FESYEN

The Overlooked Malaysia Terokai Keindahan Malaysia

Jenama fesyen tempatan, Dr. Cardin, terus mencipta kelainan apabila memperkenalkan kempen The Overlooked Malaysia by Dr. Cardin, sebuah inisiatif yang menggabungkan dunia fesyen dengan pengalaman pengembaraan bagi mengetengahkan keindahan destinasi pelancongan dalam negara.

Berbeza daripada kempen terdahulu yang lebih konvensional, pendekatan kali ini membawa khalayak menyelami pengalaman meneroka lokasi menarik di Malaysia menerusi filem pendek, dokumentari pengembaraan bersama selebriti dan pencipta kandungan serta sesi siaran langsung dari lokasi terpilih.

Menurut Ketua Penjenamaan Dr. Cardin, Chong Charl Yee, idea kempen itu tercetus selepas adiknya pulang daripada bercuti di dalam negara dan berkongsi pengalaman meneroka keindahan Malaysia.

“Negara kita sebenarnya mempunyai banyak tempat menarik yang belum pernah kita lawati. Adik saya yang biasanya bercuti di luar negara memilih untuk meneroka destinasi tempatan kerana kekangan masa. Apabila pulang, dia jatuh cinta dengan keindahan Malaysia dan mencadangkan agar kami melaksanakan kempen ini,” katanya.

Daripada perkongsian tersebut, Dr. Cardin melihat peluang untuk membawa mesej yang lebih luas kepada masyarakat, iaitu keindahan negara sendiri wajar diterokai dan dihargai.

Pengembaraan Merentas Empat Negeri

Kempen ini membawa Dr. Cardin menjelajah empat negeri di Semenanjung Malaysia, iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor.

Dilancarkan pada 25 Ogos lalu, kempen berkenaan dimulakan dengan tayangan filem pendek arahan Mshaffuan yang dibahagikan kepada beberapa bahagian.

Pada September, kempen diteruskan menerusi sesi siaran langsung dari Kedah bersama pasangan yang mendapat perhatian masyarakat, Bella Astillah dan YB Syed Saddiq.

Perjalanan kemudian membawa kumpulan sembilan pencipta kandungan dan pempengaruh media sosial ke Dabong, Kelantan, menerusi ekspedisi The Explorer Trip. Antara yang menyertai pengembaraan itu ialah pelakon Mierul Aiman.

Pengalaman sepanjang mereka meneroka dan menetap sementara di Dabong turut dirakamkan dalam bentuk dokumentari, sekali gus memberikan gambaran lebih dekat tentang keindahan alam semula jadi serta pengalaman pengembaraan di lokasi berkenaan.

Pendekatan ini menjadikan kempen tersebut lebih daripada sekadar promosi jenama. Sebaliknya, ia membuka ruang untuk khalayak mengenali destinasi tempatan melalui pengalaman sebenar yang dikongsi oleh individu berpengaruh di media sosial.

Dari Skrin ke Pengalaman Sebenar

Selepas meraih perhatian menerusi platform digital, Dr. Cardin membawa kempen ini lebih dekat kepada orang ramai menerusi acara fizikal selama lima hari, The Overlooked Malaysia: Beyond The Screen, yang berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya, dari 7 hingga 11 Oktober 2026.

Acara ini memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman kempen yang sebelum ini hanya ditonton menerusi skrin.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan, termasuk sesi bertemu peminat bersama barisan pelakon dan pencipta kandungan seperti Mierul Aiman, Ain Ramli, Zakuan Zainal, Farah Hamdan, Fikri Zamri, Merantau Dunia dan Sya Azhar.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan episod terakhir filem pendek kempen tersebut bersama pengarahnya, Mshaffuan.

Peralihan daripada kandungan digital kepada pengalaman fizikal ini memperlihatkan usaha Dr. Cardin membina hubungan yang lebih dekat dengan khalayak. Pengalaman kempen tidak terhenti selepas tontonan di media sosial, sebaliknya diteruskan melalui interaksi secara langsung.

Kelainan yang Mendapat Sambutan

Menurut Charl Yee, kempen ini menerima maklum balas positif daripada orang ramai, sekali gus menunjukkan bahawa pendekatan berbeza mampu mewujudkan hubungan yang lebih dekat antara jenama dengan khalayaknya.

Beliau berkata, tahap penglibatan masyarakat terhadap kempen kali ini juga lebih tinggi berbanding kempen terdahulu.

Antara perkara yang mencuri perhatian ialah sesi siaran langsung dari lokasi luar biasa, termasuk di atas batu besar dan di dalam sungai, yang memberikan pengalaman berbeza kepada penonton.

Sambutan tersebut turut membuka kemungkinan untuk Dr. Cardin meneruskan pengembaraan ke destinasi lain pada masa hadapan, termasuk menjelajah bumi Borneo.

Bagi Dr. Cardin, The Overlooked Malaysia bukan sekadar percubaan menghasilkan kempen yang berbeza, tetapi satu usaha mengajak masyarakat melihat semula keistimewaan negara sendiri.

Melalui gabungan fesyen, pengembaraan dan penceritaan digital, jenama ini membuktikan bahawa sebuah kempen boleh menjadi medium untuk menyampaikan mesej yang lebih bermakna, sambil menggalakkan rakyat Malaysia menghargai keindahan yang ada di sekeliling mereka.

Related posts

YANI BAKTIER-Membawa Sentuhan Nusantara ke New York

Wirda Adnan

Love, Bonito Meraikan Ulang Tahun ke-13 dengan kolaborasi bersama KANOE

adminwm

KATE MOSS WEARS TIFFANY & CO. AT THE 2023 MET GALA

adminwm

Leave a Comment