
Apabila Keindahan Hadir Melalui Deria
Entah mengapa saya senang membawa anda larut dalam keindahan bau yang segar. Ada sesuatu tentang haruman yang membuatkan saya dan anda juga berhenti seketika. Kadangkala ia bukan sekadar bau yang sedap itu tapi hadirnya sebagai kenangan.
Saat saya menulis rencana saya berada di The Food Hall at Selfridges, London. Tidak pun bercadang ke sini, sepatutnya menemani suami tapi saya tukar fikiran, biarlah dia minum petang bersama kawan-kawannya sementara saya ingin lepak-lepak sambil memerhatikan gelagat manusia yang keluar masuk ke sini.
Sebelum keluar dari bilik hotel tadi, saya menyemburkan Yves Saint Laurent Libre Le Parfum yang saya beli di Sephora di Paris setahun lalu. Tidak selalu digunakan kerana baunya yang pada saya ada ‘suara’ yang kuat dan semacam berkuasa. Kuasa untuk membuat orang tiba-tiba mencari arah bau itu dan kemudian ternampak seorang wanita yang kebiasaannya bila berada di negara orang senang sekali berkemeja dipadankan dengan jean. Kini musim panas, dan dengan tudung cotton, saya rasa selesa sangat mengintai apa yang ada di Selfridges.
Kembali bercakap fasal parfum, satu nota bunga boleh membawa kita kembali kepada sebuah taman yang pernah kita kunjungi. Aroma kayu boleh mengingatkan kita kepada sebuah rumah lama yang penuh cerita. Bau air hujan yang turun menyentuh bumi boleh membawa kembali rasa tenang yang sukar dijelaskan.
Mungkin itulah keistimewaan deria. Ia menyimpan perkara yang tidak selalu dapat diterangkan dengan kata-kata.
Keindahan Yang Tidak Selalu Dilihat
Saya sering percaya bahawa keindahan tidak semestinya hadir dalam bentuk yang besar. Kadangkala ia hadir dalam perkara yang sangat sederhana. Cahaya matahari yang masuk melalui tingkap pada waktu pagi. Bayangan pokok yang jatuh di atas dinding. Tekstur kain langsir yang menyentuh tangan bila disingkap mahu pun bau kopi yang memenuhi ruang.
Sebuah rumah yang terasa nyaman bukan hanya kerana perabot atau hiasannya tetapi kerana perasaan yang diberikan kepada mereka yang berada di dalamnya.
Haruman Sebagai Sebuah Cerita
Dalam kehidupan saya, haruman sentiasa mempunyai tempat yang istimewa. Saya percaya setiap wangian mempunyai personaliti. Ada haruman yang lembut dan mengingatkan kepada ketenangan. Ada yang lebih berani, membawa rasa yakin dan karakter atau mengingatkan kita kepada seseorang.

Mungkin sebab itu parfum bukan sekadar aksesori bagi diri Suraya Baktiar tapi satu bentuk ekspresi diri. Satu tanda yang tidak kelihatan, tetapi meninggalkan kesan.
Antara Alam, Ruang dan Bauan
Minat saya terhadap haruman juga banyak dipengaruhi oleh cara saya melihat ruang. Melalui perjalanan dan pengalaman menemani suami yang memahami dunia seni bina, saya semakin menyedari bahawa sebuah ruang bukan hanya dibina dengan bentuk dan struktur, ia juga mempunyai suasana.
Sebuah bangunan boleh mempunyai karakter. Sebuah rumah boleh mempunyai emosi. Ada ruang yang berasa tenang kerana cahaya semula jadinya. Ada ruang yang berasa hidup kerana hubungan antara manusia dan alam dan ada tempat yang kita ingat bukan hanya kerana apa yang kita lihat, tetapi kerana apa yang kita rasakan.
Seni Bina Yang Mempunyai Jiwa
Sebuah bangunan yang indah bukan hanya tentang garis, bentuk atau kemasan. Ia tentang pengalaman manusia di dalamnya. Bagaimana cahaya bergerak dan udara yang mengalir juga menyambut seseorang yang masuk.
Saya belajar bahawa seni bina yang terbaik bukan sekadar mencipta tempat untuk didiami. Ia mencipta perasaan, perasaan yang selesa, rasa dimiliki dan ingin pulang ke kediaman bila berjauhan.
Perjalanan Yang Mengajar Kita Melihat
Setiap perjalanan membawa pulang sesuatu. Kadangkala bukan cenderamata yang kita simpan tetapi rasa yang tinggal dalam ingatan. Barangkali sebuah kafe kecil di kota asing atau sebuah hotel dengan haruman linen yang bersih. Atau mungkin sebuah taman yang dipenuhi bunga dan sebuah bangunan lama yang menyimpan sejarah.
Perjalanan mengajar kita untuk melihat dunia dengan lebih perlahan supaya kita menghargai butiran kecil yang sering kita terlepas pandang.
Rumah, Haruman dan Kenangan
Bagi saya, rumah bukan sekadar tempat kita tinggal. Ia adalah tempat yang menyimpan versi diri kita. Di situlah cerita keluarga berkembang. Di situ ugalah musim kehidupan silih berganti. Ada sudut yang mengingatkan kepada seseorang dan objek yang membawa kenangan. Ada bau tertentu yang membuat kita kembali kepada satu waktu yang pernah indah. Sebuah rumah yang mempunyai jiwa tidak perlu terlalu sempurna ia hanya perlu mempunyai rasa.
The Graceful Senses
Semakin kita mengenali kehidupan, semakin kita memahami bahawa kecantikan tidak selalu perlu diperlihatkan. Ada kecantikan yang hanya perlu dirasakan. Melalui haruman, ruang, cahaya juga kenangan. Kerana kehidupan bukan hanya tentang apa yang kita lihat ia juga apa yang kita simpan dalam hati.
Saya terasyik melihat orang yang lalu lalang sehingga sedae-sedar suami sudah pun duduk di sisi. Terkejut, tetapi haruman yang digunakan oleh suami petang itu yakni Dolce & Gabbana membuat saya pasti dialah orang yang saya tunggu. Dia tidak membawa ia datang dari Malaysia, tetapi sempat grab Dolce & Gabbana Men’s Mini Set Male Fragrance masa kami di ruang yang menjual aneka pewangi di lapangan terbang. And the scent is so seductive.
“Ada perkara yang tidak dapat diabadikan dalam gambar, tetapi akan kekal dalam ingatan. Kadangkala, sebuah haruman mampu membawa kita pulang kepada sebuah cerita.” Suraya Baktier
