
Haruman, perjalanan dan memori seorang wanita
Grasse, France.
Pagi itu saya duduk di sebuah café kecil, tidak jauh dari jalan-jalan berbatu yang sudah begitu lama menjadi sebahagian daripada kota ini. Suami saya berada di Nice menghadiri conference seni bina, dan saya mengambil kesempatan untuk mengikut perjalanan kecil ke Grasse — kota yang namanya sendiri sudah cukup membuat saya teringat kepada perfume.
Di hadapan saya secawan café dan sebuah botol kecil Frédéric Malle Eau de Magnolia yang baru saya beli. Saya tersenyum sendiri. Entah mengapa, berada di Grasse membuat saya memikirkan sesuatu yang selama ini saya rasakan tetapi tidak pernah benar-benar saya tuliskan: perfume juga adalah fashion. Cuma ia adalah fashion yang tidak kelihatan.

Kita mungkin tidak dapat melihatnya, tetapi kita tahu apabila ia hadir. Ia datang perlahan-lahan, menyentuh ruang di sekeliling kita, kemudian pergi meninggalkan sesuatu yang tidak mudah diterangkan — sebuah rasa, sebuah ingatan, atau tiba-tiba, sebuah tempat yang pernah kita kunjungi.
Mungkin kerana itu saya tidak pernah melihat perfume sekadar sebagai pelengkap penampilan. Bagi saya, haruman adalah sebahagian daripada cara seorang wanita memperkenalkan dirinya.
Setiap kali bulan fesyen tiba, kita bercakap tentang siluet, fabrik, warna, kasut dan beg. Kita melihat bagaimana seorang pereka membentuk identiti melalui pakaian. Tetapi di sebalik semua itu, ada satu lagi lapisan yang sering tidak disebut — bagaimana seseorang itu memilih untuk berbau. Kerana seperti pakaian, perfume juga mempunyai bahasa.
Ada haruman yang masuk ke sebuah bilik lebih dahulu daripada pemiliknya. Ada yang hanya dapat dirasai apabila kita berdiri dekatnya. Ada yang lembut, hampir seperti kulit sendiri. Ada pula yang meninggalkan jejak panjang sehingga selepas seseorang pergi, ruang itu masih terasa seperti dia.
Saya sendiri mempunyai satu kebiasaan kecil apabila mengembara bersama suami. Saya dan suami akan mencari perfume. Tidak semestinya kerana kami memerlukannya. Kadang-kadang saya sendiri membelinya kerana haruman itu mengingatkan saya kepada tempat yang sedang kami kunjungi. Ada kalanya satu atau dua botol akan masuk ke dalam beg sebelum kami pulang.
Dan hari ini, di Grasse, saya kembali melakukan perkara yang sama. Saya tidak tahu sama ada saya memilih perfum itu kerana saya sukakan wanginya, atau kerana saya tahu beberapa tahun dari sekarang, apabila saya menyemburnya semula, saya akan teringat pagi ini.
Itulah yang saya suka tentang fragrance. Ia adalah souvenir yang boleh dipakai.
Kita mungkin membawa pulang magnet peti sejuk, poskad atau sehelai skaf dari sesebuah kota. Tetapi perfume menyimpan sesuatu yang lebih peribadi. Dari Paris, mungkin saya membawa pulang haruman yang mengingatkan kepada sebuah pagi yang dingin. Dari Milan, sesuatu yang terasa moden dan bersih. Dan dari Grasse — sebuah haruman yang mengingatkan saya kepada bunga, cahaya matahari dan jalan-jalan lama di selatan Perancis.
Bertahun-tahun kemudian, apabila botol itu dibuka semula, perjalanan itu seakan-akan kembali.
Kita mungkin terlupa nama restoran, nombor bilik hotel atau apa yang kita pakai pada malam itu. Tetapi satu haruman boleh membuka pintu kepada memori yang sudah lama tersimpan.

A fragrance has no season, yet it can define one. Mungkin itu juga yang membuat saya tertarik dengan hubungan antara fesyen dan perfume.
Suami saya seorang arkitek. Mungkin kerana itu sejak dahulu saya mempunyai kecenderungan terhadap sesuatu yang mempunyai bentuk, ruang, keseimbangan dan keindahan yang tidak terlalu bising.
Saya suka rumah yang cantik, tetapi bukan kerana mahu menunjukkannya. Saya suka pakaian yang baik potongannya, tetapi bukan kerana labelnya dan suka sesuatu yang mempunyai cerita.
Pewangi juga begitu. Sebuah botol boleh menjadi objek seni. Kotaknya boleh menjadi sebahagian daripada pengalaman. Tetapi yang paling menarik ialah apa yang berlaku selepas kita memakainya — ia menjadi sebahagian daripada diri kita sendiri.
Dalam dunia fesyen, kita mengenali seseorang melalui siluetnya. Dalam dunia fragrance, kita mungkin mengenalinya melalui trail yang ditinggalkannya.
Saya selalu percaya bahawa kecantikan yang sebenar tidak perlu terlalu kuat untuk disedari. Seperti seorang wanita yang masuk ke sebuah ruang dengan pakaian yang sederhana tetapi sempurna potongannya. Dia tidak perlu memberitahu sesiapa apa yang dipakainya. Cara dia berdiri, berjalan dan membawa dirinya sudah cukup.
Begitu juga dengan perfume. Tidak semestinya yang paling mahal itu paling sesuai dan tidak semestinya yang paling kuat itu paling elegan. Kadang-kadang, yang paling indah ialah haruman yang hanya diketahui oleh mereka yang cukup dekat untuk menghargainya.
The beauty of fragrance is not in being remembered by everyone, but by someone. Mungkin kerana itulah saya suka membeli perfume ketika travel. Saya tidak hanya membeli wangian. Saya sedang menyimpan sebuah perjalanan. Ada botol-botol yang mungkin akhirnya habis. Ada yang tinggal sedikit di dalamnya. Tetapi kenangan tidak pernah habis bersama titisan terakhir.
Dan setiap kali saya membuka sebuah botol lama, saya seperti kembali menjadi wanita yang pernah berdiri di sebuah butik kecil di kota asing, bersama suami, memilih antara dua haruman sambil bertanya kepada diri sendiri — Yang mana satu akan membawa aku kembali ke sini suatu hari nanti?
Pagi ini, di Grasse, saya sudah mendapat jawapannya. Mungkin bertahun-tahun dari sekarang, apabila saya menyembur Eau de Magnolia itu sekali lagi, saya tidak akan sekadar teringat kepada wangian citrus dan bunga yang lembut. Saya akan teringat kepada sebuah perjalanan.
Sebuah pagi yang penuh syahdu, pagi di mana saya berada di jalan-jalan lama di Grasse dan teringat suami yang sedang berada di Nice kerana menghadiri persidangan. Suraya Baktier beberapa jam duduk sendirian sambil memikirkan betapa anehnya kehidupan — ada perkara yang tidak pernah kita nampak, tetapi mampu tinggal paling lama dalam ingatan.
Itulah barangkali keindahan fesyen. Ia bukan hanya apa yang kita pakai hari ini sebaliknya mahu kita ingat bertahun-tahun dari sekarang. Dan jika pakaian adalah cara kita memperkenalkan diri kepada dunia, mungkin haruman adalah cara kita meninggalkan sedikit diri kita selepas kita meninggalkan tempat itu. Tidak nampak dan tidak boleh disentuh tapi paling sukar dilupakan.
