PERSONALITI

Tidak Mahu Anak-Anak Leka Dalam Keselesaan, Datin Shahida  Ajak Mereka Dalami Makna Solidariti!

Untuk menzahirkan tanda sokongan dan simpati kepada ’negara tembikai’, bukan hanya duduk di depan skrin telefon dan menitip ayat nukilan semata. Lebih daripada itu, pempengaruh dan usahawan terkenal, Datin Seri Nur Shahida ingin anak-anak turut menghayati makna sebenar solidariti dengan turun padang, rasai secara fizikal dan emosi yang lebih nyata!

Gelombang solidariti terhadap Global Sumud Flotilla telah mencetuskan demonstrasi besar-besaran di pelbagai negara seluruh dunia, dan Malaysia pastinya tidak berkecuali. Ribuan peserta turun ke jalan raya menyuarakan sokongan terhadap misi kemanusiaan tersebut, termasuk isteri kepada usahawan terkenal Dato’ Seri Aliff Syukri, iaitu Datin Seri Nur Shahida bersama anak-anaknya, Baem, Qadejah dan Ammar Ahyan.

Demi menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap solidariti perlayaran ke negara G itu, Datin Shahida, turut turun padang bersama anak-anaknya menghadiri himpunan solidariti di Dataran Sogo, Kuala Lumpur baru-baru ini. Manisnya, mereka hanya menaiki kemudahan pengangkutan MRT untuk ke sana. Ini benar-benar perjalanan yang memberi pengalaman bermakna buat anak-anaknya.

Langkah itu bukan sekadar simbol sokongan, tetapi juga tindakan mendidik generasi muda agar peka terhadap penderitaan rakyat Palestin dan memahami perjuangan menegakkan keadilan di bumi yang bergolak itu. Katanya, tahun lepas beliau hadir bersama Dato’ Seri Aliff Syukri, namun kali ini beliau mahu anak-anak sendiri melihat dan merasai semangat perjuangan rakyat yang ditindas.

“Mama nak mereka belajar erti simpati, tahu apa yang sedang berlaku di dunia luar.

Ini bukan sekadar tunjuk perasaan, tapi satu pendedahan penting untuk membentuk jiwa yang cakna dan berhati manusia.”

Dalam suasana penuh semangat, laungan “Free Palestin!” bergema di sekitar dataran, menambah rasa sebak dan keinsafan kepada semua yang hadir.

Ramai yang memuji tindakan Datin Shahida kerana menjadikan solidariti ini platform pendidikan awal untuk anak-anak supaya mereka membesar dengan nilai empati dan kemanusiaan yang tinggi.

Sementara itu, Dato’ Seri Aliff Syukri turut menyatakan sokongan beliau melalui satu posting di Tiktok yang menerima lebih 43.2 ribu tanda suka dan 1,777 maklumbalas. Di sebalik kesibukan sebagai usahawan, mereka tidak pernah lupa menyemai kesedaran dalam diri anak-anak tentang perjuangan umat Islam di bumi Palestin.

Rata-rata netizen turut meluahkan rasa bangga dan terharu melihat keluarga ini bersatu hati menyuarakan sokongan buat Palestin.

Related posts

Designer of the Month

admin

Apabila Sains dan Pengembaraan Bersatu

adminwm

Bon Zainal, Be Humble

admin

Leave a Comment