AGAMA

QAZAF

Qazaf ialah melimparkan tuduhan zina kepada orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunanya.

Pembahagian Qazaf

1.) Qazaf yang pesalah-pesalahnya boleh dikenakan hukuman hudud, seperti seseorang menuduh seseorang yang baik lagi suci berzina tanpa mengemukakan empat saksi lelaki yang adil.

2.) Qazaf yang pesalah-pesalahnya boleh dikenakan hukuman takzir seperti seseorang menuduh seseorang yang lain kufur, mencuri, minum Arak atau murtad dan sebagainya, termasuk mencaci, memaki dan lain-lainnya yang boleh menjatuhkah marwah seseorang dan menghinanya.

Menuduh seseorang yang baik lagi suci berzina tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki yang adil hukumnya adalah haram dan termasuk dalam dosa besar dan wajib dikenakan hukuman had Qazaf (sebat) sebanyak 80 kali sebat, dan tidak boleh diterima penyaksiannya selama-lamanya

kerana dia adalah orang fasik. Sebagaimana Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi. Maka sebatlah mereka 80 kali sebat, dan janganlah kamu terima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka itu adalah orang yang fasik”.

(Surah An- Nur ayat 4)

Kuasa dan sekatan undang-undang

Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, adalah bagi mengelak seseorang menuduh orang lain berzina. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Akta Peraturan Mahkamah Syariah Seksyen 58 (2) memberi kuasa kepada pihak pendakwaan untuk memulakan perbicaraan atau menghentikan prosiding. Pihak pendakwa adalah sebuah badan bebas dan boleh mendakwa, atau menarik balik tuduhan.Pihak pendakwaan bertanggungjawab mengemukakan bukti . Ada kemungkinan menyebabkan hukuman yang diputuskan tidak akan mencerminkan kedudukan dan keadilan yang sebenar.

Ketua pendakwa syarie mesti bersikap adil dan bebas daripada dipengaruhi oleh mana-mana dalam memberi penghakiman. Sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak, ia dilihat sebagai “satu maksiat”.

Islam amat menitikberatkan bab hukum, apatah lagi apabila ia melibatkan urusan sesama manusia. Malah, dalam perundangan, Islam amat mementingkan kehadiran saksi yang perlu memenuhi syarat iaitu sempurna akal, baligh, adil, mempunyai ingatan yang baik dan tidak menimbulkan tohmah.

Namun, dalam dunia serba canggih, kadangkala terlepas komen berbaur tuduhan atau fitnah terhadap individu yang tidak bersalah seperti tuduhan zina.

Justeru, berikut adalah penjelasan oleh Mufti Wilayah Persekutuan mengenai hukum qazaf, yakni menuduh seseorang berzina, liwat atau menafikan nasab.

Takrif Qazaf

Menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji, qazaf (قذف) dari sudut bahasa membawa erti lontaran tuduhan. Dalam Mukhtar al-Sihah, qazaf (قذف) dengan menggunakan batu adalah melontar menggunakannya. Manakala dari sudut istilah, qazaf (قذف) adalah tuduhan berzina pada tempat celaan dan mengaibkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/427)

Manakala sebahagian ulama’ mendefinisikan qazaf (قذف) sebagai menuduh seseorang melakukan zina, liwat atau menafikan nasab.

Hukum Qazaf

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (3/427) menyebut: Haram ke atas seorang Muslim untuk menuduh saudara seislamnya dengan tuduhan melakukan perbuatan yang keji (الفاحشة) sama ada tuduhannya itu benar atau pun dusta dari pihak dirinya.

Dalam keadaan dusta, sesungguhnya hal tersebut adalah suatu fitnah dan kezaliman dan pendustaan merupakan antara perkara haram yang paling keji.

Manakala dalam keadaan tuduhan itu benar, seseorang itu membuka perkara yang tersembunyi serta mencemarkan maruah. Oleh yang demikian, Syarak menganggap perbuatan qazaf termasuk antara dosa-dosa besar. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ الشِّرْكُ بِاللَّهِ وَالسِّحْرُ وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَأَكْلُ الرِّبَا وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلَاتِ

Maksudnya: Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Lalu para sahabat bertanya: Apakah perkara-perkara tersebut wahai Rasulullah?

Baginda bersabda: Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang Allah haramkan melainkan dengan adanya hak, makan riba, makan harta anak yatim, berpaling dari medan perang, dan menuduh wanita yang telah berkahwin yang beriman melakukan zina. Riwayat al-Bukhari (2766) dan Muslim (89)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Imam al-Nasafi telah menyebut bahawa ayat tuduhan terhadap wanita dan juga ayat yang pertama menerangkan had qazaf sedangkan ayat yang kedua menerangkan qazaf termasuk dalam dosa besar.

Ini kerana setiap perbuatan qazaf dijanjikan dengan balasan laknat atau azab atau dikenakan hukuman had.

Justeru, ia (qazaf) termasuk dalam dosa besar. Inilah yang muktamad. Telah berlaku ijma’ bahawa hukum qazaf terhadap lelaki yang muhsan (yang memelihara maruah dan yang baik) sama seperti hukum qazaf terhadap wanita yang muhsanah (yang memelihara maruah dan yang baik). (Lihat Fath al-Bari, 12/181)

Sebat 80 kali

Bahkan perbuatan qazaf merupakan antara jenayah yang dikenakan hukuman hudud ke atasnya iaitu pelakunya disebat sebanyak 80 kali sebatan dan gugur penyaksiannya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya: Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.

Surah al-Nur (4)

Ibn al-Arabi berkata: Dua syarat pada yang dituduh daripadanya iaitu, bahawa dia menuduhnya dengan wati’ yang melazimi hukuman hadd sama ada zina atau liwat, atau menafikannya daripada ayahnya. (Lihat Ahkam al-Quran, 6/1)

Imam Ibnu Kathir di dalam menghuraikan ayat ini berkata bahawa maksud ‘al-Muhsonah’ ialah wanita yang merdeka, baligh dan terpelihara maruahnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/13) Menurut Imam al-Nawawi, para fuqaha telah bersepakat bahawa Qazaf berlaku sama ada yang dituduh itu perempuan atau pun lelaki. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 22/94)

Hikmah Pensyariatan Qazaf

Antara hikmah disyariatkan hukuman hudud terhadap perbuatan Qazaf adalah kerana Islam menggesa ke arah penjagaan maruah daripada perkara-perkara yang mencemar dan memburukkan maruah.

Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ menyebut bahawa pensyariatan hudud Qazaf adalah bagi memelihara masyarakat Islam daripada terjebak ke lembah kehinaan akibat  tuduh-menuduh dalam soal kelucahan dan begitu mudah mengungkapkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 22/94)

Bayangkan tanpa hukuman qazaf, sudah barang tentu dengan sewenang-wenangnya seseorang boleh menuduh seseorang yang lain sehingga mengaibkan maruah dan menjatuhkannya.

Isu seperti ini amat sukar untuk dibuktikan atau disanggah oleh orang yang kena tuduh. Justeru, pada peringkat awal lagi, mereka diberi peringatan supaya tidak bermudah-mudahan dalam menuduh seseorang.

Sumber : JABATAN AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN

Related posts

Fadilat-Fadilat Maulid Sayyidina Maulana Nabi ﷺ

admin

Minta Cerai Tanpa Alasan – Haram Bau Surga

admin

HAK-HAK WANITA DALAM ISLAM

admin

Leave a Comment