AGAMA

ADAKAH QAZAF MELIPUTI LIWAT?

Definisi Liwat

Liwat dari sudut bahasa merujuk kepada perbuatan yang dilakukan oleh kaum Nabi Lut disebabkan tidak ada yang melakukan perbuatan jenayah ini sebelum kaum Lut. Ini seperti yang difirman oleh Allah SWT:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?

Surah al-A’raf (80)

Syeikh al-Maraghi berkata: Perbuatan yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun sebelum kamu pada mana-mana zaman pun tetapi perbuatan itu termasuk dalam perkara baru yang kamu buat dalam soal kerosakan sehingga kamu merupakan contoh dan teladan dalam perbuatan yang jahat.

Oleh itu kamu akan menerima dosa dan dosa daripada sesiapa sahaja yang mengikut kamu dalam melakukan perbuatan-perbuatan jahat itu sampai hari kiamat.

Ini merupakan keterangan bahawa keburukan-keburukan yang mereka lakukan adalah bertentangan dengan tuntutan-tuntutan fitrah. Keadaan ini sememangnya tidak diingini oleh hati sesiapa pun daripada umat sebelum mereka, malah hal itu bertentangan dengan petunjuk agama. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/2279)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut: Ungkapan “أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ” adalah istifham pengingkaran dan penghinaan. (Lihat Tafsir al-Munir, 8/514)

Hukum Liwat

Para ulama’ telah bersepakat akan pengharaman liwat dan menyatakan bahawa ia merupakan antara sebesar-besar perbuatan yang keji. Antara dalil-dalil yang menunjukkan kepada pengharaman liwat adalah seperti berikut:

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ.

Maksudnya: Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut. Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut. Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut.

Riwayat al-Nasa’ie (7297)

Hadis ini menunjukkan bahawa pelaku perbuatan liwat dilaknat oleh Allah SWT dan amaran laknat ke atas sesuatu perbuatan menunjukkan kepada haram dan dosa besarnya perbuatan tersebut.

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

اقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ

Maksudnya: Bunuhlah peliwat dan yang diliwat.

Riwayat al-Tirmizi (1456)

Ibn Abd al-Bar berkata:

(اقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ ( يَعْنِي فِي اللُّوطَةِ

Maksudnya: Bunuhlah pelaku dan yang dilakukan (yang diliwat) yakni dalam amalan liwat atau homoseks. (Lihat al-Istizkar, 7/495)

Berdasarkan hadis di atas, wajah dilalah ke atas pengharaman liwat adalah apabila disertakan hukuman bunuh ke atas pelaku perbuatan tersebut.

Ini menunjukkan betapa perbuatan tersebut dianggap jenayah dalam Islam dan ditentang dengan sekeras-kerasnya seperti hukuman Tuhan terhadap kaum Nabi Luth yang telah dirakam dalam al-Quran.

Menurut mazhab Jumhur ulama, tuduhan liwat ke atas seseorang adalah kesalahan qazaf, jika tidak dibuktikan dengan empat orang saksi lelaki atau pengakuan ikrar orang yang dituduh.

Kami nukilkan daripada kitab al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (33/9):

وَمَنْ قَذَفَ رَجُلاً بِعَمَل قَوْمِ لُوطٍ إِمَّا فَاعِلاً أَوْ مَفْعُولاً، فَعَلَيْهِ حَدُّ الْقَذْفِ؛ لأِنَّهُ قَذَفَهُ بِوَطْءٍ يُوجِبُ الْحَدَّ، فَأَشْبَهَ الْقَذْفَ بِالزِّنَا، وَهَذَا قَوْل الْحَسَنِ وَالنَّخَعِيِّ، وَالزُّهْرِيِّ وَمَالِكٍ وَالشَّافِعِيِّ، وَأَحْمَدَ وَأَبِي يُوسُفَ، وَمُحَمَّدِ بْنِ الْحَسَنِ وَأَبِي ثَوْرٍ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menuduh seorang lelaki dengan perbuatan kaum Lut, sama ada dengan tuduhan sebagai peliwat atau yang diliwat, maka ke atas orang yang menuduh itu hukuman had qazaf. Ini kerana dia menuduh seseorang melakukan persetubuhan yang mewajibkan hukuman had, maka ia menyerupai tuduhan qazaf dengan zina. Inilah pendapat al-Hasan, al-Nakhaie, al-Zuhri, Malik, al-Syafie, Ahmad, Abu Yusuf, Muhammad bin Hasan, dan Abu Thaur.”

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam kitab Raudhah al-Tolibin (10/90):

قَوْلُنَا: إِيلَاجُ الْفَرَجِ فِي الْفَرْجِ، يَدْخُلُ فِيهِ اللِّوَاطُ، وَهُوَ مِنَ الْفَوَاحِشِ الْكَبَائِرِ، فَإِنْ لَاطَ بِذَكَرٍ، فَفِي عُقُوبَةِ الْفَاعِلِ قَوْلَانِ، أَظْهَرُهُمَا: أَنَّ حَدَّهُ حَدُّ الزِّنَا، فَيُرْجَمُ إِنْ كَانَ مُحْصَنًا، وَيُجْلَدُ وَيُغَرَّبُ إِنْ لَمْ يَكُنْ مُحْصَنًا،

Maksudnya: “Pendapat kami (mazhab Syafie): tenggelamnya faraj (alat sulit) dalam faraj (alat sulit) termasuk dalamnya ialah perbuatan liwat, yang merupakan salah satu daripada perbuatan keji dan dosa besar. Jika seseorang meliwat seorang lelaki, maka tentang hukuman pelakunya ada dua pendapat; pendapat yang azhar adalah hukumannya sama seperti hukuman zina. Maka direjam sekiranya dia seorang yang muhsan, atau dirotan serta dibuang negeri sekiranya bukan muhsan.”

Beliau juga berkata:

إِذَا رَمَى بِالْإِصَابَةِ فِي الدُّبُرِ، كَقَوْلِهِ: لُطْتِ أَوْ لَاطَ بِكِ فُلَانٌ، فَهُوَ قَذْفٌ، سَوَاءٌ خُوطِبَ بِهِ رَجُلٌ أَوِ امْرَأَةٌ

Maksudnya: “Jika seseorang menuduh seseorang mendatangi seseorang pada dubur, seperti dia berkata: “Kamu telah meliwat” atau “Seseorang telah meliwat engkau.”, maka itu adalah qazaf, sama ada jika ia ditujukan kepada lelaki atau wanita.” (Rujuk Raudhah al-Tolibin, 8/311)

Qazaf Liwat Menurut Undang-undang Syariah di Malaysia

Peruntukan berkenaan liwat diperuntukkan di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Seksyen 25 memperuntukkan ‘mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.’

Manakala Seksyen 41 memperuntukkan bahawa ‘kecuali dalam kes li’an, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syarak, empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.’[1]

Cadangan Kami

Sudah sampai masanya, kajian dibuat berkenaan hukuman qazaf dimasukkan dalam undang-undang Syariah di Malaysia. Ini kerana pendapat yang rajih dan terpilih serta kuat di sisi kebanyakan ulama’ atau jumhur ulama’ dan juga Imam al-Syafi’e serta mazhab Syafi’e, memasukkan tuduhan liwat kepada seseorang dalam hukuman qazaf.

Tujuan hukuman yang berat dikenakan terhadap para penabur fitnah dan penyebar aib seseorang khususnya isu qazaf adalah bagi menyekat mereka yang suka menjadikan celaan berbentuk tuduhan seksual agar tidak meneruskan amalan jahat dalam menjatuhkan dan memalukan sesama orang Islam.

Ia bukan semata-mata untuk menyiksa pelaku jenayah, malah pendekatan hukuman hudud qazaf ini adalah sebagai salah satu kaedah ‘sadd al-zara’i’[2] bagi mengekang perkara seperti ini daripada terus berleluasa.

Semoga ini dapat memberi sebuah kefahaman yang jelas berkenaan qazaf kepada kita semua. Kami berdoa kepada Allah agar kita semua terhindar daripada terjebak dengan qazaf kerana ia adalah termasuk daripada dosa-dosa besar.

Sesungguhnya perkara berkaitan qazaf sama ada membabitkan tuduhan zina atau liwat dipandang amat serius dalam Islam sehingga hukuman khas terhadap penuduh atau pelaku tersebut tanpa mengemukakan sebarang saksi.

Justeru, hendaklah kita berhati-hati dan sentiasa memberi peringatan sesama kita agar ianya bukanlah mudah untuk dilafazkan atau dikatakan kepada seseorang.

Kami akhiri dengan doa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.

Akhukum fillah,

SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Nota Hujung:

[1] Walau bagaimanapun, berdasarkan kes-kes yang diputuskan sebelum ini, Mahkamah Syariah di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan Selangor enggan menerima tafsiran bahawa tuduhan liwat untuk dimasukkan di bawah kesalahan qazaf di bawah Seksyen 41. Ini kerana menurut para hakim Syarie, akta atau enakmen berkenaan hanya menafsirkan zina sebagai hubungan kelamin antara lelaki dan wanita sahaja, dan tidak memasukkan perbuatan liwat. Justeru, pihak Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes qazaf melibatkan tuduhan liwat. Wallahua’lam.

[2] Definisi al-Zaraai’: Ia adalah kata banyak daripada perkataan zari’ah yang bermaksud jalan. Ia merupakan jalan yang membawa kepada mafsadah ataupun maslahah. Akan tetapi penggunaanya lebih banyak kepada jalan yang membawa kepada kerosakan. Oleh itu sad al-zarai’e adalah menutup jalan-jalan yang boleh membawa kepada kerosakan ataupun keburukan.

Contoh-contoh Sadd al-Zaraaie’:

Pengharaman berkhalwat dengan ajnabi untuk mengelakkan berzina.
Larangan untuk seorang lelaki meminang pinangan orang lain. Untuk mengelakkan permusuhan dan kebencian.
Larangan untuk melakukan ihtikar (monopoli). Kerana ia merupakan satu jalan untuk menyempitkan urusan manusia dalam makanan asasi mereka. (Lihat Irsyad Usul Al-Fiqh Siri Ke-3: Sumber-Sumber Hukum Dalam Ilmu Usul Al-FiqhSumber: Mufti Wilayah Persekutuan, e-S

Related posts

10 Mutiara Quran

admin

Manfaat Membaca Surah Al-Waqi’ah

admin

Hajat Dimakbul Dengan Surah Al-Fatihah

admin

Leave a Comment