
“Ramai mencemburui kehidupannya. Anak orang kaya, tinggal di banglo mewah, dihantar pemandu ke sekolah. Keputusan tidaklah beberapa bagus, tapi diterima belajar di kolej swasta terkenal di sini sebelum pengajian di sebarang laut. Di sana diberikan kereta sedangkan pelajar lain susah payah naik Metro, naik bas. Pulang tersedia penthouse untuknya. Namun apa yang paling dirinduinya bukan kemewahan, tetapi peluang untuk makan malam bersama ibu dan bapanya sewaktu dia kecil, dan setelah berkahwin dia juga merindui kehidupan yang sebegitu…”
Petang itu, langit Kuala Lumpur sedikit redup. Cahaya matahari yang menembusi dinding kaca besar Pavilion memantulkan warna keemasan yang lembut ke ruang dalam Paul Restaurant. Aroma kopi yang baru dibru bersama haruman mentega daripada pastri Perancis memenuhi udara. Di sudut berhampiran tingkap, aku memilih tempat duduk yang menghadap laluan pejalan kaki yang sibuk. Sesekali kelihatan pelancong lalu-lalang, pasangan muda bergambar dan kelompok sahabat ketawa riang menikmati hujung minggu mereka.
Di hadapannya terhidang secawan Earl Grey yang masih berasap. Haruman bergamot yang lembut menenangkan fikiran. Aku mengangkat cawan perlahan-lahan, menikmati kehangatan yang mengalir ke tubuh sambil mata ini sesekali melirik ke arah pintu masuk.
Aku sedang menunggu Maria.
Sudah hampir lima belas tahun usia persahabatan kami. Bermula sebagai teman sekolah, kemudian terpisah oleh kehidupan masing-masing, namun persahabatan kami kekal utuh. Maria bukan sekadar sahabat. Dalam banyak keadaan, aku menjadi tempat dia menangis, mengadu dan menyimpan rahsia yang tidak pernah diketahui orang lain.
Tidak lama kemudian, kelibat seorang wanita tinggi lampai melangkah masuk. Masih anggun seperti dahulu. Tas tangan berjenama Kelly tersangkut kemas di bahu. Rambut disisir rapi. Dari luar, sesiapa sahaja akan menganggap hidupnya sempurna.
Maria tersenyum sebaik dia melihat.
“Sorry lambat. Traffic,” seperti biasa cium pipi kanan cium pipi kiri dan melabuhkan punggungnya di hadapan aku. “Ni mesti Yves Saint Laurent Libre Eau De, I love the smell too.”
“You pula, “I tahu and let me guess, I can smell Jo Malone English Pear & Freesia.”
Begitu lah kami, pewangi antara subjek yang sering kami bualkan.Aku memandang wajah Maria. Senyum itu masih ada, tetapi seperti biasa, aku dapat melihat sesuatu yang orang lain tidak nampak.
Kesunyian.
Begitulah Maria sejak kecil lagi.
Ramai yang mencemburui kehidupannya. Anak kepada Dato Amir, seorang tokoh korporat terkenal. Banglo besar umpama istana di kawasan elit Kuala Lumpur. Ruang tamu dihiasi perabot import, lampu kristal dari Itali dan taman yang sentiasa dijaga tukang landskap.
Ketika rakan-rakan lain menaiki bas sekolah, Maria dihantar pemandu peribadi.
Ketika kebanyakan keluarga bercuti ke Melaka atau Cameron Highlands, keluarganya terbang ke London, Paris, Geneva, Australia.
Semuanya nampak sempurna.
Namun ada hakikat yang tersembunyi di sebalik pagar tinggi rumah itu.
“Ya, aku ada semuanya,” kata Maria suatu ketika dahulu. “Tapi aku tak pernah ada masa dengan mereka.”
Sehingga hari ini, ayat itu masih melekat dalam ingatan ku ini.
Rumah Besar, Meja Makan Yang Kosong
Bagi Maria, kalau sebulan sekali dapat duduk makan malam bersama ibu dan bapanya pada meja yang sama, itu sudah dianggap hadiah yang besar. Malah pergi bercuti sama, tetapi makan pun kadang-kadang masing-masing cari.
Mamanya sentiasa sibuk dengan majlis sosial, badan kebajikan dan acara elit.
Papanya pula sentiasa dalam perjalanan. Mesyuarat, urusan korporat, perniagaan dan pelbagai projek yang tidak pernah habis. Malah ketika remaja dahulu, Maria pernah berbisik sesuatu yang membuatkan aku terdiam. “Kadang-kadang aku sendiri tak tahu sebenarnya papa buat kerja apa? Yang aku tahu, dia sentiasa sibuk.” Kaya yang sepatutnya membebaskan, akhirnya menjadi penjara yang tidak kelihatan.
Pelayan datang mengambil pesanan. Maria memilih cappuccino dan croissant badam kegemarannya.
Beberapa minit kemudian, perbualan kami mula mengalir seperti sungai yang lama terhalang. Bercerita tentang anak-anak, usia yang semakin matang, rambut yang mula diselitkan uban dan dunia yang semakin berubah. Entah bagaimana, topik kami akhirnya beralih kepada lelaki.
Mungkin kerana usia mengajar manusia bahawa di sebalik segala pencapaian, hubunganlah yang paling banyak meninggalkan luka dan pelajaran.
Maria ketawa kecil.
“Lelaki.”
Dia menggeleng perlahan.
Aku hanya tersenyum.
“Kenapa?”
Maria memandang ke luar tingkap.
“Kadang-kadang aku sendiri tak faham.”
“Apa yang kau tak faham?”
“Dua kali aku berkahwin. Dua kali juga aku bercerai.”
Dia berhenti seketika.
“Aku bukan cari lelaki kaya. Aku tak perlukan itu.”
Aku diam mendengar.
“Aku cuma nak lelaki yang baik. Yang boleh jadi imam. Yang faham agama. Yang pegang janji.”
Maria mengeluh panjang.
“Tapi pelik, Su, kedua-duanya bermula dengan sangat baik.”
“Kemudian berakhir?”
Maria tersenyum hambar.
“Dengan pengkhianatan.”
Perkataan itu jatuh perlahan tetapi berat.
Dia menyandarkan badan ke kerusi.
“Kadang-kadang aku fikir mungkin aku yang salah.”
Aku segera menggeleng.
“Jangan.”
“Tapi serius. Macam mana dua kali aku memilih, dua kali juga aku tersilap?”
Bunyi cawan dan sudu berlaga dari meja berhampiran seolah-olah menjadi latar kepada kesunyian yang tiba-tiba hadir.
Maria menyambung.
“Dulu aku fikir lelaki yang selalu bercakap tentang agama pasti akan menjaga amanah.”
Dia tersenyum pahit.
“Tapi rupa-rupanya ada orang yang tahu bercakap tentang agama, namun gagal menjaga hati manusia.”
Aku memandang wajah sahabatnya.
Ada sesuatu yang sangat menyedihkan apabila melihat seorang wanita yang memiliki segalanya tetapi masih gagal menemukan ketenangan yang dicari.
Rumah mewah tidak mampu membeli kesetiaan. Kereta mahal tidak mampu membeli kasih sayang.Akaun bank yang penuh tidak mampu membeli kejujuran.
Mungkin itulah ironi kehidupan. Kadang-kadang orang yang kelihatan paling bertuah sebenarnya sedang memikul kesunyian yang paling berat.
Maria mengacau kopi yang sudah mula sejuk.
“Aku selalu tertanya-tanya, Su.”
“Apa dia?”
“Mungkin selama ini aku mencari lelaki yang baik.”
Dia berhenti.
“Kemudian baru aku sedar, lelaki yang baik itu bukan sekadar pandai bercakap tentang kebaikan.”
Aku mengangguk perlahan.
Maria tersenyum, kali ini lebih tenang.
“Lelaki yang baik ialah lelaki yang tetap berbuat baik ketika tiada siapa melihat.”
Petang semakin beransur senja
Di luar, kota Kuala Lumpur terus bergerak tanpa henti.
Namun di sebuah meja kecil di Paul, dua sahabat lama terus berkongsi sesuatu yang lebih berharga daripada kekayaan, kemewahan dan nama besar.
Kejujuran.
Dan kadang-kadang, itulah kemewahan yang paling sukar dimiliki oleh manusia.
Maria bercerita lagi tentang kisah peribadinya, mungkin kah juga kerana wang yang di perolehi oleh ayahnya tidak berkat, dan mengenang balik, dia juga membesarkan anak daripada duit haram kedua bekas suaminya, ahli perniagaan
Maria menghela nafas panjang sebelum menyentuh cawan cappuccinonya. Buih susu yang cantik di permukaan sudah mula mendatar, sama seperti semangat yang kadang-kadang turun naik dalam dirinya.
“Su…”
“Hmm?”
“Kau pernah tak terfikir, mungkin hidup kita hari ini ada kaitan dengan apa yang berlaku sebelum ini?”
Aku memandangnya, menunggu.
Maria mengacau perlahan kopinya.
“Aku kadang-kadang tertanya-tanya… mungkin kah apa yang aku lalui ini sebab wang yang membesarkan aku tidak berkat.”
Aku diam.
“Aku tak pernah cerita benda ni pada orang.”
Maria tersenyum kecil.
“Kalau fikir balik, aku sendiri tak pernah benar-benar tahu apa kerja papa. Masa kecil, aku cuma tahu duit sentiasa ada. Rumah besar. Kereta bertukar-tukar. Percutian luar negara.”
Dia berhenti seketika.
“Tapi bila dewasa, banyak perkara yang aku mula dengar. Cerita sana sini. Projek itu. Projek ini.”
Maria menggeleng perlahan.
“Entahlah. Aku tak tahu yang mana benar, yang mana fitnah.”
Aku masih membiarkan sahabatku berbicara.
“Malah selepas berkahwin pun sama.”
“Macam mana?”
“Dua bekas suami aku ahli perniagaan.”
Maria ketawa hambar.
“Kalau kau tanya aku apa perniagaan mereka sebenarnya, aku sendiri tak pasti.”
Aku tersenyum.
“Kau ni.”
“Serius.”
Maria menyambung.
“Duit masuk. Rumah dibayar. Anak-anak sekolah. Aku fikir itu sudah cukup.”
Dia memandang ke luar tingkap.
“Tetapi sekarang bila usia makin matang, aku terfikir… anak-anak aku membesar dengan duit yang datang dari mana?”
Pertanyaan itu tergantung di udara.
“Aku bukan menuduh sesiapa.”
“Tapi?”
“Tapi kalau benar ada yang tidak halal, mungkin ada bahagian hidup yang kita sedang bayar tanpa sedar.”
Aku mengangguk perlahan.
Ada persoalan yang tidak mampu dijawab manusia. Tentang rezeki. Tentang keberkatan. Tentang mengapa sesetengah orang memiliki segalanya tetapi tidak pernah menemukan ketenangan.
Maria memandang tajam ke mata aku
“Aku baca tulisan kau.”
“Tulisan yang mana satu?”
“Yang kau tulis masa di Paris.”
“Oh, yang itu.”
“Ya.”
“Aku cemburu sebenarnya.”
“Cemburu dengan apa?”
“Dengan hidup kau.”
Aku hampir tersedak teh yang sedang aku minum.
“Kau nampak tenang.”
“Kau hanya nampak dari luar.”
“Tak.”
Maria menggeleng.
“Aku kenal kau sejak kecil. Ada sesuatu yang kau ada yang aku tak ada.”
“Apa dia?”
“Ketenangan.”
Kali ini aku benar-benar terdiam.
Maria menyambung.
“Kau tak hidup mewah macam aku.”
“Tidak.”
“Kau tak ada driver.”
“Tidak.”
“Kau tak ada banglo.”
“Tidak juga.”
“Tapi kau nampak bahagia.”
Maria memandang tepat lagi ke wajah sahabatnya ini.
“Share dengan aku. Apa rahsia kau?”
Aku ketawa kecil.
“Tak ada rahsia.”
“Ada.”
“Tidak.”
“Ada.”
“Mungkin sebab aku dah lama berhenti mencari kesempurnaan.”
Maria mendengar.
“Aku tak harap hidup sempurna.”
“Aku cuma belajar menerima bahawa hidup memang tidak sempurna.”
Maria mengangguk perlahan.
Aku menyambung.
“Perkahwinan juga begitu.”
“Wah, cakap macam pakar.”
“Serius.”
Aku mengangkat bahu.
“Marriage is not all sweet and fun.”
Maria segera mencelah.
“Exactly.”
“Ada hari kita ketawa.”
“Ada hari kita menangis.”
“Ada hari kita rasa sangat dicintai.”
“Ada hari kita rasa bersendirian walaupun duduk sebelah pasangan.”
Masing-masing memahami.
“Dan aku rasa ramai wanita salah faham.”
Maria mengangguk.
“Mereka fikir perkahwinan mesti sentiasa romantik.”
“Mesti sentiasa bahagia.”
“Mesti sentiasa dapat perhatian.”
“Mesti sentiasa jadi keutamaan.”
Aku menyambung.
“Hakikatnya kadang-kadang pasangan kita sedang bergelut dengan dunianya sendiri.”
“Maria, aku sebenarnya jenis yang tak demand.”
“Aku tahu.”
“Kalau suami balik lewat, aku okay.”
“Kenapa?”
“Sebab aku fikir mungkin dia ada banyak perkara di luar yang perlu diuruskan.”
“Aku tak suka telefon lima belas kali.”
Maria ketawa.
“Aku tak suka check phone.”
“Aku tak suka baca WhatsApp dia.”
“Aku tak akan geledah poket dia.”
“Aku tak suka soal siasat.”
“Bagi aku, privacy seseorang itu perlu dihormati.”
“Itu pandangan yang semakin jarang hari ini.”
Maria mengangguk.
“Kadang-kadang ada isteri yang terlalu takut kehilangan.”
“Ya.”
“Suami kata nanti saya call.”
“Betul.”
“Bila sejam tak call, bini mula marah.”
“Dua jam tak call, bini mula syak.”
“Tiga jam tak call, bini dah jadi detektif.”
“Tapi Maria, lelaki pun manusia.”
“Ada masa dia perlukan ruang.”
“Ada masa dia perlukan diam.”
“Ada masa dia penat.”
“Ada masa dia tak mahu bercakap.”
Aku rasa ramai perkahwinan rosak bukan sebab orang ketiga.”
“Tapi?”
“Sebab orang pertama dan kedua saling mencekik.”
Ayat itu membuatkan Maria terdiam.
Aku menyambung lagi perlahan.
“Kita mahu tahu semua perkara.”
“Kita mahu mengawal semua perkara.”
“Kita mahu pasangan bertindak seperti yang kita mahu.”
“Sedangkan cinta bukan tentang mengawal.”
“Cinta adalah memberi ruang untuk seseorang menjadi dirinya sendiri.”
Maria memandang sahabatnya ini. “Aku tidak bermaksud semua itu adalah kamu Maria. Itu adalah contoh-contoh mengapa isteri jadi tak tenang, sakit dan dalam diri haru biru.”
Maria melihat ke dalam mata aku. Mungkin kali ini dia benar-benar mendengar cakap aku
Sebagai wanita yang pernah dua kali bercerai. Sebagai pewaris keluarga ternama. Ada yang tertinggal dalam kehidupan mereka ini. Masing-masing mahu merasakan mereka betul, masing-masing lupa menghormati orang lain, merasakan diri sudah cukup sempurna. Mungkin Maria dididik cara itu, melihat ibu secara tidak disedari, dia mewarisi sebahagian sifat mamanya, yang tidak senang mengalah dengan orang, waima dengan suami sendiri. Dan suami pula, bila isteri sahaja nak menang, membebel yang bukan-bukan, tidak mahu bergaduh, tutup telinga dan keluar walau hidangan di meja sedang menunggu tuannya, kalau telinganya berdesing, untuk apa lagi duduk makan bersama?
Aku diam terkala melihat ada air mata di tubir Maria. “Sorry Maria, apa yang aku cakap tadi buat you menangis?
“What you say is all correct.”
“Tapi aku bukan bercakap tentang you…
“Its okay, you buat I tersedar. Selama ini I always rasa, ex-ex I sahaja yang salah, ex-ex I saja yang lupa diri. Sebenarnya I juga lupa diri, I juga yang terlalu mendesak, terlalu mencuba. Ya mencuba menarik perhatiannya, mencuba sekuatnya untuk mendapatkan cinta daripadanya. Sebenarnya cinta itu memang ada, tapi terkadang kita yang membuat cinta itu menjauh bila mana kita terlalu mendesak, bila mana kita trying very hard, kita lelahkan dia. Dan inilah pelajaran paling mahal I perolehi hari ini Su, thanks, kerana menyedarkan I.”
“Jom kita, takut maghrib habis, kalau kita nak sembang sampai malam pun tak habis.”
“Lepas ini kita dinnerlah please,” Maria mencadangkan. “You go solat dulu.”
“You tak mahu solat?”
Maria memberi alasan… “Nanti make-up I… You gi lah, i tunggu you di Serai,”
“As always inilah jawapan you kan?”
“Soon,” jawabnya ketawa.
Sambil berjalan, seorang ke surau, seorang ke Serai, aku cuba mencari perkataan terbaik untuk mengingatkan Maria dalam menjaga solatnya walau di mana berada. Kadang kita kenal kawan kita berpuluh tahun tetapi tidak semua dia ceritakan kepada kita tentang dirinya. Contoh, bila dia menyebut tentang trying so hard mendapatkan attention ex-ex nya, apakah Maria melangkaui batas, sampai cuba melemaskan suaminya, menghubungi berpuluh kali, sekalipun suami kata tunggu… nanti kita bincang di rumah, I di pejabat tengah siapkan kerja, I tak boleh discuss family matter di sini?” Tetapi isteri terus call and call, daripada sayang jadi lemas, sesak nafas.”
Sempat aku berdoa untuk Maria, supaya dia lebih tenang. Doa supaya dia lebihpeduli tentang solat, bukan aku kata dia tak solat, tetapi hal-hal kecil takut mekap rosak sebab nak ambil wuduk, buat aku kecewa juga. Pada usia yang begini kalau masih tidak menjaga solat waktu, memang menyedihkan. Berkata di hati, nak dakwah orang yang paling susah, walaupun dengan anak sendiri, apa tah lagi dengan kawan? Wallahuaklam.
