
Suatu ketika dahulu, tubuh sasa sering dikaitkan dengan ahli bina badan, atlet atau bintang filem aksi Hollywood. Lelaki biasa jarang memikirkan tentang komposisi tubuh, peratusan lemak atau kandungan protein dalam hidangan mereka.
Hari ini, landskap itu sudah berubah.
Di seluruh dunia, semakin ramai lelaki mula memahami bahawa tubuh yang sihat bukan sekadar soal penampilan, tetapi satu bentuk pelaburan jangka panjang terhadap kerjaya, keyakinan diri dan kualiti hidup.
Lihat sahaja bagaimana Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar atau lebih dikenali sebagai Que Haidar, cergas dan segak walaupun usia semakin matang menuju angka lima. Dalam industri yang sentiasa menilai seseorang melalui lensa kamera, beliau membuktikan bahawa disiplin menjaga pemakanan dan kecergasan mampu mengekalkan aura seorang lelaki selama bertahun-tahun.
Di peringkat antarabangsa pula, pelantikan Putera Abdul Mateen sebagai Menteri Luar Brunei baru-baru ini memperlihatkan bagaimana imej dan penampilan kini menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kepimpinan. Sebagai wakil negara yang bertemu pemimpin dunia, ketua korporat dan tokoh antarabangsa, penampilan yang kemas, sihat dan bertenaga bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan.
Hakikatnya, lelaki yang menjaga tubuhnya sedang menghantar satu mesej yang jelas kepada dunia. Dia seorang yang berdisiplin. Dia menghormati dirinya. Dia memahami bahawa kesihatan ialah aset yang tidak boleh dibeli apabila ia sudah hilang.
Sebab itulah makanan memainkan peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar mengenyangkan perut. Apa yang dimakan hari ini menentukan tenaga esok, kecergasan lima tahun akan datang dan bagaimana seorang lelaki akan melalui usia 40, 50 malah 60 tahun nanti.
Tubuh sasa tidak dibina di gimnasium semata-mata. Ia juga terdapat di meja hidangan anda.
10 Makanan Wajib Untuk Lelaki Yang Mahu Tubuh Sasa
1. Telur

Telur mengandungi protein lengkap dan asid amino leucine yang penting untuk pembinaan otot. Ia juga kaya vitamin D dan nutrien yang membantu pemulihan otot selepas bersenam.
Cadangan: 2–4 biji sehari.
2. Dada Ayam

Dada ayam menjadi makanan utama kebanyakan atlet kerana kandungan proteinnya yang tinggi dan lemak yang rendah.
Terbaik untuk:
- Membina dada bidang
- Membesarkan bahu
- Menambah jisim otot
3. Salmon

Salmon bukan sahaja kaya protein malah mengandungi Omega-3 yang membantu pemulihan otot dan mengurangkan keradangan selepas latihan.
4. Greek Yogurt

Kaya protein dan membantu pertumbuhan otot secara berterusan sepanjang hari.
Sesuai dijadikan sarapan atau snek petang.
5. Daging Lembu Tanpa Lemak

Mengandungi protein berkualiti tinggi serta zat besi dan zink yang penting untuk lelaki aktif.
6. Ubi Keledek

Ramai lelaki fokus kepada protein tetapi melupakan sumber tenaga.
Ubi keledek membekalkan karbohidrat kompleks yang memberi tenaga untuk latihan berat.
7. Avokado

Lemak sihat dalam avokado membantu keseimbangan hormon lelaki dan memberi rasa kenyang lebih lama.
8. Bayam dan Sayuran Hijau

Popeye mungkin bukan sekadar kartun. Sayuran hijau kaya magnesium, zat besi dan antioksidan yang membantu prestasi fizikal.
9. Kacang Badam

Sumber protein tambahan, magnesium dan lemak sihat yang baik untuk kesihatan jantung dan pemulihan otot.
10. Tiram dan Makanan Laut

Tiram terkenal dengan kandungan zink yang tinggi, mineral penting untuk kesihatan hormon lelaki.
Makanan Yang Merosakkan Impian Dada Bidang
Jika mahu tubuh sasa, kurangkan:
- Minuman bergula
- Makanan bergoreng berlebihan
- Fast food
- Alkohol
- Makanan ultra-proses
Makanan sebegini boleh menyukarkan pembinaan otot dan meningkatkan lemak badan.
Formula Lelaki Sasa
Pakar pemakanan mencadangkan lelaki yang aktif mengambil sekitar 1.4 hingga 2.2 gram protein bagi setiap kilogram berat badan sehari untuk membantu pembinaan otot bersama latihan rintangan yang konsisten.
Contohnya:
- Berat 70kg → 98g hingga 154g protein sehari
- Berat 80kg → 112g hingga 176g protein sehari
Penutup
Lelaki tidak semestinya dilahirkan kacak. Tetapi hampir setiap lelaki boleh menjadi lebih menarik jika tubuh tegap, bahu yang bidang, dada yang sasa, postur yang baik dan disiplin hidup yang sering mengatasi kelebihan wajah semata-mata.
Kerana apa yang membuatkan seorang lelaki kelihatan hebat bukanlah genetik semata-mata. Ia adalah usaha yang dilakukan setiap hari juga pemakanannya, ketika orang lain masih mencari alasan dia mempersembahkannya.
“Ketampanan mungkin anugerah tetapi penampilan yang mengagumkan adalah pilihan.”
— Wirda Adnan
