatan metabolik yang semakin menjadi cabaran wanita moden hari ini.

Memandangkan kadar obesiti tinggi di Malaysia, sejauh mana pengurusan stres boleh membantu?

Pengurusan stres memainkan peranan besar dalam pengurusan obesiti. Apabila stres berpanjangan, hormon kortisol akan meningkat dan memberi isyarat kepada badan untuk menyimpan lebih banyak lemak, terutama di bahagian perut.

Sebab itu, pengurusan berat badan bukan sekadar tentang diet dan senaman sahaja. Tidur yang cukup, kawalan stres, aktiviti fizikal dan pemakanan yang seimbang semuanya saling berkait untuk membantu metabolisme berfungsi dengan lebih baik.

Boleh doktor jelaskan apa itu “sekatan metabolik” dan kenapa kiraan kalori kadang-kadang kurang berkesan?

Sekatan metabolik berlaku apabila badan masuk ke “mod berjimat tenaga” akibat stres kronik, kurang tidur atau diet terlalu ekstrem. Badan mula memperlahankan pembakaran tenaga untuk melindungi diri.

Dalam keadaan ini, walaupun seseorang mengurangkan kalori, penurunan berat badan boleh menjadi lebih sukar kerana hormon stres seperti kortisol masih tinggi dan mengganggu metabolisme serta kawalan selera makan.

Hormon apa yang mempengaruhi simpanan lemak, dan bagaimana burnout mengubah metabolisme?

Hormon utama ialah kortisol. Bila stres berpanjangan, kortisol kekal tinggi dan menyebabkan lemak lebih mudah terkumpul di bahagian abdomen. Dalam masa sama, insulin juga boleh meningkat dan memudahkan badan menyimpan gula sebagai lemak.

“Burnout” pula membuat badan berada dalam keadaan keletihan kronik. Metabolisme menjadi lebih perlahan kerana badan cuba menjimatkan tenaga, sebab itu ramai rasa berat badan “stuck” walaupun sudah cuba berdiet.

Mengapa lemak visceral lebih berbahaya?

Lemak visceral ialah lemak yang mengelilingi organ dalaman seperti hati dan usus. Ia lebih berbahaya kerana menghasilkan bahan keradangan yang boleh meningkatkan risiko diabetes, darah tinggi dan penyakit jantung.

Sebab itu ukuran lilitan pinggang sebenarnya penting, bukan hanya angka pada penimbang.

Bagaimana lemak perut akibat stres menjadi petanda awal diabetes dan penyakit jantung? Adakah trend ini berlaku pada wanita muda?

Lemak perut akibat stres sering menjadi tanda awal gangguan metabolik. Kortisol yang tinggi menyebabkan lemak berkumpul di abdomen dan mengganggu kawalan gula dalam darah serta kesihatan jantung.

Trend ini semakin banyak dilihat pada wanita muda, terutama mereka yang mengalami tekanan kerja, kurang tidur dan gaya hidup yang kurang aktif. Penyakit metabolik sekarang bukan lagi isu usia tua sahaja.

Mengapa diet “crash” kurang berkesan dan boleh memudaratkan wanita yang burnout?

Diet terlalu ekstrem sebenarnya memberi lebih banyak tekanan kepada badan. Badan akan menganggap ia berada dalam keadaan “kecemasan” lalu memperlahankan metabolisme dan menyimpan tenaga dengan lebih kuat.

Selain itu, diet ekstrem juga boleh meningkatkan lagi hormon stres dan menyebabkan keletihan fizikal serta emosi menjadi lebih teruk. Sebab itu penurunan berat badan yang sihat perlu lebih seimbang dan konsisten.

Bagaimana wanita Malaysia boleh menjaga kesihatan metabolik tanpa menjejaskan budaya makanan dan kehidupan sosial?

Kita tidak perlu berhenti menikmati makanan tempatan. Yang penting ialah keseimbangan dan pengawalan macronutrien seperti karbohidrat, protein dan lemak. Contohnya, ambil lebih protein dan sayur, kurangkan karbohidrat diproses dan minuman manis, dan cuba bergerak lebih aktif setiap hari.

Perubahan kecil yang konsisten selalunya lebih realistik dan mudah dikekalkan dalam jangka panjang.

Jika penimbang bukan satu-satunya ukuran, apakah tanda pemulihan metabolik?

Antara tanda yang baik ialah tenaga lebih stabil, tidur lebih nyenyak, kurang mengidam makanan manis dan kawalan emosi yang lebih baik.

Ukuran lilitan pinggang, pakaian yang terasa lebih longgar dan peningkatan stamina juga memberi gambaran bahawa kesihatan metabolik sedang bertambah baik.

Apakah satu perubahan gaya hidup paling berkesan untuk menyokong metabolisme?

Tidur yang berkualiti dan mencukupi iaitu sekurang-kurangnya 7 jam. Ramai orang memandang rendah kepentingan tidur, sedangkan ia sangat penting untuk mengawal hormon lapar, stres dan metabolisme.

Apabila tidur cukup, badan lebih mudah mengawal selera makan, tenaga lebih stabil dan kecenderungan menyimpan lemak juga berkurang.

Selain diet dan senaman, apakah pendekatan lain untuk menangani obesiti dan ketidakseimbangan hormon akibat stres kronik?

Selain diet, senaman dan pengurusan stres, rawatan perubatan juga boleh membantu bagi sesetengah individu, terutama apabila obesiti sudah mula memberi kesan kepada kesihatan metabolik.

Kini terdapat ubat berasaskan incretin seperti GLP-1/GIP yang digunakan di bawah pemantauan doktor untuk membantu mengawal selera makan dan fungsi metabolik badan. Rawatan ini bukan “jalan pintas”, tetapi sebagai bantuan perubatan yang membantu pesakit membina perubahan gaya hidup yang lebih konsisten dan berkesan dalam jangka panjang.

Namun, rawatan perlu disesuaikan mengikut keadaan kesihatan setiap individu dan dipantau secara profesional. Elakkan mengambil produk tidak sah atau ubat tanpa pemantauan kerana ia boleh memberi kesan sampingan kepada kesihatan.

Adakah ibu bekerja mempunyai risiko obesiti yang berbeza?

Ya. Ibu bekerja sering menghadapi tekanan berganda antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga. Kurang tidur, waktu makan yang tidak teratur dan stres kronik boleh mengganggu hormon serta metabolisme. Ramai ibu terlalu sibuk menjaga orang lain sehingga terlupa menjaga diri sendiri. Sebab itu self-care juga penting untuk kesihatan jangka panjang.

Bagaimana wanita boleh membina keyakinan diri sambil mengurus isu berat badan?

Keyakinan diri tidak sepatutnya hanya bergantung kepada angka pada penimbang. Fokus yang lebih sihat ialah melihat tubuh dari sudut fungsi iaitu badan yang lebih sihat, lebih bertenaga dan lebih kuat.

Saya selalu percaya pengurusan berat badan perlu datang daripada “self-care”, bukan “self-punishment”. Terdapat inisiatif dari pelbagai pertubuhan untuk menangani masalah obesiti di Malaysia, termasuklah My Best Me yang menyediakan platform untuk membantu para wanita bukan sahaja lebih memahami obesiti, tetapi juga membantu wanita mencapai kesihatan yang optimal. Bila kita mula menghargai tubuh dengan lebih baik, perubahan yang lebih sihat dan berkekalan akan lebih mudah dicapai.

Related posts

Daripada Pemandiri ke Pemenang: Harapan, Kekuatan, dan Langkah Baharu Selepas Kanser Serviks

adminwm

APA YANG WANITA PERLU TAHU MENGENAI FIBROID DAN
CYST?

adminwm

New Year, Old Self, But More Honest

Hana Halim

Leave a Comment