GAYA HIDUP

Special The men of we love: RED FLAGS TETAPI MASIH BERTAHAN

Ramai orang bertanya:

“Kalau dia narcissist, toxic, abusive, kenapa stay lama sangat?”

Tetapi soalan yang lebih tepat mungkin:

“Berapa lama seseorang sanggup berharap sebelum dia akhirnya menerima bahawa harapan itu tidak akan menjadi kenyataan?”

Bukan semua yang bertahan itu bodoh. Bukan semua yang tinggal itu buta terhadap red flags.

Kadangkala dia nampak semuanya. Dia nampak pembohongan. Dia nampak manipulasi. Dia nampak sikap panas baran. Dia nampak dirinya semakin terluka.

Tetapi dia juga nampak sesuatu yang orang luar tidak nampak.

Dia nampak lelaki yang pernah baik pada awal perkahwinan. Dia nampak janji yang pernah ditunaikan. Dia nampak anak-anak masih memerlukan sebuah keluarga. Dia nampak kemungkinan bahawa esok mungkin lebih baik daripada hari ini.

Maka dia bertahan.

Bukan kerana tidak mahu pergi tetapi kerana dia masih percaya ada sesuatu yang boleh diselamatkan. Kadangkala orang yang paling lama bertahan bukanlah orang yang paling lemah. Mereka adalah orang yang paling setia. Mereka memberi peluang kedua. Kemudian peluang ketiga dan  peluang kesepuluh.

Sehingga suatu hari dia sedar bahawa dia seorang sahaja yang sedang berusaha menyelamatkan perkahwinan itu.

Dan perkahwinan tidak pernah boleh diselamatkan oleh seorang sahaja. Sebab itu apabila seorang isteri akhirnya meminta cerai selepas 10 tahun, 20 tahun atau 30 tahun, orang sering berkata:

“Kenapa sekarang?”

Sedangkan mereka tidak tahu bahawa keputusan itu mungkin sudah bermula bertahun-tahun dahulu.Cerai itu hanya tanda tangan terakhir.

Perpisahan sebenar berlaku sedikit demi sedikit setiap kali dia dikhianati. Setiap kali dia tidak dihargai. Setiap kali dia menangis sendirian. Setiap kali dia memaafkan tanpa perubahan.

Orang melihat hari dia pergi.

Mereka tidak melihat beribu-ribu hari dia memilih untuk tinggal. Dan mungkin itulah yang paling menyakitkan. Apabila seseorang yang selama ini bertahan dianggap bodoh kerana masih berharap. Sedangkan harapan itulah yang membuatkan sebuah perkahwinan mampu hidup begitu lama.

Namun ada satu saat dalam hidup apabila seseorang perlu menerima bahawa cinta tidak boleh memulihkan seseorang yang tidak mahu berubah. Kesetiaan tidak boleh menyembuhkan narcissism.

Pengorbanan tidak boleh menggantikan tanggungjawab. Dan perkahwinan tidak boleh dibina oleh sebelah pihak sahaja.

Maka apabila dia akhirnya pergi, mungkin bukan kerana dia sudah berhenti mencintai. Tetapi kerana dia sudah kehabisan harapan.

“Kadangkala seseorang tidak meninggalkan perkahwinan kerana kurang cinta. Dia meninggalkan perkahwinan kerana terlalu lama mencintai seorang diri.” — Wirda Adnan.

MEMILIH PASANGAN: KEPUTUSAN YANG MENENTUKAN SEPARUH HIDUPMU

“Salah memilih pakaian, kita mungkin tidak selesa sehari. Salah memilih rumah, kita mungkin menyesal beberapa tahun. Tetapi salah memilih pasangan hidup, kesannya boleh dirasai sepanjang hayat.”

Ramai orang menghabiskan berbulan-bulan membuat kajian sebelum membeli kereta.

Mereka membandingkan harga, membaca ulasan, bertanya pendapat rakan-rakan dan meneliti setiap spesifikasi. Namun anehnya, apabila memilih pasangan hidup — keputusan paling besar dalam kehidupan — ada yang hanya berpandukan perasaan dan janji manis. Sedangkan pasangan hidup bukan seseorang yang akan menemani kita untuk satu majlis makan malam. Dia orang yang akan berkongsi hari-hari biasa kita. Melihat kita ketika muda dan tua. Menyaksikan kejayaan dan kegagalan. Menjadi tempat pulang ketika dunia terasa terlalu berat. Sebab itulah memilih pasangan bukan sekadar memilih seseorang yang kita cintai. Tetapi memilih seseorang yang mampu kita hormati sepanjang hayat.

Cinta Sahaja Tidak Mencukupi

Ramai yang berkahwin kerana cinta. Dan cinta memang penting. Tetapi cinta sahaja tidak pernah cukup untuk mempertahankan sebuah perkahwinan.

Apa gunanya cinta jika tiada rasa hormat? Apa gunanya sayang jika tiada kejujuran? Apa gunanya janji jika tiada tanggungjawab? Perkahwinan yang bertahan bukan dibina atas bunga-bunga cinta semata-mata. Ia dibina atas karakter. Atas akhlak. Atas cara seseorang melayan orang lain ketika marah, kecewa dan tertekan.

Kerana watak sebenar seseorang selalunya muncul bukan ketika dia sedang mencintai kita. Tetapi ketika dia tidak mendapat apa yang dia mahukan.

Red Flags Yang Sering Diabaikan

Ramai orang yang akhirnya hidup bersama pasangan toxic atau narcissistic bukan kerana mereka tidak nampak tanda-tandanya. Kadangkala mereka nampak. Tetapi mereka berharap.

Mereka berharap pasangan akan berubah selepas berkahwin. Mereka berharap sikap panas baran itu hanya sementara. Mereka berharap sifat cemburu melampau itu tanda cinta. Mereka berharap pembohongan kecil tidak akan menjadi besar. Mereka berharap.

Dan harapan itulah yang kadangkala membuatkan seseorang mengabaikan suara hatinya sendiri. Hakikatnya, kebanyakan red flags yang kita lihat sebelum berkahwin tidak hilang selepas berkahwin.

Ia selalunya menjadi lebih jelas. Lebih kerap. Lebih menyakitkan.

Kenapa Ada Yang Bertahan Begitu Lama?

Masyarakat sering bertanya: “Kalau dia toxic, kenapa tidak pergi dari awal?”

Jawapannya tidak semudah itu. Orang yang bertahan lama bukan semestinya lemah. Kadangkala mereka terlalu menghargai institusi perkahwinan. Mereka mahu menyelamatkan rumah tangga. Mereka memikirkan anak-anak. Mereka memberi peluang demi peluang. Mereka berdoa. Mereka memaafkan. Mereka berharap.

Sehingga suatu hari mereka sedar bahawa mereka seorang sahaja yang sedang berusaha. Dan perkahwinan tidak pernah boleh dipikul oleh seorang diri. Ketika itu, mereka tidak pergi kerana kurang cinta tetapi kerana terlalu lama mencintai seorang diri.

Pilih Karakter, Bukan Karisma

Wajah akan berubah. Kekayaan boleh hilang. Kedudukan boleh bertukar. Tetapi karakter akan menentukan bagaimana seseorang melayan pasangannya setiap hari.

Pilihlah seseorang yang menghormati ibu bapanya. Yang bercakap baik kepada pekerja bawahan. Yang meminta maaf apabila bersalah. Yang tidak merendahkan orang lain untuk merasa dirinya hebat. Yang menjaga amanah walaupun tiada siapa melihat.

Kerana kita tidak hidup dengan ketampanan, kecantikan atau status seseorang. Kita hidup dengan perangainya.

Sebelum Berkahwin, Tanya Dirimu Sendiri

Adakah aku selamat secara emosi bersamanya? Adakah aku boleh menjadi diriku sendiri? Adakah dia menghormati pandanganku walaupun tidak bersetuju?Adakah dia bertanggungjawab? Adakah dia seorang yang jujur?

Dan yang paling penting jika dia tidak berubah langsung selepas berkahwin, adakah aku masih sanggup hidup bersamanya selama 20 atau 30 tahun akan datang? Kerana berkahwin dengan harapan seseorang akan berubah adalah satu perjudian yang sangat mahal.

Sayugia, dalam hidup ini, kita boleh pulih daripada banyak kesilapan tetapi ada kesilapan yang membawa kesan bertahun-tahun lamanya. Memilih pasangan hidup adalah salah satunya.

Maka jangan hanya mencari seseorang yang membuat jantung berdebar. Carilah seseorang yang membuat hati tenang. Kerana cinta yang matang bukan sekadar membuat kita jatuh cinta.Ia membuat kita rasa selamat, dihormati dan dihargai.

Pasangan hidup bukan orang yang sempurna. Tetapi dia haruslah seseorang yang apabila badai datang, tidak menjadi sebahagian daripada ribut itu — sebaliknya menjadi tempat kita berlindung daripadanya.”  — Wirda Adnan

Related posts

DURIAN SEKALI MAKAN HENDAK LAGI TETAPI ELOK TAHU CERITANYA

adminwm

Keunggulan Alam Semula Jadi: NatureLab Tokyo Kini di Malaysia

adminwm

Mothering While Running a Business: The Load Nobody Sees

Hana Halim

Leave a Comment