GAYA HIDUPKhas Ibu

MUMMY, WALAU TIADA, SAYA MASIH DAPAT MERASAKAN KASIH SAYANGNYA

Bak kata pepatah, ‘kasih ibu membawa ke syurga’, begitulah tingginya taraf ibu dalam kehidupan kita. Kasih sayang dan cinta yang luhur seorang ibu kepada anak-anaknya memberi kesan yang sangat besar dalam kehidupan dan hanya dapat dirasai dengan perasaan. Tak mungkin kita dapat membalas setiap pengorbanan ibu dengan segunung emas dan selautan intan. Walau berat tanggungjawab yang digalasnya, ibu tidak pernah mengharap apa-apa balasan daripada anak-anaknya.

Kepada ibu saya di syurga, Puan Sri Datin Hajah Ashidah binti Haji Minin, terima kasih kerana sentiasa menyayangi dan membimbing saya. Walaupun beliau tiada lagi bersama saya, saya masih dapat merasakan kasih sayang dan bimbingan beliau. Beliau adalah contoh seorang ibu yang melakukan segala-gala mengikut kemampuannya untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anaknya.

Saya sangat bersyukur dengan cara saya dibesarkan. Mummy tidak pernah takut untuk menjadi ibu yang tegas kepada saya, untuk mengajar saya betul dari salah, untuk memastikan saya melakukan yang terbaik. Mummy sentiasa mengingatkan saya bahawa saya mempunyai seorang ibu yang mengambil berat tentang diri saya, yang mempercayai kebolehan saya dan senantiasa ada untuk saya tidak kira apa.

Mummy sentiasa ada untuk semua yang datang kepadanya dengan masalah mereka. Rumahnya terbuka kepada semua orang, dan layanannya membuatkan mereka berasa penting dan istimewa. Mummy adalah wanita yang paling penyayang, merendah diri, berbelas kasihan, senantiasa memahami, dan sangat berorientasikan keluarga.

Mummy adalah seorang wanita hebat yang kuat dari awal hingga ke akhir hayat beliau. Dilahirkan pada 15 Disember 1940, beliau menghembuskan nafas terakhir pada subuh 7 Oktober 2022 di usia 81 tahun. Walaupun kematian membawa beliau pergi dari saya, tetapi kenangan kasih sayang beliau menjadi sebahagian daripada hidup saya. 7 bulan sudah berlalu dan saya amat merindui beliau. Semoga Allah SWT melindungi beliau dan dalam pelukan kasih sayangNya.

Oleh Iskander Melan

Related posts

How AI Transforms Your Creativity With the Galaxy S23 Ultra’s Signature Camera

adminwm

Girls Planet 999

admin

Danial dan Eleena

adminwm

Leave a Comment