EYE ME

Lelaki Dalam Hidup Saya Seperti Sebuah Pohon Tua

Kadang-kadang seorang wanita memahami lelaki bukan ketika lelaki itu berbicara… tetapi ketika dia diam.

Diam seorang ayah yang pulang lewat malam, namun tetap memeriksa pintu rumah sebelum tidur. Diam seorang suami yang tidak pandai mengungkap cinta, tetapi sanggup memikul seribu beban agar keluarganya tidak merasa kekurangan. Dan diam seorang anak lelaki… yang semakin dewasa, semakin jarang memeluk ibunya, namun diam-diam memastikan ibunya baik-baik saja.

Mungkin lelaki memang tidak dibesarkan untuk banyak menangis. Mereka diajar untuk kuat, untuk memendam, untuk berdiri walaupun lelah. Tetapi di balik bahu yang kelihatan gagah itu, ada hati yang juga ingin dihargai, ingin dipeluk, ingin didengar.

Saya melihat lelaki dalam hidup saya seperti sebuah pohon tua.
Bapa adalah akar — tidak selalu terlihat, tetapi tanpanya keluarga tidak akan berdiri teguh.
Suami pula adalah batang yang menahan ribut, panas dan hujan demi melindungi mereka yang berteduh di bawahnya.
Dan anak-anak lelaki saya… mereka adalah ranting muda yang sedang belajar menjadi kuat tanpa kehilangan kelembutan hati.

Ada sesuatu tentang lelaki yang sering kita lupa — mereka juga lahir sebagai anak kecil yang pernah takut gelap, pernah ingin dipuji, pernah ingin dicintai tanpa syarat.

Seorang ayah jarang meminta balasan.
Dia mungkin tidak pandai berkata “I love you,” tetapi cintanya hadir dalam bentuk yang lain — kereta yang sentiasa bersih, minyak kereta yang sentiasa penuh, lampu rumah yang menyala dan padam ketika perlu, sekolah anak-anak yang sentiasa terbayar, dan doa yang tidak pernah putus walaupun mulutnya jarang berbicara tentang kasih sayang.

Dan semakin saya dewasa, semakin saya memahami bahawa lelaki yang baik bukan lelaki yang sempurna. Tetapi lelaki yang tetap memilih keluarganya setiap hari, walaupun dunia di luar sana memberinya seribu alasan untuk menyerah.

“A father’s love is often silent, but silence does not mean absence.
It means sacrifice spoken in a language only the heart can understand.”

Kadang-kadang kita terlalu sibuk menilai lelaki daripada kelembutan kata-katanya, sedangkan ramai lelaki mencintai melalui tanggungjawab. Mereka memikul cinta, bukan mengumumkannya.

Lelaki-Lelaki Dalam Hidup Saya

Sejak kecil, saya hidup di tengah-tengah lelaki yang tegas.

Ayah saya seorang yang berprinsip. Suaranya tidak perlu tinggi untuk membuatkan kami patuh. Ada disiplin dalam cara beliau berjalan, bercakap dan memandang kehidupan. Ketika kecil, saya pernah menyangka ketegasan itu adalah jarak. Tetapi semakin dewasa, saya memahami — itulah cara seorang lelaki menjaga keluarganya daripada berpecah-belah.

Kemudian hidup membawa saya memasuki sebuah lagi dunia lelaki yang dibentuk dengan disiplin yang lebih keras. Ayah mertua seorang pesara tentera berpangkat Leftenan Kolonel. Seorang lelaki yang hidupnya dibina atas aturan, ketepatan waktu dan tanggungjawab. Di rumah, beliau bukan sekadar seorang ayah, tetapi seorang pemimpin keluarga. Tegasnya bukan dibuat-buat; ia sudah sebati dalam darah dan tulang kehidupannya.

Dan daripada lelaki itulah lahirnya suami saya.

Seorang lelaki yang juga tidak banyak berbicara tentang perasaan, tetapi sangat jelas dalam tanggungjawabnya. Ada lelaki yang menunjukkan cinta dengan bunga dan puisi. Tetapi ada lelaki yang menunjukkan cinta dengan memastikan keluarga sentiasa selamat, cukup dan terpelihara. Saya belajar bahawa cinta lelaki seperti ini jarang berbunyi indah — tetapi sangat kukuh untuk bersandar.

Dan kini, saya melihat warisan itu hidup dalam anak-anak lelaki saya pula.

Cara mereka berdiri. Cara mereka mempertahankan dua beradik. Cara mereka menyimpan emosi dan cuba menjadi kuat walaupun masih muda. Kadang-kadang saya melihat datuk mereka dalam wajah mereka. Kadang-kadang saya melihat ayah mereka dalam cara mereka bercakap. Dan sesekali… saya terlihat seorang anak kecil yang masih belajar menjadi lelaki.

Mungkin benar, lelaki mewarisi lebih daripada wajah dan nama keluarga. Mereka mewarisi cara memikul hidup.

Daripada seorang datuk kepada seorang ayah.
Daripada seorang ayah kepada seorang anak.
Dan  mungkin kepada cucu-cucu lelaki saya pula.

Sebuah kesinambungan yang tidak banyak berbicara tentang cinta, tetapi sangat dalam maknanya.

Saya pernah tertanya-tanya mengapa lelaki-lelaki dalam hidup saya begitu tegas. Mengapa mereka sukar menunjukkan kelembutan seperti wanita. Tetapi lama-kelamaan saya memahami bahawa dunia membesarkan lelaki dengan cara yang berbeza. Mereka diajar untuk melindungi sebelum diajar untuk meluahkan. Mereka diajar untuk bertahan sebelum diajar untuk menangis.

Dan mungkin sebab itulah bahu seorang lelaki selalu kelihatan penat.

Kerana di atas bahu itulah mereka memikul maruah keluarga, keselamatan rumah tangga dan masa depan anak-anak.

Berada di tengah-tengah dunia lelaki yang kuat, ada waktunya ketegasan mereka terasa dingin. Ada waktunya diam mereka terasa jauh. Tetapi selebar usia semakin mengajar hati menjadi matang, saya mula melihat cinta dalam bentuk yang lebih luas.

Cinta tidak selalu hadir dalam kata-kata lembut. Kadang-kadang cinta hadir dalam disiplin.
Dalam teguran. Dalam aturan hidup. Dalam seorang ayah yang bangun paling awal dan tidur paling lewat. Dalam seorang suami yang diam-diam menanggung tekanan dunia agar keluarganya boleh tidur dengan tenang. 

Terima kasih atas semuanya itu. Semoga roh arwah apak dan suami dicucuri rahmat dan ditempat di kalangan orang yang beriman bersama para solihan.

“The strongest men are often the gentlest at heart.
They simply learned to hide softness behind discipline.”

Teringat, apabila meja makan kami dipenuhi lelaki daripada pelbagai generasi — apak, daddy, suami, anak-anak lelaki dan cucu lelaki — saya melihat sesuatu yang sangat indah tentang kehidupan.

Lelaki-lelaki ini mungkin tidak sempurna. Mereka ada ego, ada diam, ada kerasnya. Tetapi mereka juga adalah manusia-manusia yang sedang berusaha mencintai keluarga dengan cara yang mereka tahu.

Dan mungkin itu hakikat seorang lelaki. Mereka jarang meminta difahami. Tetapi sepanjang hidup, mereka tidak pernah berhenti menjaga.

“The greatest men are not those who conquer the world,
but those who quietly protect the small world are called family.”

Related posts

Pulanglah, Jenguk Orang Tua Mu

Wirda Adnan

Disember 2025: Tahun Kita Menutup Luka, Menyimpan Manis, dan Menyulam Harapan Baru

Wirda Adnan

A Loving ‘Heart’

Wirda Adnan

Leave a Comment