FESYEN

Athleisure Pertama Cakenis; Dari Gelanggang Ke Gaya Hidup Fesyen

Cakenis, jenama fesyen milik selebriti dan pempengaruh terkenal Hanis Zalikha melangkah dengan penuh keyakinan ke sebuah babak baru dalam rekaan fesyen gaya hidup aktif melalui pelancaran Cakenis Athleisure Collection – sebuah koleksi pakaian sukan yang mengharmonikan elemen keselesaan, prestasi, dan gaya minimal-luxury dalam satu laras rekaan yang matang dan kontemporari.

Dilancarkan sempena Cakenis Cup Malaysia 2025, koleksi ini hadir pada detik tepat apabila sukan raket seperti padel dan pickleball semakin menempa fenomena global. Direka khas untuk mereka yang menjalani gaya hidup aktif namun tetap menuntut penampilan yang rapi dan bergaya, setiap helaian menzahirkan DNA Cakenis dalam bentuk yang lebih dinamik dan ‘serbapakai’.

Berdasarkan falsafah “Experience Snug Luxury”, koleksi ini menampilkan fabrik premium dengan potongan yang teliti dan perincian halus namun signifikan. Ini adalah athleisure yang bukan sekadar dipakai — ia mengangkat keyakinan, membebaskan pergerakan, dan melingkari tubuh dengan kemewahan yang tidak perlu diperagakan, cukup untuk dirasai.

Satu Dekad, Sebuah Evolusi

Sepuluh tahun menapak dalam lanskap fesyen tempatan, Cakenis kini berdiri di persimpangan penting. Bukan hanya memperluas empayar, tetapi memperhalus bahasa visual dan emosi yang telah menjadi denyut nadi jenama sejak awal kelahiran.

Perjalanan Cakenis bukan satu larian terburu-buru, tetapi ritual yang dipelihara dengan penuh teliti — dari musim ke musim, kategori ke kategori. Lahirnya athleisure ini bukanlah pengulangan semula, melainkan kesinambungan organik kepada gaya hidup yang sudah berakar: keselesaan yang tidak menuntut perhatian, estetika yang bersih dan yakin, serta sentuhan kehangatan Malaysia yang terselit di setiap helaian.

Gaya hidup sihat bukan perkara baru bagi Cakenis yang selama ini dikenali dengan rangkaian pakaian renang yang tersendiri. Athleisure ini adalah evolusi yang mengukuhkan lagi identiti; sebuah refleksi kepada jenama yang telah melalui pelbagai babak, mengumpul komuniti setia, dan kini bersedia melangkah ke pentas global dengan keyakinan dan kematangan.

Pementasan Gaya di Tomaz Pickleball Club

Pelancaran rasmi koleksi ini berlangsung di Tomaz Pickleball Club, Subang Jaya. Sebuah rruang moden yang hangat dan penuh keanggunan tersendiri. Tahun ini, acara ini dirai bersama dengan kemeriahan Cakenis Cup Malaysia 2025, menjadikan detik ini satu pertemuan antara fesyen dan sukan yang amat signifikan dalam kalendar tempatan.

Di gelanggang ini, para pemain bertaraf dunia dari pelbagai benua berkumpul. Asia menyaksikan kemunculan kembali Quang Dương, pemain nombor satu yang menjadi ikon disiplin dan kecekapan. Turut hadir adalah atlet profesional dari Korea, Hong Kong, China, Sepanyol dan negara-negara lain — himpunan bakat yang mewarnai pertandingan bertaraf global, sekaligus menegaskan kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa dalam sukan yang semakin berkembang ini.

Tatkala para juara melangkah di gelanggang dalam busana Cakenis Athleisure, para tetamu tidak sekadar menyaksikan satu pertandingan sukan, malah mereka melihat bagaimana gerak menjadi gaya, pakaian menjadi bahasa, dan bagaimana budaya sukan ini bersatu dengan naratif jenama Cakenis. Ia adalah detik di mana fesyen, prestasi dan identiti moden Malaysia bertemu dalam satu pentas yang harmoni dan bermakna.

Related posts

Chanel 2.55, Fendi, Hermes, Loewe, Celine, Louis Vuitton ke Dior Cigale-Ketika Kemewahan Tidak Lagi Takut Untuk Hidup

Wirda Adnan

Tiada Bayang Karl Lagerfeld Di Pertunjukan Couture Chanel… Apa Sudah Jadi?

admin

Dah Bagus Promosi Tudung, Tapi Baju Pula Ketat: Banana Republic Tak Hormati Sensitiviti Orang Islam

admin

Leave a Comment