Hari ini orang membeli pinggan mangkuk mewah untuk dipamerkan di dalam kabinet kaca. Tetapi Opah saya berbeza. Beliau yang menyukai pinggan, mangkuk, sudu dan garfu, set teh dan set kopi, talam yang dibelinya bukanlah untuk hiasan semata tetapi sebahagian besar adalah untuk kegunaan masyarakat setempat. Ada yang ditempah atau dibeli daripada jenama terkenal dari Britain dan pada suatu zaman ketika memilikinya dianggap satu kemewahan yang luar biasa.
Sebagai kanak-kanak, saya tidak memahami nilainya. Saya hanya melihat beberapa almari yang dipenuhi pinggan mangkuk cantik yang hanya keluar pada waktu-waktu tertentu. Dan bila saya membelek satu dua yang masih ada dalam simpanan, boleh bergetar tangan memegangnya, betul ada jenama Royal Albert dan Haddon Hall. “Opah aku ada Royal Albert, kelas gitu.”
Namun apa yang saya faham kemudian ialah tujuan Opah memilikinya tidak sama seperti kebanyakan orang. Ia bukan untuk menunjuk-nunjuk. Ia bukan untuk disimpan semata-mata. Ia untuk diguna hari-hari, no wonder walau makan bersila tapi set pinggan dan mangkuknya cantik, dan penting tikar dilapik dengan seperah.
Betul semuanya untuk digunakan. Dan lebih daripada itu, untuk dikongsi. Setiap kali ada kenduri di kampung, rumah Opah akan menjadi tempat orang datang meminjam. Pinggan. Mangkuk. Sudu. Garfu. Cawan, Teko, Talam, Periuk Belanga malah Kawah-Kawah. Ya, apa sahaja yang diperlukan kerana Tuk tidak akan membenarkan Opah membeli sekadar simpan di almari.
Dan Opah juga tidak pernah berkira. Beliau tahu risiko barang pecah. Opah tahu ada yang mungkin hilang dan tahu ada yang mungkin sumbing.
Tetapi Opah tetap meminjamkannya.
Apabila ada yang pecah, beliau tidak marah. Beliau tidak meminta ganti rugi. Beliau memahami bahawa orang kampung yang meminjam itu mungkin tidak mampu membeli semula apa yang rosak. Lalu beliau sendiri mencari penggantinya.
Hari ini saya terfikir, mungkin nilai sebenar pinggan mangkuk itu bukan terletak pada jenamanya. Tetapi pada kemurahan hati pemiliknya, bila berkongsi mahupun memberi, biarlah yang cantik-cantik. Kerana apa gunanya memiliki sesuatu yang indah jika ia tidak membawa manfaat kepada orang lain? Pada penghujung hayatnya, kerana hampir banyak yang sumbing dan tidak cukup set, opah mula beralih kepada pinggan mangkuk Arkopal untuk dipinjam orang kampung kenduri kendara. Banyak, berset-set seperti sebelumnya.
Kerana ia lebih praktikal, ringan dan lebih tahan lasak dan kurang risiko pecah.
Dan apabila usianya semakin lanjut, selebihnya mula berpindah ke tangan anak-anak dan cucu-cucu yang menghargainya.
Namun yang diwariskan bukan sekadar pinggan mangkuk. Yang diwariskan adalah sebuah nilai. Bahawa kemewahan yang sebenar bukan terletak pada apa yang kita simpan. Tetapi pada apa yang kita sanggup berkongsi.
Itulah opah saya, Hajjah Abidah Abdul Kadir yang wajahnya amat bersih, putih lagi cantik. Gayanya sentiasa kemas, duduk di rumah seperti orang hendak berjalan-jalan. Berbaju kurung Kedah daripada kain kasa Rubiah kala di rumah dan jika untuk berjalan-jalan opah memilih kasa Rubiah sebab ringan dan sejuk. Senang juga berbaju kurung leher tulang belut mahupun kebayanya yang bersulam. Almari opah juga padat. Opah pandai bergaya malah waktu opah terbaring sakit, pakaiannya tetap kemas dan cantik yang dipadan dengan sarung batik Terengganu. I wonder where all those baju are?
“Pinggan mangkuk itu mungkin datang dari Britain, tetapi nilainya dibentuk oleh hati seorang wanita Melayu yang tidak pernah berkira untuk berkongsi.”

