FESYEN

Selepas Tirai KLFW Ditutup: Fesyen, atau Terlalu Banyak Persembahan?

KLFW baru sahaja melabuhkan tirainya.

Saya tidak sempat menonton sebanyak pertunjukan yang saya mahu. Tahun ini saya hanya sempat duduk menyaksikan dua — Kirana dan Fiziwoo. Dan untuk kedua-duanya, saya beri thumbs up. Bukan kerana mereka sempurna. Tetapi kerana saya dapat melihat sesuatu yang semakin saya hargai selepas lebih empat dekad berada dalam dunia fesyen — arah yang jelas, penelitian dan identiti.

Koleksi mereka tidak terasa seperti dibuat sekadar untuk memenuhi pentas. Ada pemikiran di belakangnya. Ada usaha mencari, meneliti dan menyusun. Dan apabila semuanya dipersembahkan, pakaian masih menjadi perkara pertama yang kita lihat.

Itu, bagi saya, ialah fashion show.

Malah secara peribadi, saya rasa Kirana tidak perlu berkongsi pentas dengan sesiapa. Berikan dia ruang untuk bercerita sendiri. Koleksinya cukup kuat untuk berdiri dengan namanya sendiri.

Fiziwoo juga begitu. Mereka sudah mempunyai bahasa fesyen yang dikenali. Tidak perlu terlalu banyak lapisan di luar pakaian untuk memberitahu kita siapa mereka.

Tabik.

Kami bertiga — saya bersama dua rakan editor — sebenarnya sempat pula merasai sedikit drama KLFW sendiri apabila kami tiba kira-kira lima minit lewat untuk pertunjukan Ashraf Arief. Show sudah bermula, pintu sudah ditutup dan kami tidak dibenarkan masuk.

Tak ada rezeki.

Tak apa. Dalam dunia fesyen pun, kita belajar menerima bahawa bukan semua pintu akan terbuka untuk kita.

Selebihnya saya menonton sedikit-sedikit melalui TikTok dan media sosial.

Dan di situlah saya mula tertanya-tanya.

Fesyenn, atau Terlalu Banyak Persembahan?

Sebagai seseorang yang sudah lebih empat dekad hidup dalam dunia majalah dan fesyen, saya datang ke Kuala Lumpur Fashion Week bukan sekadar untuk melihat siapa yang hadir, siapa yang duduk di front row atau siapa yang paling banyak mendapat perhatian di media sosial.

Saya datang untuk melihat fesyen.

Apa yang ingin dikatakan oleh seorang designer?  Dari mana datangnya idea itu? Sejauh mana kajiannya? Bagaimana sejarah, budaya, fabrik, potongan dan ketukangan diterjemahkan menjadi sesuatu yang mempunyai identiti?

Dan semakin lama saya menonton, semakin saya tertanya-tanya:

Adakah kita sedang melihat fesyen, atau kita semakin banyak melihat persembahan tentang fesyen?

Saya tidak menolak spectacle.

Pertunjukan fesyen memang sebuah persembahan. Runway memerlukan drama, muzik, pencahayaan, casting dan visual yang mampu meninggalkan kesan. Tetapi semua itu sepatutnya membantu pakaian untuk bercakap — bukan mengambil alih suara pakaian itu sendiri.

Apabila terlalu banyak mahu dikatakan

Ada koleksi yang membuat saya berhenti kerana keindahan, ketelitian dan kejelasan arah kreatifnya.

Ada pula yang membuat saya tertanya-tanya apakah sebenarnya yang ingin disampaikan.

Saya melihat beberapa koleksi yang pada pandangan saya masih kurang dari segi research, perhatian terhadap perincian dan disiplin menyunting idea. Ada yang terlalu sarat. Terlalu banyak elemen mahu dimasukkan dalam satu koleksi sehingga akhirnya kita tidak lagi tahu apakah bahasa sebenar designernya.

Ada yang kelihatan seperti terlalu mahu membuat statement.

Terlalu mahu mengejutkan.

Terlalu mahu menjadi viral.

Dan apabila seseorang terlalu berusaha untuk kelihatan luar biasa, ada kemungkinan yang lebih besar berlaku — identitinya sendiri hilang di tengah-tengah usaha itu.

Bagi saya, fesyen tidak semestinya perlu menjerit untuk membuat kita memandang.

Kadangkala ia hanya perlu tahu siapa dirinya.

Antara fashion dan costume

Di sinilah saya rasa satu persoalan perlu dibangkitkan.

Apa sebenarnya perbezaan antara costume dan fesyen?

Apabila seseorang model berjalan di atas pentas dengan pakaian yang sangat dramatik, penuh karakter, aksesori besar, elemen theatrical dan segala-galanya direka untuk menghasilkan satu wow moment — pada titik manakah ia berhenti menjadi fesyen dan berubah menjadi costume?

Saya tidak mengatakan costume itu tidak mempunyai nilai.

Sebaliknya, costume mempunyai dunia dan bahasanya sendiri. Ia boleh membina watak, zaman, cerita dan imaginasi. Dalam filem, teater dan persembahan pentas, costume memainkan peranan yang sangat penting.

Tetapi fesyen mempunyai kehidupan yang berbeza.

Fesyen hidup bersama manusia.

Ia bergerak bersama tubuh. Ia mempunyai fungsi. Ia mempunyai siluet, material, construction, proportion dan satu bahasa yang boleh dikenali sebagai milik seseorang designer.

Ia boleh menjadi eksperimental. Ia boleh menjadi avant-garde. Ia boleh menjadi fantastik.

Tetapi di sebalik semua itu, kita masih sepatutnya dapat melihat fesyen.

Apabila runway terlalu bergantung kepada costume dan spectacle, saya rasa kita perlu bertanya:

Adakah kita masih mengingati pakaian itu — atau kita hanya mengingati persembahannya?

Itulah garis yang sangat halus tetapi sangat penting.

Budaya bukan sekadar costume

Persoalan ini menjadi lebih penting apabila heritage dan budaya digunakan sebagai sumber inspirasi.

Saya percaya budaya kita mempunyai begitu banyak cerita untuk diterjemahkan ke dalam fesyen. Tetapi heritage bukan sekadar mengambil bentuk, simbol, motif atau pakaian tradisional lalu menjadikannya sesuatu yang dramatik di atas pentas.

Ia perlu difahami. Perlu dikaji. Perlu dihormati.

Kalau kita mahu membawa sesuatu seperti Puteri Gunung Ledang ke dalam fesyen, misalnya, saya mahu melihat lebih daripada sekadar gambaran visual seorang puteri.

Di mana kajiannya?

Apa yang sebenarnya diambil daripada cerita itu?

Apakah yang mahu dikatakan tentang wanita, kuasa, cinta, maruah atau sejarah?

Kerana apabila semuanya terlalu literal, terlalu costume-like dan terlalu bergantung kepada persembahan, saya tertanya-tanya — adakah ini sebuah koleksi fesyen atau kita sedang menonton sebuah pentas persembahan?

Dan di sinilah seorang designer perlu berhati-hati.

Heritage yang kuat tidak memerlukan kita menjeritkan heritage itu.

Yang paling saya hargai: identiti

Daripada apa yang saya lihat, koleksi yang paling menarik perhatian saya bukan semestinya yang paling besar persembahannya. Sebaliknya, saya lebih tertarik kepada koleksi yang tahu apa yang mahu dikatakan.

Saya sebut ini lagi, Kirana, misalnya, mempunyai arah yang lebih jelas. Ada identiti dan ada disiplin dalam cara idea diterjemahkan. Ia tidak perlu terlalu banyak untuk membuat kita faham siapa mereka.

Begitu juga Fiziwoo.

Apa yang saya cari sebenarnya mudah — adakah saya boleh mengenali tangan seorang designer tanpa perlu membaca nama di dalam programme?

Bagi saya, itulah salah satu ukuran penting.

Fesyen yang baik meninggalkan signature. Bukan sekadar meninggalkan gambar yang cantik di Instagram.

Bagaimana pula dengan Rizman Ruzaini?

Rizman Ruzaini berada dalam kategori yang berbeza.

Ini bukan lagi tentang mencari identiti dari kosong. Mereka sudah mempunyai nama, bahasa visual dan pelanggan yang mengenali dunia mereka. Cabaran bagi label yang sudah established seperti ini bukanlah bagaimana untuk menjadi lebih besar atau lebih dramatik setiap musim.

Cabaran sebenarnya ialah bagaimana untuk terus berkembang tanpa kehilangan disiplin identiti.

Saya melihat Rizman Ruzaini sebagai sebuah label yang sudah memahami nilai glamour, femininity dan occasion dressing. Tetapi apabila sebuah nama sudah berada di tahap tertentu, standard yang kita letakkan terhadapnya juga harus lebih tinggi.

Kita tidak hanya mahu melihat pakaian yang cantik. Kita mahu melihat pemikiran di belakang pakaian itu.

Apa yang baru? Apa yang sedang berkembang?

Apakah signature mereka yang masih relevan, dan apakah yang sekadar mengulangi formula yang sudah kita kenal?

Bagi saya, designer yang sudah mempunyai nama besar tidak perlu membuktikan bahawa mereka boleh menghasilkan spectacle.

Kita sudah tahu mereka boleh.

Yang lebih menarik ialah apabila mereka berani melakukan sesuatu yang lebih matang — lebih precise, lebih edited dan lebih yakin dengan identiti sendiri.

KLFW dan masa depan fashion kita

KLFW semakin besar dan semakin mendapat perhatian. Itu sesuatu yang harus kita raikan. Tetapi semakin besar pentasnya, semakin tinggi juga standard yang perlu kita letakkan.

Kita tidak mahu Minggu Fesyen hanya menjadi pertandingan siapa yang paling banyak menghasilkan wow moment.

Kita mahu ia menjadi tempat di mana designer benar-benar bercakap melalui bahasa fesyen. Tentang budaya, craftsmanship, siluet, fabrik, manusia dan siapa kita.

Tema tahun ini, Destination: Home Ground, pada saya sepatutnya menjadi peluang yang sangat besar untuk kita melihat bagaimana designer Malaysia mentafsir tanah air mereka dengan bahasa masing-masing.

Tidak semua perlu menggunakan batik.

Tidak semua perlu menggunakan songket.

Tidak semua perlu membawa folklore secara literal.

Kadangkala home ground itu boleh hadir melalui cara seseorang memotong jaket, memilih fabrik, memahami iklim kita, melihat wanita Malaysia atau mentafsir kehidupan bandar Kuala Lumpur.

Itulah yang saya mahu lihat.

Bukan sekadar Malaysia sebagai imej, tetapi Malaysia sebagai pemikiran.

Kerana akhirnya, fesyen bukan tentang siapa yang paling kuat bunyinya di atas runway. Ia tentang siapa yang masih kita ingat selepas muzik berhenti, lampu dipadamkan dan model terakhir meninggalkan pentas.

Dan bagi saya, di situlah ukuran sebenar sebuah koleksi fesyen bermula.

Bukan pada tepukan paling gemuruh malam itu — tetapi pada identiti yang masih tinggal selepas tirai ditutup.  Satu lagi, jangan sampai persembahan mengalahkan pakaian.

Related posts

“Sehelai Tudung, Seribu Tafsiran: Dan Di Antara Semua Itu, Tanggungjawab & Istiqamah Wanita Muslim”

adminwm

BIRKIN & KELLY BAGS

adminwm

Memori Silam HABIB di Semua House

adminwm

Leave a Comment