CANTIK

Figura di Sebalik Jenama Kosmetik Terkenal Malaysia

Jenamanya mungkin acapkali mentiti di bibir para pengguna, dicanang kehebatan formula atau keberkesanannya. Namun, tahukah kamu siapa gerangan di sebalik jenama kosmetik tempatan yang laris dan mewarnai pasaran kecantikan Malaysia ini? Jom kenali figura yang berjaya membina jenama kosmetik sendiri di pasaran
lokal dan ada antaranya sudah menembusi pasaran Asia seperti Singapura, Indonesia juga Brunei.

Datin Sri Nur Shahida
Pengasas Bersama D’Herbs


Isteri kepada usahawan terkenal, Dato’ Sri Aliff Syukri bin Kamarzaman ini menjadi tulang belakang kepada suaminya dalam membangunkan jenama kosmetik dan kesihatan, D’Herbs. Daripada produk minuman kesihatan
sehinggalah kini memiliki variasi set penjagaan kulit dan alat solek di bawah jenama ini. Beliau dilihat gigih mengadakan sesi live di platform media sosialnya bagi mempromosikan produk keluarannya dan ternyata ia berjaya
menakluk lingkungan pasarannya tersendiri.

Aleeya Zailan
Pengasas Avenys & Vitalicia.Co


Wanita lepasan Pengajian Politik dan Perniagaan dari University of Auckland, New Zealand ini berjaya membina empayarnya dari bawah dengan jenama penjagaan kulit Avenys dan seterusnya Vitalicia.Co. Ketika berdepan cabaran pandemik, beliau hampir putus asa dengan perniagaannya itu sehinggalah beliau mengubah cara promosinya dengan banyak membuat live masakan yang sememangnya menjadi kepakaran beliau. Tidak diduga daripada strategi itu berjaya menarik ramai pengikut yang seterusnya menjadi pembeli produknya.

Alha Alfa
Pengasas Alha Alfa Cosmetics



Anak muda ini memulakan kerjayanya sebagai jurusolek yang banyak menatarias selebriti terkenal dan para VIP. Sentuhan magisnya tidak dapat dinafikan lagi. Kehebatannya dalam ’membina struktur’ wajah seseorang dan
kehandalan mengadun palet warna menjadikan beliau arif tentang ‘undang-undang mekap’. Tidak hairanlah apabila beliau menjadi antara jurusolek Malaysia paling berjaya dalam menghasilkan produknya sendiri iaitu Alha Alfa
Cosmetics. Selain pasaran secara online, beliau juga sudah memiliki rangkaian butik mekapnya di IOI City Mall Putrajaya, Jakel Mall Kuala Lumpur, Bangi Sentral dan Pavilion Bukit Jalil.

Wawa Zainal
Pemilik Wawa Cosmetics


Siapa tidak kenal pelakon jelita ini yang kini sudah bergelar jutawan kosmetik terkemuka. Bersama suaminya yang juga pelakon terkenal, Aeril Zafrel mereka membina empayar perniagaan ini bersama-sama dengan
memperkenalkan sistem agen yang diberi nama Wawa Warrior. Daripada set penjagaan kulit sehinggalah ke alat solek, setiap produknya menjadikan dirinya sendiri sebagai testimoni dan model. Inilah kekuatan yang ada
padanya sehingga berjaya memikat ramai pelanggan untuk tampil secantik Wawa Zainal.

Chryseis Tan
Pengasas Lumi Beauty



Anak jutawan terkenal Vincent Tan yang juga isteri kepada ahli perniagaan berjaya, Faliq Nasimuddin ini kini bergelar usahawan kosmetik apabila melancarkan produk sulungnya, Lumi Beauty yang baru menjengah pasaran
Malaysia. Beliau yang juga seorang pempengaruh terkenal mencuba industri ini atas minatnya yang mendalam terhadap dunia kecantikan dan sangat menitikberatkan penjagaan dalaman dan luarannya. Produknya itu
menggabungkan kepakaran penjagaan kulit dari Korea Selatan.

Nur Aini Solkepeli
Pengasas Nurraysa Global Sdn Bhd


Sesekali melalui lebuhraya, pasti kita tertoleh akan billboard yang terpampang jenama Nurraysa Beauty ini. Inilah dia pemilik jenama kosmetik mesra wudhuk pertama di Malaysia. Beliau satu-satunya usahawan kosmetik yang
mengenakan purdah dan menjadi pegangannya bahawa menjual produk kecantikan tidak memerlukan seseorang wanita itu mendedahkan auratnya. Ternyata jenamanya itu berjaya menambah hati pelanggannya yang rata-rata
daripada lingkungan Muslimah.

Adlina Nadirah
Pengasas Velvet Vanity Cosmetics


Graduan Seni Bina berusia 28 tahun ini menubuhkan jenamanya pada 2016. Velvet Vanity telah menjadi peneraju dalam industri kecantikan Malaysia, menawarkan produk buatan tempatan berkualiti tinggi yang meraikan
keperibadian dan cinta diri. Semangat keusahawanan Adlina terserlah sejak zaman universiti, di mana beliau memulakan kedai Instagram yang menjual produk kecantikan import. Kecewa dengan keterbatasan pengimportan, beliau mula menyalurkan kreativiti untuk membina jenamanya sendiri.

Aznita Zainul Azman
Pengasas Nita Cosmetics


Anita berusia 33 tahun ini membangunkan jenama pada 2017 yang bermula sebagai sebuah perniagaan keluarga. Namun, pengaruh keluarga yang sedia berkedudukan bukanlah batu loncatan untuknya terus maju dalam perniagaan ini. Beliau juga berusaha dari bawah. Aznita suka bereksperimen dengan warna dan rupa dan boleh menghabiskan masa berjam-jam di farmasi untuk mencuba pelbagai produk. Walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam perniagaan, tetapi keterujaan dan minat mendalam menjadi kata kunci
kejayaanya.

Related posts

TINGKATKAN PENJAGAAN TABIR SURIA SHISEIDO UNTUKPERLINDUNGAN UV

adminwm

Sunscreen Worthy Of Your Skin: Sol de Janeiro

adminwm

SHISEIDO 150th ANNIVERSARY

adminwm

Leave a Comment