
Kebaya bukan sekadar busana, tetapi lambang identiti, keanggunan dan warisan budaya yang wajar terus kita hargai, dibanggakan dan diwariskan kepada generasi akan datang. Tradisi mungkin berubah mengikut zaman, tetapi nilai warisan tidak seharusnya lenyap ditelan zaman.
Pertandingan Kebaya Karisma 2026 yang mengangkat tema “Kebaya Berkarisma, Jiwa Malaysia” telah melestarikan kenyatan tersebut apabila ia menampilkan seramai 29 peserta dalam tiga kategori utama, iaitu Cilik Kebaya, Remaja Kebaya dan Ratu Kebaya.

Dianjurkan oleh National Board of Beauty (NBOB) dengan kerjasama Sunway Velocity Mall, pertandingan ini bukan sekadar mengetengahkan keindahan busana kebaya, malah menjadi satu platform untuk menghidupkan, menghargai dan memartabatkan semula warisan budaya dalam konteks masyarakat moden.
Bertepatan dengan semangat sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia, sekali gus menjadikan kebaya sebagai medium untuk meraikan identiti, kreativiti dan kepelbagaian budaya Malaysia.

Menurut Puan Hasnidza Ahmed Redza, Setiausaha National Board of Beauty (NBOB), penganjuran Pertandingan Kebaya Karisma 2026 bertujuan menonjolkan tradisi yang terus relevan dalam dunia moden, di samping membuka ruang kepada inovasi dalam dunia fesyen.
“Kita mahu menunjukkan bahawa tradisi tidak semestinya terhenti pada bentuk lama. Kebaya boleh terus berkembang melalui kreativiti dan inovasi fesyen, tanpa menghilangkan identiti dan nilai warisan yang ada padanya,” tambahnya lagi.
“Setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk membawa kebaya. Apabila digayakan dengan penuh keyakinan, kebaya bukan sahaja kelihatan indah, tetapi mampu menyerlahkan karakter dan jati diri pemakainya. Inilah yang kita maksudkan dengan Kebaya Berkarisma, Jiwa Malaysia,” jelasnya.
Cik Chan You Li, wakil Sunway Velocity Mall, juga menyatakan mereka amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan National Board of Beauty (NBOB) dalam menjayakan acara tersebut. Menurut beliau, pertandingan ini merupakan satu platform yang bermakna untuk bersama-sama menghayati, meraikan dan menghargai fesyen, budaya serta warisan tempatan Malaysia.
Pihak Sunway Velocity Mall juga berharap agar kerjasama seumpama ini dapat diteruskan melalui lebih banyak program yang meraikan warisan, kreativiti dan kepelbagaian Malaysia.
Bagi Cik Sharifah Musfirah, salah seorang peserta, Pertandingan Kebaya Karisma merupakan satu platform yang sangat bermakna dalam menghidupkan dan memartabatkan semula budaya serta tradisi Melayu terdahulu agar terus diwarisi dan kekal sepanjang zaman.
Pertandingan ini bukan sekadar mengetengahkan keindahan busana kebaya, malah menjadi wadah untuk generasi muda mengenali, menghargai dan meneruskan warisan budaya Melayu, khususnya dalam era milenium yang serba moden.
Penyertaan generasi muda dalam program sebegini membuktikan bahawa warisan budaya boleh terus berkembang seiring perubahan zaman tanpa kehilangan nilai dan identiti asalnya.
“Cantik, anggun dan penuh nilai warisan. Saya berasa bertuah menjadi salah seorang peserta Program Kebaya Karisma. Bukan sekadar menyerlahkan keindahan kebaya, program ini turut membuka ruang untuk saya menimba ilmu, pengalaman dan keyakinan diri,” kata Puan Hafizawati Ahmad, yang turut berkongsi pengalaman dan pandangan beliau sebagai salah seorang peserta program.

Pembahagian kategori mengikut peringkat usia juga turut memainkn peranan memberikan peluang kepada peserta daripada generasi berbeza untuk menampilkan interpretasi dan gaya tersendiri dalam menggayakan busana masing-masing.
Pertandingan ini telah dinilai oleh panel juri yang terdiri daripada Puan Fadilah Gulam, Puan Mahani Awang dan Encik Joel See. Penilaian mengambil kira beberapa aspek utama termasuk penampilan keseluruhan, kesesuaian pakaian kebaya, kreativiti dan keunikan persembahan, gaya peragaan, keyakinan, pembawaan diri serta penguasaan pentas.

Para juri sependapat bahawa kebaya boleh sahaja berubah dari segi potongan, fabrik, gaya dan persembahan, namun nilai budaya dan identiti yang dibawanya tetap menjadi asas. Mereka berharap agar program seperti ini dapat diteruskan sebagai usaha memperkenalkan dan mengangkat kedudukan kebaya dalam kalangan masyarakat.
Menariknya, ramai yang menggunakan penampilan tradisional sepenuhnya sementara ramai juga yang berani menapilkan gaya dan rupa kebaya yang agak unik melalui farik yang digunakan, teknik jahitan dan potongan, hiasan, juga corak yang pelbagai hingga menghasilkan keunikan yang ketara.
Secara keseluruhannya, Pertandingan Kebaya Karisma 2026 ini bukan sekadar mengenai kemenangan atau persaingan di pentas. Lebih penting, ia menjadi satu ruang untuk peserta mengenali warisan, membina keyakinan diri, menampilkan kreativiti serta menghargai keindahan busana tradisional Malaysia. Semoga Program Kebaya KARISMA terus menjadi platform inspirasi dalam mengangkat martabat kebaya Malaysia.
