COVER STORY

 THE GLAM QUEEN–“WANITA PERLU HARGAI DIRI, ZAHIRKAN”

Antara satu perkataan yang akan berlegar dalam fikiran kita tatkala menyebutkan saja nama Rozita Che Wan pastinya – suka melaram! Maka, sesuailah kalau kita gelarkan beliau The Glam Queen! Bagaikan ratu yang sentiasa berdandan indah, kemas, bersih selayak dirinya yang bergelar public figure. 

Dari awal pembabitannya dalam seni hiburan, beliau sangat dikenali sebagai seorang yang sentiasa menjaga penampilan diri. Jujur katanya, beliau memang suka melaram bukan kerana dirinya yang bergelar selebriti. Kala tidak bekerja dan menjadi suri rumah lagi, beliau seorang yang suka bersiap. Dikhabarkan walaupun hanya ke kedai depan rumah, Cheta tetap akan memasang bulu mata palsunya. Namun, tegasnya fi’il ini bukan kerana dia selebriti, tetapi sudah tertanam dalam dirinya sejak lahiriah memang suka kelihatan cantik dan kemas.

Ketika Majalah WM menghubungi Rozita Che Wan atau mesra dipanggil Cheta untuk menyiapkan artikel ini, Cheta sedang sibuk dengan bisnes di beberapa boothnya ketika Ramadan baru-baru ini. Malah, pada malam Raya pun, Cheta baru selesai acara di Sabah. Ketika mengingatkan tentang sesi Q&A ini pun, Cheta kata sedang kalut menyelesaikan urusan para staf sebelum nak Raya – menguruskan gaji, bonus dan duit Raya pekerja-pekerja beliau. Tidak penatkah Cheta, berlari ke sana sini menguruskan perniagaan? 

“Tiada istilah penat kalau kita passionate dengan apa yang kita lakukan. Seronok apabila melihat hasil sales mencecah target yang diimpikan, hilang semua penat. Ini pun kami rasa lambatnya nak tunggu staf balik bercuti 19 hari. Tak sabar nak mula kerja, nak buat live dan sale!” ujar Cheta yang semakin gigih dan bersemangat membangunkan perniagaannya. Tambahnya lagi, kepuasan berniaga ini paling dirasai apabila ada pelanggan yang datang kembali esoknya sambil memakai kaftan yang dibeli semalam, demi menunjukkan kepada Cheta yang mereka berpuas-hati dengan hasil pembelian mereka itu.

Tradisi Raya Cheta Melaram Berpasang-pasang Baju

Sambutan Hari Raya seorang Rozita Che Wan tahun ini sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Kongsi Cheta, setelah berumah tangga dengan Zain, menjadi kebiasaan Raya pertama mereka akan ke rumah ibu mentua dan keluarga sebelah Zain dahulu, sambil mengunjungi jiran-jiran terdekat yang beraya di ibu kota. Malamnya itu barulah Cheta berkonvoi dengan adiknya, Ayu Raudhah dan keluarga ke Alor Setar, Kedah untuk beraya dengan keluarga Cheta di sana pula. 

”Selalunya, kami akan berada di Alor Setar selama seminggu, sehingga habis cuti sekolah.”

Bercakap soal baju Raya pula, kata Cheta sambil ketawa, baju Raya tu biasalah memang akan berpasang-pasang setiap tahun. Malah setelah habis beraya seminggu ini pun Cheta sudah merancang baju untuk Raya tahun hadapannya pula. Antara rekaan pereka yang menjadi pillihannya tahun ini ialah seperti Fizi Woo, Ezuwan Ismail, Syafiq Aiman, Qudyn dan lain-lainnya. 

Mengulas tentang kriteria rekaan pakaian yang digemarinya, jujurnya kata Cheta beliau tidak kisah siapa pereka atau jahitannya, asal sahaja baju yang disarungkannya itu selesa disarungkan tanpa perlu alter semula. Kalau baju yang ’perfect’, nak dijual semula pun rasa sayang sebab kita serasi dengan baju tersebut.

Cheta juga mengakui setiap idea dan pilihan tema baju adalah 100 peratus daripada keputusannya tanpa campur tangan suami atau anak-anak. “Mereka langsung tak pernah bagi idea atau cadangan. Yang mereka tanya hanya warna apa sahaja dan semua akan bersetuju dengan apa yang kami dah putuskan. Senangkan!”

Kenangan Pagi Raya Semua Adik-Beradik Macam Pergi Fashion Show!

”Kenangan? Kalau dulu kan, Raya pertama di rumah kami, Mak akan masak nasi tomato dan laksa. Waktu tu tak ada siapa pun akan datang beraya rumah kami. Tapi, selepas kami jadi artis, aduh berduyun-duyun orang datang beraya, yang datang entah dari mana, yang tiba-tiba mengaku saudara pun ada walaupun kami sendiri tak kenal. Ada tu sampai pukul tiga pagi masih ada yang bagi salam depan pintu rumah,” cerita Cheta sambil ketawa mengenang kembali Raya dulu-dulu. 

Dalam pada itu, Cheta juga sebak apabila terkenangkan suasana Raya ketika semua adik-beradik masih anak dara, belum berkeluarga. Katanya, kemeriahan Raya sudah mula dirasakan ketika Ramadan lagi apabila setiap adik-beradik sudah tahu peranan masing-masing. Waktu itu juga, kesemua mereka mula sibuk menyiapkan baju raya masing-masing. 

”Dua minggu pertama Ramadan, kami semua sibuk menampal, menempek manik, batu-batu pada baju masing-masing. Dua minggu terakhir, sibuk pula menyiapkan biskut Raya. Semua berlumba-lumba nak pakai baju paling wow Raya nanti. Dan apabila tiba pagi Raya, kami adik-beradik dah macam pergi fashion show, masing-masing sakan melaram hasil rekaan baju sendiri. 

Walaupun kini, cara Raya sudah sedikit berbeza namun Cheta bersyukur masih diberi peluang untuk berkumpul seisi keluarga walau tidak sama seperti dulu-dulu. Memahami tuntutan dan komitmen keluarga yang semakin bertambah, Cheta akur ada sesetengah adik-beradik terpaksa juga beraya dengan keluarga sebelah mentua. Itulah pentingnya mencipta seberapa banyak kenangan selagi masih ada kesempatan. 

Penatkah Bergelar Seorang Rozita Che Wan?

“Kalau sesuatu perkara itu dah menjadi habit you, you tidak akan langsung berasa penat. Malah you akan enjoy! Kalau you tengok selebriti itu hanya bersiap untuk ke event tapi hari biasa dia seadanya saja, bermakna dia seorang yang semula jadinya hanya bersiap ke event

Berbeza dengan kami, ke mana-mana pun kami memang akan jaga penampilan diri, from top to toe. Kami suka nak matching baju, kasut, selendang dan handbag. Dari dulu lagi, walaupun tak bekerja, memang itulah kami,” jelas Cheta yang tidak menjadikan usia alasan untuk memperlahankan semangat diri. 

Pesan Cheta lagi, sebagai wanita kita perlu hargai diri sendiri dengan menjaga apa yang telah Allah anugerahkan. Kita perlu sentiasa meraikan hari-hari yang dilalui dengan mempamerkannya pada zahir kita supaya orang lain juga rasa selesa dan seronok berada di samping kita. Tidak hairanlah apabila sikapnya itu dapat dilihat menurun kepada anaknya, Aaisyah Dhia Rana pula. Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Aaisyah dilihat sangat suka dengan fesyen dan berdandan. Melihatkan koleksi mekapnya saja, sudah seperti seorang jurusolek profesional!

”Kami ni kalau balik kampung, anak-anak saudara semua nak jadi macam Mak Ngah dia ni. Sikit-sikit Mak Ngah.. Mak Ngah.. Mak Ngah, nak pinjam bulu mata, Mak Ngah ada bulu mata tak nak pinjam? Ada contact lens lebih tak? Mereka teruja setiap kali tengok Mak Ngah,” kongsinya geli hati.

Bersuami Muda – Tiada Risiko, Yang Penting Keperibadian Sendiri

Cheta juga pernah menggemparkan industri tanah air apabila mengumumkan bakal berkahwin dengan pelakon kacukan, Zain Saidin pada 13 Disember 2013, dek perbezaan usia yang ketara, ramai yang mula meramalkan itu dan ini. Namun, seperti yang kita kenali, Rozita Che Wan tetap Rozita Che Wan tidak mudah melatah dengan apa pun lemparan kata-kata orang. Malah, beliau terus berjalan ke depan, sambil melibas kain!

Dan, ternyata Cheta membuktikan apa yang dilaluinya adalah keputusannya yang tepat dan tiada siapa berhak meramalkan apa-apa tentang kehidupan peribadinya. Dan, sehingga kini, selepas hampir 12 tahun berkongsi bahtera bersama Zain, kebahagiaannya masih utuh malah jarang kedengaran ombak badai melanda rumah tangga mereka. Sesekali ditiup angin itu biasalah. Dan kala, saya bertanyakan soalan nakal; tidakkah sulit bersuami muda? Cheta membalasnya dengan nada yang tenang.

“Dalam rumahtangga ini, subjek utamanya bukanlah tentang berapa usia pasangan kita tetapi dengan siapa kita nikahi? Alhamdulillah, so far Zain seorang yang bukan kaki perempuan atau mempunyai sikap-sikap buruk seorang lelaki, jarang sekali complaint apa-apa. Dia tidak kisah isterinya nak masak ke? Nak bangun pukul berapa? Nak buat apa pun, dia memberi kita kelonggaran. Yang selalu Zain tegur pun kalau kami lambat solat atau suara hi pitch. Hahaha.. biasalah kita ni perempuan, kadang-kadang terlebih emosi,” luahnya. 

Saat ditanya bagaimana Cheta dilihat selalu tenang apabila berdepan isu-isu besar dalam kehidupannya? Jelas Cheta, setiap apa yang berlaku dalam hidup kita ini akan berlalu pergi bersama masa. Jadi, nasihatnya lalui sahaja dengan tenang, chill dan take it easy. Anak-anak juga selalu bertanya kenapa Cheta diam sahaja? Untuk apa melompat sampai ke siling? Yang penting, kita ada usaha untuk menyelesaikannya dan pada masa yang sama jangan dirumitkan. Paling penting, ingat Allah ada untuk bersama kita.

Baby Aish Sentiasa Dalam Ingatan, Anak Syurga Kesayangan Semua

Sebelum menamatkan perbualan, saya sempat bertanyakan Cheta mengenai peristiwa tragis yang menimpa adiknya, Ayu Raudhah yang kehilangan anak bongsunya, Muhammad Aisy Al Rees Mohamad Zaquan Adha, enam bulan yang meninggal dunia dalam tidur pada 11 Februari yang lalu. Berita itu mengejutkan semua kerana pemergian anak syurga itu secara tiba-tiba tanpa sebarang sakit atau tanda-tanda awal. Cheta, antara individu yang rapat dengan Ayu dan anak saudaranya itu kerana mereka memang kerap bertandang ke rumah Cheta setiap kali turun Kuala Lumpur.

“Kali terakhir kami bertemu Baby Aish adalah empat hari sebelum pemergiannya. Kami sempat ke Genting Highlands, makan-makan, borak-borak. Baby Aish memang kesayangan kami, Aaisyah pun suka menjaga Aish kerana dia seorang anak yang tak banyak ragam. Senyum je. Jarang merengek. Kami masih ingat pada hari kejadian, kami sedang sibuk dengan fitting session Ariani di Jakel Mall. Ketika sedang memilih kain, kami tengok ada teks masuk berderu-deru di WhatsApp group. Berita itu disampaikan adik kami Jaja, kerana Ayu tiada kekuatan untuk memberitahunya.”

Menurut Cheta, sebaik mendapat berita tersebut, beliau terus meninggalkan Jakel Mall dan bergegas pulang ke rumah mengambil anak-anaknya untuk ke Seremban. Memang sukar untuk diterima tetapi itulah ketentuan takdir dan sudah tertulis anak itu pinjaman Allah yang pasti akan diambil semula apabila sampai waktunya. Melihatkan keadaan Ayu dan Zaquan, Cheta yakin mereka reda dan mampu menerima takdir ini dengan tenang. Mengenangkan ada orang lain yang lebih teruk diuji, Ayu dan Zaquan matang dalam melalui dugaan itu.


Kredit Foto:
Solekan : Othong
Fotografi: Black Pepper Production
Pakaian: Koleksi Peribadi Rozita Che Wan

Related posts

Sharon Jasmin – Queen of Hearts

admin

DATO’ AZIE SHEIKH MOHAMED ‘NO REGRETS IN MY LIFE’

Mahani Awang

Fariz Jamaluddin

Wirda Adnan

Leave a Comment