Dalam pemikiran sebahagian orang awam, peristiwa Israk dan Mikraj dianggap sebagai bukti Allah berada di langit. Kefahaman ini biasanya lahir daripada gambaran mudah bahawa Nabi Muhammad ﷺ naik ke langit lalu disimpulkan bahawa Allah berada di atas. Namun, kefahaman ini tidak selari dengan asas akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang menetapkan bahawa Allah wujud tanpa tempat dan tanpa arah.

Allah sendiri telah menetapkan prinsip asas dalam memahami zat dan sifat-Nya melalui firman-Nya:
“Tidak ada sesuatu pun yang menyerupai-Nya” (Surah al-Syura: 11).
Ayat ini menjadi asas bahawa Allah tidak menyerupai makhluk dalam apa jua bentuk, termasuk dari sudut tempat, arah dan pergerakan.
Israk dan Mikraj pada hakikatnya menceritakan perjalanan dan pemuliaan Nabi Muhammad ﷺ sebagai makhluk yang mulia. Pergerakan, naik dan turun, hanya berlaku pada makhluk yang terikat dengan ruang dan arah, adapun Allah pula Maha Sempurna, tidak berubah, tidak berpindah dan tidak terikat dengan mana-mana lokasi.
Peristiwa ini berlaku kerana Sifat Iradat Allah mengkehendaki Nabi ﷺ dibawa ke langit dan diperlihatkan zat Allah kepada Nabi ﷺ sekaligus menerima perintah solat lima waktu di situ, bukan kerana Allah tinggal menetap di langit. Oleh itu, naiknya Nabi ﷺ ke langit menunjukkan kemuliaan darjat Nabi ﷺ dan kebesaran peristiwa yang Allah kehendaki ke atas baginda ﷺ.
Perkara ini diterangkan oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali melalui perumpamaan seseorang yang naik ke atas bukit lalu dapat melihat bulan dengan jelas. Penglihatan itu tidak bermaksud bulan berada di bukit sebaliknya menunjukkan bahawa melihat sesuatu tidak semestinya perkara yang dilihat berada di tempat orang yang melihat. Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, yang berubah ialah kedudukan Nabi ﷺ, bukan zat Allah.
Perkara yang sama dapat difahami melalui kisah Nabi Musa عليه السلام. Allah berbicara dengan baginda di Bukit Tursina, namun tidak pernah difahami oleh ulama Ahli Sunnah bahawa Allah berada di bukit tersebut. Bukit Tursina hanyalah tempat berlakunya peristiwa kalam bagi Nabi Musa sebagai makhluk, bukan tempat bagi zat Allah. Jika peristiwa kalam di Bukit Tursina tidak menetapkan Allah berada di sana, maka demikian jugalah peristiwa Israk dan Mikraj tidak menetapkan Allah berada di langit.

Begitu juga dengan Sidratul Muntaha yang merupakan had tertinggi makhluk dan penghujung capaian para malaikat serta Nabi ﷺ. Ia bukan tempat bagi Allah, tetapi sekadar tempat batas ciptaan yang Allah tentukan dalam peristiwa tersebut. Pemilihan Sidratul Muntaha tidak membawa maksud Allah bertempat di sana, sebaliknya menunjukkan keagungan peristiwa yang berlaku ke atas Nabi ﷺ.
Kesimpulannya, kekeliruan tentang “Allah di langit” berpunca daripada kegagalan membezakan antara pergerakan makhluk dan sifat Allah. Israk dan Mikraj berlaku kerana ketentuan dan kehendak Allah terhadap Nabi Muhammad ﷺ, bukan kerana Allah berada di suatu lokasi tertentu.
Allah wujud tanpa tempat, dan segala peristiwa hanya berlaku ke atas makhluk tanpa sedikit pun mengubah atau membataskan zat-Nya. Dialah Zat yang Maha Agung dengan segala sifat kesempurnaan-Nya, Maha Suci Allah daripada disifatkan sebagai jisim dan benda.
