Mengaku sajalah, kita (lelaki) suka bercakap tentang topik kecantikan dan penjagaan diri. Cumanya kita tidak bersembang hal ini dengan sembarangan orang, malahan dengan geng sendiri pun belum tentu atau nanti dicop ‘sutun’ atau gay… atau apa-apa sajalah. Lagi pula tak kan asyik nak bercakap hal gajet, bola atau perempuan? Terkadang nak juga tahu krim untuk kurangkan gelap sekeliling mata, cara mengurangkan uban dan sebagainya. Tambahan bila melihatkan kawan-kawan lain makin ‘hensem’ kita pun tak nak kalah.
Dan oleh kerana tak mahu kalah, di sini saya kongsikan tip grooming ringkas.
- Kunjungi salon yang sama
Ada dua hal penting berkait topik ini. Yang pertama, set temujanji bulanan dengan barber anda. Kalau tidak mahu sekerap itu, boleh tukar ke dua atau tiga bulan sekali untuk maintain stail rambut dan kepanjangan yang sama.
Kedua, pastikan anda kunjungi salon yang sama dan berurusan dengan barber yang sama. Selain berpotensi dapat diskaun jika bergelar ‘regular customer’ barber anda juga sedia tahu melayan citarasa anda.
2. Tangani lingkaran hitam sekeliling mata
Pada saya, lingkaran hitam sekeliling mata adalah punca utama membuatkan wajah nampak kusam! Susah nak menyingkirkan masalah ini secara total. Cara mudah untuk merawatnya adalah dengan tidur awal. Tetapi adakah ia betul efektif? Tidak untuk saya. Cadangan saya, gunakan krim menangani lingkaran hitam. Dalam wish list saya krim daripada Kiehls.
3. Janggut dan jambang
Janggut dan jambang merupakan satu pesona maskulin. Mudah menjaganya dan tidak memerlukan kos yang tinggi. Yang anda perlukan hanya komitmen melakukan trim berkala setiap minggu.
4. Jangan abaikan bahagian belakang badan
Belakang badan yang saya maksudkan dari belakang leher, bahu hingga ke punggung!
Ramai yang tidak mengambil berat sangat keseluruhan bahagian ini sementalah payah dilihat. Namun ia tetap penting. Iyalah, kalau kita menjaga dengan six pack abs, tak mungkin kita biarkan bahagian belakang badan kita berjerawat dan berdaki?
Boleh cuba sabun Luffa yang banyak iklannya di Tiktok. Merujuk pada iklan, sabun ini bagus untuk menghilangkan daki degil. Jika tidak salah, Zarina Zainuddin juga ada mengeluarkan sabun menghilangkan daki di bawah jenamanya Addura. Nak jimat, kisar kunyit hidup dan lumur pada badan. Confirm hilang daki. Atau gosok badan menggunakan batu sungai. Manakala untuk jerawat pada badan, boleh gunakan sabun T3. Memang berkesan. Saya sendiri menggunakan ia daripada remaja lagi.
5. Pewangi
Kita tidak perlukan berbotol-botol pewangi daripada jenama berbeza. Hanya sebotol saja sudah cukup. Yang penting melabur pada jenama yang bagus. Jika mahukan bauan yang maskulin, pilih aroma berkayu, pedas atau herba.
Tip penting, deodoran lebih murah daripada sebotol perfume dan sama wangi, selain lebih mustahak sebab ketiak keluarkan bau yang kuat. Nak tahu,kita boleh dapatkan tiga botol deodoran untuk sebotol minyak wangi berjenama. Dan nak lagi jimat boleh memilih jenama yang lebih murah (saya gunakan jenama BadLab, tidak mahal, wangi dan tahan berjam-jam!)
6. Kaki
Penjagaan kaki sama penting dengan bahagian tubuh yang lain. Salah satu barang mesti ada dalam penjagaan kaki adalah batu apung. Gosok kaki menggunakan batu ini sebaik selepas mandi untuk membuang kulit mati. Selepas itu boleh sapukan krim pelembab. Kuku kaki juga perlu dijaga. Antara masalah biasa dengan kuku kaki adalah kulat, warna yang kusam juga pertumbuhan yang tidak sekata. Untuk merawat kuku kaki, cari produk yang memiliki minyak almond. Minyak almond merupakan salah satu bahan utama yang digunakan untuk rawatan kuku di pusat spa. Selain itu, produk yang mengandungi mentega syea juga bagus untuk meningkatkan kelembutan tangan dan kuku.