
Sedang kita bergembira, ada yang berduka dan kala kita berseronok, tanpa kita sedari ada insan, entah-entah duduk di sebelah kita sedang menderita dan merana. Tidak ramai yang berada dalam keadaan tertekan dan murung mahu atau berani ke hadapan untuk meluahkan perasaan dan penderitaan mereka, apa lagi untuk mendapatkan rawatan.
Mengapa ini terjadi? Ia berpunca daripada sikap masyarakat sendiri yang tidak mahu ambil peduli dan tanggapan salah, serta kurangnya pendedahan tentang penyakit ini. Kesinambungan itu membuat pesakit berasakan hal atau masalah mental mereka adalah sesuatu yang membebankan orang lain dan memalukan.
Stigma masyarakat terhadap masalah mental menyebabkan pesakit malu, dan bimbang disisihkan oleh ahli keluarga, rakan, jiran, dan masyarakat sekeliling. Ini memberi kesan buruk terhadap pesakit, malah itulah sebab utama pesakit lewat mendapatkan rawatan perubatan dan tekanan semakin bertambah hingga membuat proses perubatan semakin rumit.
Statistik bahawa satu (1) daripada tiga (3) orang rakyat Malaysia berdepan masalah kesihatan mental berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) membuat ramai terkejut. Ia merangkumi isu seperti tekanan, keresahan, dan kemurungan terutamanya bagi golongan dewasa berumur 16 ke 24 tahun dan ke atas.
Kesedaran ini menyebabkan Kuala Lumpur Melancholia Patient Support Association atau singkatnya KLMePSA, telah mengambil beberapa Langkah untuk memberi kesedaran dan berusaha membantu para pesakit mental.
Majlis The Red Chamber, The Gilded Bloom – Joyful Journey Year 2, yang dianjurkan Show Case Talent Management dengan sokongan Kuala Lumpur Melancholia Patient Support Association atau singkatnya KLMePSA baru-baru ini adalah satu usaha persatuan tersebut untuk memberikan fokus, menyebarkan maklumat dan menyokong usaha KLMePSA.

Bertajuk “A Grand Royal High Tea of Arts, Love & Happiness”, majlis berlangsung denga penuh warna-warni dan ceria.Turut hadir menyerikan majlis dan mencemar duli sebagai Tetamu Kehormat Diraja petang itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Raja Muda Perlis dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil Raja Puan Muda Perlis.
Acara yang dimulakan meriah dengan persembahan iringan penari meraikan keberangkatan tetamu diraja yang mencemar duli kemudiannya disusuli ucapan aluan Nik Farisha Dato Khairi, Presiden KLMePSA itu kemudiannya beralih kepada acara utama petang tersebut iaitu bual santai dan ceramah ringkas oleh Profesor Dato Dr Mohd Saat Mohd Baki. Hajjah Mahani Awang, selaku Timbalan Presiden KLMePSA, petang itu memainkan peranan sebagai moderator bagi sesi bermanfaat tersebut.




Walaupun tajuk acara dikaitkan dengan isu kesihatan mental, sesuatu yang bukan biasanya menyeronokkan dan sering diadakan dalam bilik kuliah atau empat dinding dewan acara hotel lima bintang yang serius, tegang dan penuh emosi memberatkan, namun petang tersebut meleraikan stigma masyarakat khususnya para tetamu secara terbuka lagi santai terhadap penyakit gangguan mental.
Begitupun fokus majlis yang pada awalnya berbunyi berat, tiada siapa yang mengagak tiba-tiba beralih santai dan rancak dengan para tetamu yang sporting, malah ada beberapa orang dif-dif kehormat turut sama menari penuh ceria bagaikan tiada kegusaran di wajah mereka.
Seperti yang dibentangkan oleh panel ceramah Professor Dato Dr Mohd Saat Bin Mohd Baki, seorang pakar jiwa yang terkenal sejak awal 80-an itu bahawa isu mental bukanlah isolated case atau satu kes kesihatan terpencil seperti kebanyakan penyakit, ia adalah satu permasalahan masyarakat yang mana jelas orang ramai mesti ambil tahu dan memainkan peranan sebelum ianya menjadi lebih serius.
You are not alone!
Majlis tersebut membuktikan kenyataan beliau, yang mana penyakit mental adalah masalah masyarakat dan setiap individu ada peranan masing dalam usaha membanteras gangguan mental daripada terus menjadi serius. Setiap orang katanya, memerlukan teman untuk berbincang dan meluahkan perasaan ketika punya masalah mahupun sekadar untuk berseronok. Apabila kita bersama orang lain dalam apa jua situasi, kita akan berasa lebih seronok dan kurang tertekan.

“Setiap individu dan setiap hari dalam kehidupan, kita memakai ‘topeng’ yang berbeza-beza. Perbuatan itu sama ada kita sedari ataupun tidak, adalah tindak balas semulajadi mental kita untuk menyembunyikan emosi yang sedang bergolak dalam diri.
Kita sering melihat orang tersenyum dan riang, namun kita tidak tahu apakah sebenar yang mereka sedang lalui,” sekadar merungkai semula kata-kata Dato Professor Mohd Saat, “Adakala orang memakai ‘topeng senyum’ kerana mahu tunjukkan bahawa mereka gembira dan bahagia walaupun hakikatnya jauh di lubuk hatinya sedang kecewa, marah dan merana,” tambahnya.
Kenyataan beliau itu membuat hati tersentuh dan berkata-kata kala melihat gelagat para tetamu yang sporting mengikut rentak setiap acara yang santai dan menyeronokkan harap-harap mereka yang sedang berseronok pada petang itu tidak memakai apa-apa topeng, selain topeng diri mereka yang sebenar, kerana semuanya nampak ceria dan tenang.

Tambah Prof Mohd Saat lagi, itu adalah reaksi atau fitrah yang normal bagi setiap insan yang berada dalam keadaan mental mereka terganggu. Tindakan berpura-pura itu tidak lain hanya untuk menyembunyikan perasaan dan emosi sebenar supaya orang tidak tahu keadaannya yang sebenar.

Inilah yang sering menjadi masalah ramai pesakit mental kerana sikap masyarakat yang sepi terhadap permasalahan mereka atau cara msyarakat yang suka bersikap menghakimi dan menghukum. Disebabkan sikap terebut ramai yang punya simtom, walaupun sedar, mereka takut untuk ke hadapan.
Sedihnya, apabila orang terdekat seperti ahli keluarga sendiri; suami, isteri, ibu bapa dan adik beradik tidak peduli atau tidak mahu mengambil tahu akan penderitaan mereka, lantas membuat pesakit berasa mereka hanya seorang diri mengharung cabaran yang sedang di laluinya.

Keadaan ini menjurus kepada kemurungan kronik hingga ada yang mengambil jalan mudah dengan membunuh diri kerana berasakan sudah tiada tempat untuk mereka berkongsi atau mencurahkan isi hati mereka di dunia ini.
Tiba Masanya – Notice, Listen and Act
Kini masalah gangguan mental tidak sepatutnya kekal menjadi stigma di kalangan masyarakat. Orang ramai mestilah sedar bahawa masalah gangguan mental adalah masalah masyarakat dan bukannya sekadar penyakit yang dilalui oleh individu.
Antara lain yang dibangitkan ialah jurang masalah di antara bandar dan luar bandar yang begitu ketara. Kadar gangguan mental yang tinggi telah direkodkan di pusat bandar seperti Kuala Lumpur serta kawasan luar bandar, khususnya di Malaysia Timur.
Dapatan Institut Kesihatan Negara (NIH), menunjukkan masalah didorongi oleh cabaran sosioekonomi, stigma tradisi dan budaya masyarakat yang menjadi tabu budaya yang berakar umbi dan kurangnya kesedaran sering menghalang individu daripada mendapatkan bantuan profesional dari awal.
Untuk pengetahuan, kebanyakan stress dan kemurungan berpunca daripada ekspektasi yang tinggi seperti tekanan di tempat kerja yang mana kajian menunjukkan bahawa lebih daripada 60% tenaga kerja mengalami tekanan yang ketara, yang memberikan kesan buruk terhadap produktiviti keseluruhan.
Ilmu dan kesedaran perlu dikembangkan. Semua perlu tahu apakah tanda-tanda amaran yang perlu diperhatikan oleh rakan atau ahli keluarga pada ahli keluarga mereka yang sedang dilanda masalah dan khususnya golongan Gen Z.
Ibu bapa turut boleh memainkan peranan besar dalam berusaha meningkatkan kefahaman dan ilmu bagaimana mengimbangi disiplin melalui sokongan emosi? Kita juga perlu menyokong dan berusaha mencari solusi bagaimana sekolah, pusat pengajian tinggi, dan tempat kerja untuk menyediakan suasana sekitar premis sekolah dan tempat kerja yang lebih baik dengan sistem yang membantu mengurangkan stress.
Dan peranan media dalam menyebar dan menyalur ilmu secara positif dan memberi maklumat kepada masyarakat amatlah diperlukan. Antaranya selain mengenal masalah gangguan mental, masyarakat perlu tahu bagaimana untuk mendapatkan bantuan.
Berbalik kepada acara petang tersebut diteruskan dengan persembahan pertunjukan fesyen santai oleh pereka terkenal sejak 90-an, Poya dan mempertonton gaya tradisional menawan untuk lelaki an Wanita daripada pelbagai fabrik termasuk batik dan songket.
Selain itu beberapa booth menjual barangan daripada perhiasan kemas, tudung dan barang-barang hiasan termasuk lukisan turut menjadi tarikan dan halwa mata buat para tetamu.
Sebelum menutup tirai majlis petang tersebut, Tuanku berkenan menyaksikan acara memotong kek bagi semua tetamu yang lahir pada bulan Julai 2026. Pelawaan yang disambut secara sporting oleh para tetamu akhirnya menyuntik suasana riuh rendah dan disusuli dengan dendangan lagu-lagu rancak membuat tetamu bangun dari tempat duduk masing-masing untuk sama-sama goyang badan.

Bagi yang masih duduk, masing-masing turut bertepuk tangan mengikut irama rancak yang cukup menghibur dan menceriakan. Akhir majlis, ada beberapa tetamu menyatakan rasa seronok dan mengucapkan tahniah kerana majlis serius seperti itu boleh saja disuntik elemen ceria.
Hingga ada yang bertanya, “When is the next event? Di mana akan diadakan? Inilah suasana yang kita inginkan, berada dalam majlis bermanfaat dan pada masa sama dapat berhibur, mendidik dan paling penting menyumbang untuk masyarakat.
