
Ditulis oleh Jaydee Mohamad
Selepas 20 tahun, pementasan teater Puteri Gunung Ledang The Musical 2026 (PGL) dipentaskan baru-baru ini ternyata boleh dibanggakan. Malah secara peribadi penulis melihat pementasan tahun ini bagai reinkarnasi sebuah karya agung yang tak pernah lapuk ditelan masa.
Bahkan, peluang menonton pementasan ini bersama Rozita Che Wan pada 5 November lalu di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) juga boleh disifatkan masih ‘bernyawa’, berjiwa serta berisi dan setiap pelakon yang diberi mandat menghidupkan watak ikonik penting serta sampingan bagai meresapi ‘roh’.
Dek sambutan positif diterima pihak produksi Enfiniti Productions, pementasan asal bermula 31 Oktober lalu dipanjangkan sehingga 17 November ini sebelum menyusul ke Singapura.
Ternyata pertaruhan bekas pemeran asal PGL merangkap penerbit, Puan Sri Tiara Jacquelina membariskan pelakon generasi baharu dan muda termasuk anak perempuannya, Mila Mohsin cukup tepat.


Sempat mengucapkan tahniah secara terbuka kepada Tiara di Thread atas kesungguhan mementaskan semula teater ini dibalas dengan rangkap penuh makna.
“Thanks so much @jaydeesm (penulis). Setiap hari saya berasa sangat bersyukur, dianugerahkan barisan pelakon yang saya boleh katakan sebagai “Dream Cast” buat seorang pengarah. Mereka semua berlatih dengan penuh dedikasi, berdisiplin dan hadir dengan sikap ingin belajar. Dan mereka berikan saya kepercayaan penuh untuk mengemudi mereka. I’m so very lucky,” komen Tiara sambil menitipkan emoji ‘love’.
Malah Tiara turut berkongsi cerita mengenai pelakon Yusof Hashim (Ucop) selaku pemeran watak Gusti Adipati Handaya Ngirat yang memberi kejutan tidak diduga.
“Thank you!!! Nak jadi cerita, Ucop adalah pelakon yang paling akhir sekali datang ke audition, ‘ngam- ngam’sampai sebelum kami nak kena buat decision. Dah memang rezeki dia… and he worked so hard to deserve this role,” ungkap Tiara.
Pesona Mila sebagai PGL membuktikan pepatah ke mana kuah kalau tak tumpahnya ke nasi. Mila betul-betul meresapi watak puteri dengan cara tersendiri tanpa boleh dinafikan darah seni yang mengalir dari ibu serta arwah papanya, Hani Mohsin.
Mila yang memiliki kecantikan tersendiri dan bersaiz genit tetap mengingatkan aura kehebatan watak sama dilakonkan Tiara, namun dihidupkan tanpa dibayangi sesiapa termasuk ibunya. Tak keterlaluan, penulis secara peribadi melihat Mila berdiri atas pentas berkenaan memeran Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah atas kapasiti dirinya sebagai insan seni seperti profil Instagramnya, ‘servant of the arts’.
Cuma jujur penulis berasakan fizikal dan suara Mila mengingatkan kepada penyanyi dan Pelakon Atilia. Entah, perasaan dan rasa itu dilihat selepas beberapa minit Mila di atas pentas. Apa – apapun Mila sudah buat sehabis baik berkongsi bakat dimilikinya.


“What kind words, it all feels worth it reading that (komen penulis)… means the world to me that you felt Puteri’s heart. Every character is just mind blowing, Kan? Guess @tiarajacquelina really knows how to cast. Another huge honour and compliment,” komen balas Mila Kepada penulis di Thread.
Selama dua jam lebih menonton teater ini berteman kedinginan penghawa dingin hall JCPAC tidak langsung membuat penulis menguap. Setiap babak dinanti dengan penuh keterujaan.
Dalam ramai pelakon yang terbabit, penulis juga memuji @el.aqasha yang memang ada tokoh, pesona dan aura jantan sebagai Hang Tuah.
Bagusnya bagaimana Agasha sebagai artis lama yang lebih dulu makan garam blh gel dengan bakat baharu ‘gen z’ masa kini.
Tiara blh dikatakan membuat pilihan tepat memilihnya. Semoga bakat penyanyi lagu Cahaya Hati dan pelakon filem Embun itu tidak dipersiakan lagi. Untuk rekod, Aqasha mula aktif di arena seni sekitar awal tahun 2000 lagi.
Perhatian penulis juga tak lekang terhadap kemampuan dan evolusi, @mimiflyyy. Tumpang gembira dan bangga dengan lonjakan sensasi Mimi, dari nyanyian solo menerusi debut Angkat, Serumpun (lagu raya). Temberang serta terbaharu Gertak dan kini membuktikan cabang lakonan juga boleh dikuasainya.
Watak Bayan dilakonkan Mimi cukup mengesankan. Well done Mimi. Terima kasih juga kerana membantu penulis membeli tiket menonton PGL ya!.
Sementara itu, @servemoreyusof (Ucop) bermula sebagai pencipta kandungan media sosial ke pelakon turut menunjukkan anjakan paradigma yg baik.
Personally, penulis pernah nampak Ucop bergelut untuk membuktikan kemampuan diri selain merebut peluang depan mata.
Namun dengan peluang dan ruang tepat, macam watak Gusti Adipati Handaya Ngirat ini, dia sebenarnya mampu memberi kejutan. Watak ‘besar’ itu ditangani dengan baik. And Tiara memang buat pilihan tepat juga kerana Ucop ada pakej, tinggi, rupa dan nilai komersial. Semoga ada tuah dan rezeki untuk dia terus menyinar lagi.
Seterusnya tak dilupai. @luqmanhafidzx sebagai Sultan Mahmud Shah bukan asing dengan pementasan produksi milik Tiara. Dari pementasan teater Ola Bola hinggalah PGL, dia sebenarnya mampu menyerlahkan versatility. Cuma penulis secara peribadi masih menanti ‘sesuatu’ yang boleh menyerlahkan lagi bakatnya.
Semoga akan ada lagi teater berkualiti dengan barisan pelakon terbaik Malaysia tak kira lama dan baharu akan mewarnai kalendar pementasan mendatang. Macam penulis selalu katakan, benda bagus wajib support. Semoga usaha seni sebegini akan berterusan dan berevolusi.
Pada pementasan teater sama, Aisha Retno turut bergilir memegang watak Gusti Putri dilakonkan Mila. Malah Bayan lakonan Mimi juga turut dilakonkan Nadia Aqilah. Ikut hati penulis mahu juga menonton PGL versi yang ada Aisha dan Nadia, namun tak dapat kerana bercuti di luar negara.
Side story:
Tentang Penulis:

Jaydee Mohamad atau Zaidi Mohamad adalah antara nama tersohor yang pernah mewarnai dunia kewartawanan hiburan tanah air menerusi pengalamannya bersama majalah Mangga dan Berita Harian. Sepanjang bergelar wartawan, beliau terlibat dalam pelbagai laporan dan penulisan berkaitan industri hiburan serta selebriti tempatan. Pengalaman luas dalam bidang media menjadikan beliau antara individu yang memahami selok-belok dunia hiburan dan perkembangan industri ini. Selain kerjaya kewartawanan, Jaydee turut meminati pengembaraan dan fotografi, yang mencerminkan sisi kreatifnya di luar dunia penulisan. Walaupun kini tidak lagi memegang jawatan sebagai wartawan hiburan, beliau masih mengikut rapat perkembangan dan memberi sokongan kepada industri seni.
