GAYA HIDUPDARI KERLINGAN MATA; UU

MAJALAH WM  MENEKUNI DAMPAKNYA

SECARA KLISE, sebagai penulis dan pengarang sudah tentu diketahui umum saya sentiasa terarah kepada karya-karya prosa moden terutama puisi, cerpen, novel dan eceran tanpa tahu bahawa saya juga amat meminati majalah. Bukan cuma pengaruh ibu yang menggemari bacaan majalah kewanitaan; Jelita – Wanita hampir setiap isu akan dibeli, saya sememangnya dibesarkan pada era kemuncak dunia percetakkan lewat 1990-an yang menghasilkan berbobot rangkaian majalah pelbagai tema; remaja, hiburan perdana, humor dan bermacam lagi.  

Ketika saya dalam kemelut mendalami karya-karya kesusasteraan berat pada usia awal remaja; Salina – A. Samad Said, Badai Semalam – Khadijah Hashim, Uda dan Dara – Usman Awang, saya akan 'melarikan' pemikiran kepada pembacaan bidang lain iaitu fesyen. Dalam cakap-cakap orang bahawa seniman puisi itu selekeh dan bercita rasa rendah, anehnya saya mengikuti perkembangan gaya-gaya terkini waktu itu melalui majalah – EH!, GLAM dan GLAM LELAKI dengan amat akrab. 

Bukan cuma menikmati fesyen dan jenama terkemuka, melalui majalah-majalah itu saya mencintai pula reka bentuk dan seni fotografinya yang bernuansa moden dan sesudahnya saya akan kembali kepada penulisan majalah waktu itu yang segar tetapi ada kesenian yang khusus terutama nota-nota para editor majalah yang sebenarnya adalah 'wajah' kepada majalah ini sehingga saya pernah menyampaikan hasrat kepada seorang kenalan; bagaimana saya ingin masuk dalam majalah ini? 

“Kau mahu jadi penulis” 

“Saya nak jadi cover majalah tapi ya penulis boleh juga..” 

“Nanti aku bawa kau berjumpa dengan Wirda Adnan”, saya membeliakkan mata antara gembira dalam kejutan.  

WIRDA ADNAN. Jauh sebelum saya disunting menjadi wajah hadapan Majalah WM edisi Jun 2025, jauh sebelum saya mengadakan persembahan buat parti ulang tahun majalah pada 2019 di Palace of The Golden Horses, saya mengidolakan Wirda Adnan kerana ketokohan dan popularitinya sewaktu beliau duduk di kerusi editor majalah tersohor sehinggalah sekitar 2011, akhirnya saya dibawa oleh kenalan itu ke sebuah acara fesyen dan minum petang. Di situ ada Wirda Adnan.  

Jika dikenang betapa sebagai seorang remaja yang masih 'amat comot', saya begitu yakin untuk masuk ke dalam acara itu dan beramah mesra bersama golongan elit dan dicelah-celah kesibukan itu entah apa ayat yang dibisikkan olehnya, saya berjaya duduk di sebelah Wirda Adnan. Bagi ramai orang kebiasaannya akan teruja dapat bertemu dengan bintang tersohor atau selebriti kegemaran hingga berasa gugup. Begitulah saya ketika dapat berjumpa dengannya. Kami duduk bersebelahan menghadap ke pentas di hadapan dan tanpa menoleh dan melihat saya dia bertanya; 

“You boleh ke pakai selain baju-baju tradisional ni?”. 

“Ya, boleh..” 

“OK”.  

Sebaris pertanyaan dan jawapan itu sahajalah perbualan kami. Ia sungguh mengingatkan saya pada dialog “That's all” oleh Miranda Priestley dalam The Devil Wears Prada dan selepas itu saya tidak lagi dihubungi oleh Wirda Adnan atau menghubunginya. Saya tidak fikir dia lupa tetapi seperti yang saya cerita; saya masih 'amat comot' waktu itu.  

Masa dan permasalahan hidup membawa kepada perubahan pemikiran dan kedewasaan akhirnya beberapa tahun kemudian setelah berasa diri menjalani pelbagai siku liku kehidupan, saya kembali cuba cuba menyapa dan akhirnya saya mengetahui satu rahsia untuk mendekati Wirda Adnan ialah – KEBERANIAN. Ibarat kata; jangan berani-berani tapi kalau berani cubalah.  

Keberanian itu yang pada hari ini membuka ruang untuk saya bukan cuma dapat memerhati ketokohannya secara dampak namun menekuni olah kata dan cara pemikiran seorang Wirda Adnan yang tidak keterlaluan untuk dikatakan sebagai editor papan atas dalam arena penulisan negara. Selepas kehilangan guru saya Almarhum Sasterawan Negara Kemala pada 2021, saya ibarat bertemu dengan guru baharu dan hari ini saya berasa sebuah lagi pencapaian peribadi kerana dapat menulis dan bekerja untuk majalah yang dikendalikan olehnya. 

Bahkan saya sudah boleh berbangga menyatakan; “Wirda Adnan pernah menemu bual aku, kau ada?”.

Related posts

ATOME KITTENS LANCAR ‘GET IT WEEK’, ACARA

admin

HABIB Lancar Koleksi Syiling Wafer Emas 999 Edisi Malaya

adminwm

TikTok Launches New Tools To Combat Bullying On The Platform

admin

Leave a Comment