FESYEN

SIAPA YANG MEMEGANG JIWA SEBUAH RUMAH FESYEN?

Creative Director — manusia di sebalik wajah baharu jenama dunia

Kita mengenali nama Dior, Chanel, Gucci, Prada, Louis Vuitton dan begitu banyak lagi. Kita mengenali logo mereka, beg mereka, kasut mereka, butik mereka dan mungkin juga harga yang tertera pada setiap satunya. Tetapi berapa ramai antara kita yang benar-benar mengenali manusia yang menentukan bagaimana nama-nama besar itu akan kelihatan pada zaman kita?

Di situlah letaknya Creative Director (PENGARAH KREATIF).

Seorang Creative Director bukan sekadar designer yang melakar koleksi baharu setiap musim. Dia adalah penjaga jiwa sebuah fashion house.

Tugasnya bukan mencipta daripada kosong. Sebuah rumah fesyen yang mempunyai sejarah panjang sudah mempunyai bahasa, kod, simbol, pelanggan dan dunia yang dibina selama puluhan — malah ratusan — tahun.

Tugas Creative Director adalah untuk memahami semuanya itu, kemudian bertanya:

“Bagaimana aku membawa warisan ini ke masa depan tanpa kehilangan rohnya?”

Itulah persoalan yang menjadikan jawatan ini begitu penting.

Kajian mengenai peranan Creative Director dalam fesyen mewah juga menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja membentuk produk, tetapi turut membantu mengekalkan nilai, imej dan identiti sesebuah luxury house dengan mentafsir semula simbol dan produk ikonik untuk pasaran semasa.

BUKAN SEKADAR MENCIPTA BAJU

Kita mungkin melihat sebuah koleksi dan berkata, “Cantiknya dress itu.” Tetapi di belakang sebuah koleksi ada keputusan yang jauh lebih besar.

Apakah siluet wanita itu? Adakah dia feminin atau kuat? Adakah lelaki jenama itu klasik atau rebellious? Adakah koleksi itu perlu kelihatan muda? Perlukah logo lebih menonjol atau lebih senyap?

Bagaimana tas tangan akan kelihatan? Bagaimana runway akan dipersembahkan? Apakah mood campaign? Siapakah yang akan menjadi wajah jenama? Apakah yang patut dikekalkan daripada arkib — dan apakah yang sudah waktunya ditinggalkan?

Creative Director berada di tengah-tengah semua persoalan itu. Sebab itu seorang Creative Director yang hebat sebenarnya bukan hanya mempunyai tangan yang pandai mencipta, tetapi mata yang mampu membaca zaman.

WARISAN ATAU MASA DEPAN?

Inilah cabaran paling besar. Sebuah rumah fesyen hidup kerana sejarahnya tetapi ia tidak boleh hanya hidup di dalam sejarah. Jika ia terlalu bergantung kepada arkib, ia boleh kelihatan tua. Jika pula terlalu mengejar sesuatu yang baharu, ia boleh kehilangan identiti.

Maka seorang Creative Director perlu berjalan di atas satu garis yang sangat halus: menghormati masa lalu sambil mencipta masa depan.

Karl Lagerfeld merupakan contoh yang luar biasa. Ketika memimpin Chanel, beliau tidak sekadar mengulang kod yang ditinggalkan Gabrielle Chanel. Beliau mengambil tweed, mutiara, camellia, chain dan pelbagai elemen ikonik itu lalu menjadikannya bahasa yang boleh terus hidup untuk generasi baharu. Keupayaan mengimbangi archive dengan pembaharuan inilah yang sering dianggap sebagai inti tugas Creative Director yang baik.

Dan di situlah kita mula memahami mengapa orang yang berada di kerusi Creative Director boleh menjadi lebih penting daripada yang kita sangka.

APABILA SEORANG MANUSIA MENJADI WAJAH SEBUAH JENAMA

Ada satu lagi perkara yang menarik. Hari ini, kita bukan sahaja membeli sebuah brand. Kadangkala kita membeli visi seseorang.

Kita tahu Karl. Kita kenal Galliano, Tom Ford, Miuccia Prada. Phoebe Philo.

Nama mereka sendiri membawa satu bahasa. Itulah sebabnya pertukaran Creative Director boleh menjadi berita besar. Apabila seorang manusia masuk ke sebuah rumah fesyen, kita tahu sesuatu akan berubah.

Mungkin siluet, mood, cara wanita itu digambarkan mahupun keseluruhan dunia jenama itu.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pertukaran Creative Director di rumah-rumah besar semakin menjadi perhatian industri kerana setiap pelantikan baharu boleh membawa perubahan besar kepada visual language dan identiti sesuatu jenama.

TETAPI MENGAPA ADA YANG TIDAK BERTAHAN LAMA?

Ini bahagian yang saya fikir paling menarik untuk pembaca WM. Apabila seorang Creative Director meninggalkan sebuah rumah fesyen selepas hanya beberapa tahun — kadangkala lebih singkat — kita mudah membuat kesimpulan:

“Designer itu gagal.”

Tetapi adakah semudah itu menghukum mereka? Saya rasa tidak. Kadangkala orangnya tidak sesuai dengan rumah itu atau rumah itu pula tidak sesuai dengan orangnya. Kadangkala designer mempunyai visi yang hebat tetapi tidak diberikan masa yang cukup untuk membinanya. Dan kadangkala tekanan komersial terlalu besar. Kerana kita harus ingat, sebuah rumah fesyen bukan sekadar dunia seni. Di belakang runway yang cantik itu ada CEO, shareholders, sales target, butik, tas tangan, pewangi, iklan dan pasaran global.

Creative Director mungkin berfikir tentang apa yang akan menjadi ikon dalam lima tahun.

Business mungkin bertanya: “Berapa banyak yang kita jual musim ini?”

Di situlah konflik boleh berlaku.

SEORANG GENIUS TIDAK SEMESTINYA SESUAI DI MANA-MANA

Ini juga sesuatu yang jarang kita katakan. Seorang designer boleh menjadi genius di rumah fesyen sendiri tetapi tidak semestinya genius apabila memegang rumah orang lain.

Dior bukan Chanel.
 Chanel bukan Prada.
 Prada bukan Louis Vuitton.

Setiap rumah mempunyai DNA.

Seorang Creative Director harus belajar bahasa rumah itu terlebih dahulu sebelum menggunakan bahasa dirinya sendiri. Kalau tidak, yang kita lihat bukan lagi evolusi.

Kita melihat sebuah jenama yang sedang kehilangan dirinya.

Sebab itu saya percaya pelantikan Creative Director sebenarnya bukan sekadar memilih designer yang paling terkenal. Ia adalah soal keserasian.Personaliti. Visi. Disiplin. Kebolehan bekerja dengan pasukan. Pemahaman terhadap sejarah.

Dan yang paling penting: adakah dia faham jiwa rumah yang bakal dipimpinnya?

MEREKA YANG BERJAYA MELAMPAUI JAWATAN

Dan kemudian ada Creative Directors yang berjaya melakukan sesuatu yang lebih besar. Mereka meninggalkan jejak.

Karl Lagerfeld menjadikan Chanel terus relevan.

John Galliano menjadikan runway seperti sebuah pentas cerita.

Tom Ford menjadikan Gucci sebuah dunia yang penuh desire.

Alexander McQueen membawa fesyen ke wilayah seni dan emosi.

Miuccia Prada menjadikan fesyen sesuatu yang boleh difikirkan.

Phoebe Philo memberikan bahasa baharu kepada wanita moden.

Nicolas Ghesquière membawa futurism ke dalam heritage Louis Vuitton.

Giorgio Armani membentuk idea tentang elegan moden.

Mereka semua berbeza. Tetapi mereka mempunyai satu persamaan:

Mereka mempunyai sesuatu untuk dikatakan.

Dan mungkin itulah yang membezakan seorang designer biasa dengan seorang Creative Director yang akan diingati. Dia tidak sekadar menghasilkan koleksi. Dia menghasilkan satu point of view.

EDITOR’S THOUGHT

Setelah begitu lama mengikuti dunia fesyen, saya melihat Creative Director bukan sebagai orang yang datang untuk mengambil alih sebuah jenama. Saya melihatnya sebagai seseorang yang menerima sebuah amanah. Amanah terhadap pengasasnya, sejarahnya, orang-orang yang bekerja di belakangnya dan amanah terhadap generasi yang akan datang.

Kerana kemewahan  bukan hanya tentang apa yang kita beli hari ini. Ia juga apa yang kita mahu terus percaya akan mempunyai nilai esok.

Creative Director yang hebat tahu bagaimana untuk berubah tanpa menghilangkan identiti. Dia tahu bila perlu bercakap dan bila perlu mendengar. Dia tahu apa yang perlu dibawa dari arkib dan apa yang harus ditinggalkan.

Dan apabila dia benar-benar berjaya, kita melihat sesuatu yang agak ajaib. Kita nampak sesuatu yang baharu tetapi di dalam hati kita, kita masih berkata:

“Ya… ini Chanel.”

“Ini Dior.”

Ini Prada.”

Itulah apabila kita tahu bahawa seseorang bukan sekadar mereka pakaian. Dia telah memegang jiwa sebuah rumah fesyen.

Related posts

RIZMAN RUZAINI-Pahat Nama di Peta Fesyen Dunia

Mahani Awang

BATIK ADA TEMPATNYA, BAJU MELAYU ADA MARTABATNYA

Wirda Adnan

Nani Hirunkit

adminwm

Leave a Comment