Image default
GAYA HIDUPKHAS WANITA IKON

WANITA IKON MUDA 2024 / 25

TAHNIAH PEMENANG WANITA IKON MUDA NEGERI 2024 / 2025

Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2024, adalah majlis gilang-gemilang yang dianjurkan dua tahun sekali oleh Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita JPW dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Lima (5) finalis Wanita Ikon Muda Negeri telah terpilih dan semua pemenang ini akan bertanding untuk merebut gelaran di peringkat nasional iaitu WANITA IKON MUDA MALAYSIA 2024/2025 di Majlis Makan Malam Anugerah Wanita Ikon Malaysia pada 22 September depan di Dewan Merdeka, World Trade Centre, Kuala Lumpur.

KWIM adalah badan NGO ditubuhkan oleh para pemenang dan finalis-finalis Anugerah Wanita Ikon Malaysia pada 2015, bertujuan untuk memartabat dan mengiktiraf kaum wanita yang cemerlang dan menyumbang kepada pembangunan serta pemerkasaan wanita di seluruh negara.

Presiden KWIM, Ybhg. Dato’ Normaziah Sheikh Mohamed menyatakan cara pengadilan untuk merebut gelaran WANITA IKON MUDA ini akan dilaksanakan melalui dua kaedah. 70% adalah daripada juri professional dan 30% lagi dari undian umum atas talian di laman sesawang Kelab Wanita Ikon Malaysia. Undian umum akan dibuka pada jam 9.30 malam 17 Julai – 15 September 2024.

Jadi, Jom! support ikon pilihan anda dan undi di:

https://kelabwanitaikon.com/vote-awim2425
https://kelabwanitaikon.com/vote-awim2425

WANITA IKON MUDA – SELANGOR

NUR HALIMAH BINTI MOHD SAIFUL RAHIM

Ts Nur Halimah Binti Mohd Saiful Rahim adalah seorang anak nelayan yang mempunyai impian menggunung. Beliau melangkau kekangan dan melepaskan diri daripada batasan kehidupan ke arah masa depan yang lebih cerah demi keinginan berkhidmat kepada agama, bangsa dan negaranya.

Beliau merangkul Anugerah Naib Canselor untuk Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembinaan di UiTM Shah Alam dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana.

Pada 2019 mengasaskan Hasara Solution dan perjalanannya yang luar biasa dalam industri pembinaan telah dibentuk oleh kerja keras dan daya tahan yang tinggi. Perniagaannya mendapat pengiktirafan yang ketara, antara lain, video yang dihasilkan khas oleh PKNS mengenai kisah kejayaannya memenangi tempat kedua dalam pitching terakhir di bawah program usahawan PKNS.

Beliau juga pernah ditonjolkan dalam program realiti ‘Sukses 4.0’ di bawah Astro Awani.

Demi meningkatkan kesedaran tentang sumbangan wanita dalam pembinaan, beliau secara aktif menggunakan platform media sosial, termasuk TikTok dengan kandungan yang memberi kesan, seterusnya menekankan kepentingan wanita dalam bidang ini.

Halimah juga diberi penghormatan sebagai salah seorang Gadis Inspirasi Selangor 2023. Dengan pelbagai pengiktirafan, dia berharap dapat memberi inspirasi kepada wanita untuk mengejar impian dan membuat perubahan.

“Mari kita cabar status quo dan pecahkan halangan bersama-sama. Sokong satu sama lain, kongsi pengetahuan dan beri inspirasi kepada generasi wanita akan datang dalam pembinaan. Sebagai wanita, kita mempunyai kuasa untuk mengubah industri kita dan komuniti kita,” katanya.


WANITA IKON MUDA KELANTAN

AMAL HAYATI BINTI JUSOH @ MOHD YUSOFF

Amal Hayati Binti Jusoh @ Mohd Yusoff graduan Universiti Teknologi Mara dalam jurusan Fizik Industri (Industrial Fizik) dan pernah bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat multinational (MNC) di Kulim Kedah.

Amal kemudian menceburkan diri dalam bidang keusahawanan gara-gara melihat kegigihan ibunya membina perniagaan. Hobi membaca buku-buku motivasi sedari umur 19 tahun menghasilkan buku pertamanya bertajuk ‘SihatWitMe’ yang bertemakan kehidupan yang mencabar yang dilalui dengan positif dan penuh kesabaran.

Amal sangat komited dalam membantu masyarakat dan mendapat pengalaman menyantuni asnaf sewaktu PKP. Menubuhkan kumpulan tertutup di media sosial untuk membantu golongan wanita yang memerlukan sokongan moral terutamanya dari segi emosi dan pembangunan spiritual.

Manifesto beliau, ‘Peribadi Wanita Berilmu Tunggak Kebahagiaan Dan Kejayaan’ Dengan panduan ilmu, akan terdidiknya akhlak dan peribadi wanita, dengan akhlak yang baik, wanita akan bahagia dan berjaya dalam apa sahaja bidang yang diceburi.


WANITA IKON MUDA SABAH

CIK NORSIDAYATI BINTI MUSTARI

Cik Norsidayati Binti Mustari, 35, ramah disapa Sis Bell, dari Tawau, Sabah adalah contoh perjalanan kejayaan ‘zero to hero’. Sangat berdikari dan tidak pernah menyerah kepada cabaran.

Meskipun hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sis Bell memilih untuk meningkatkan nilai diri melalui pembelajaran berterusan, baik secara formal atau sebaliknya. Dengan semangat, dedikasi dan berkomitmen, beliau menghasilkan produk pencerah kulit yang berkesan dan berkualiti daripada bahan mesra alam.

Kerana sifatnya yang peka persekitaran dan masyarakat, Cik Norsidayati turut mengadakan peluang pekerjaan dan kemajuan diri kepada generasi muda dengan menyediakan teknologi terkini, latihan komprehensif, serta bimbingan dan sokongan berterusan untuk membantu wanita mencapai potensi penuh.

Beautyspells yang diasaskan oleh Sis Bell, berpegang kepada nilai ‘berkongsi’ dan prinsip membangunkan perniagaan secara ‘berkongsi manfaat serta rezeki’  menembusi pasaran Asia melalui pengedar dan pengeluar di Indonesia, Filipina, Brunei, Bangkok, Vietnam dan Singapura.

Meneruskan aktiviti komunitinya, beliau menubuhkan program CSR, Beautyspells Bersamamu, dan berkhidmat menyumbang kepada komuniti sejak 2020. Pelbagai program diadakan bertujuan menginspirasi wanita untuk mencipta kejayaan dan berkongsi rezeki. Semua usaha tersebut telah memupuk nilai dalam diri agar tidak melupakan niat asal kejayaan, iaitu berkongsi manfaat dan rezeki. 

“From nothing to something, from nobody to somebody, maybe not today, but definitely someday,” pegangannya sepanjang perjalanan dari zero to hero Sis Bell. Harapan Sis Bell setiap pencapaian akan menjadi inspirasi buat wanita agar berkeyakinan mewujudkan impian tanpa batas. Perjalanan kejayaan mungkin mencabar tetapi menjadi ‘perasa’ buat kisah kita untuk diceritakan kepada generasi akan datang.


WANITA IKON MUDA JOHOR

MASITAH MOHD AFANDY

Dilahirkan dan dibesarkan di Johor Bahru, Johor Darul Takzim, Masitah binti Mohd Afandy, atau lebih mesra dikenali sebagai Mashy, adalah seorang wanita yang melambangkan keberanian, ketabahan, kebaikan, dan semangat untuk meneruskan hidup. Nilai-nilai terasnya menjadi tunggak kepada misinya yang teguh: untuk memperkasakan dan memberi inspirasi kepada orang lain. Beliau seorang pemimpin berwawasan dan disegani baik di dalam atau di luar bidang perniagaan

Berbekalkan pengalaman selama lebih 14 tahun, Mashy kini berjaya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat miliknya, NM Aircond Sdn. Bhd. dan pengasas Aircondxpress.com. Cita-citanya bukan sahaja berorientasikan perniagaan; beliau membayangkan untuk memacu syarikatnya menjadi peneraju industri menjelang 2030 melalui gabungan kepimpinan berprestasi tinggi dan budaya syarikat yang berkembang pesat.

Pengaruh Mashy melangkaui bilik mesyuarat, dan kuasa besar media sosial digunakannya dengan bijak dan sepenuhnya. Dengan caranya yang tersendiri, beliau telah menjadi salah seorang pempengaruh di media sosial dengan pengikut yang ramai: lebih 100,000 di Facebook dan Instagram, dan jumlah yang mengagumkan iaitu 300,000 pengikut di TikTok.

Beberapa pengiktirafan, antaranya Anugerah Inspirasi Pesona Wanita Johor 2023 Top 5 Calon GEMPAK Most Wanted Bagi Kategori (Digital Motivator), Wanita Ikon (Muda) Negeri Johor 2024 / 2025 dan Juara untuk Kebaikan Sosial, Memimpin dengan Contoh Teladan yang diterimanya mencerminkan semangat dan dedikasi Mashy.

Sejak tahun 2020, Mashy dengan lantang menyuarakan kepentingan tanggungjawab sosial. Komitmennya melebihi kata-kata belaka. Beliau telah memimpin lebih daripada 25 projek dengan jayanya dan malah telah menubuhkan pasukannya sendiri dalam CSR, yang dikenali sebagai Chasing Barakah Reverence (CBR). Melalui CBR, beliau secara aktif membantu pelbagai golongan seperti anak yatim, golongan gelandangan, ibu tunggal, dan golongan kurang bernasib baik.

Lebih dari sekadar anugerah dan populariti, Mashy memberi impak melalui kepercayaan yang teguh dalam usahanya memperkasa wanita. Beliau sering mengatakan: “Kesyukuran, ketenangan, kebahagiaan kunci daya tahan dan kebangkitan seorang wanita.”

Masitah binti Mohd Afandy adalah pemimpin serba boleh. Beliau seorang usahawan yang berani, suara media sosial yang berpengaruh, dan penyokong utama bagi mereka yang memerlukan. Bukan itu sahaja, beliau melambangkan semangat Masyarakat, khususnya kaum wanita Johor dan menginspirasi orang lain untuk mencapai potensi penuh mereka.

Aktif dalam kegiatan NGO dan program-program keusahawanan. Banyak permasalahan masyarakat berjaya diselesaikan seperti yang pernah tersiar di akhbar tempatan. Konsisten membuat kerja amal, persatuannya memberi sumbangan dan keperluan secara tetap setiap bulan.

Beliau mempunyai banyak pencapaian hingga ada program keusahawanannya mendapat Anugerah Malaysia Books of Record. Bantuan-bantuan bukan sahaja disalurkan dalam negara tetapi juga di luar negara termasuk Palestin. Seorang yang tabah dengan membesarkan empat cahaya mata sendiri. Prinsip hidupnya ialah, selagi ada usaha, kejayaan pasti menjadi kenyataan.


WANITA IKON MUDA – NEGERI SEMBILAN

NORSHELA BINTI ZAKARIAH
Norshela Binti Zakariah, 35, cemerlang berinteraksi dengan masyarakat pelbagai kaum dan agama. Ini adalah hasil persekitarannya yang dibesarkan di Kota Kinabalu, Sabah.

Sewaktu menuntut dalam bidang psikologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Norshela melibatkan diri dalam gerak kerja sosial bersama Malaysian Medical Relief Society (MERCY) Malaysia. Juga menganggotai Pasukan Simpanan Sukarelawan Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM) dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda TUDM pada tahun 2012.

Norshela kemudiannya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (UM) dalam bidang integrasi serantau dunia dan memperoleh Ijazah Sarjana pada 2013. Pengalaman paling berharga buatnya ialah apabila memperoleh pengalaman  latihan amali di kem pelarian Mae Hong Son (sempadan negara Thailand dan Myanmar).

Usai pengajian bertugas sebagai pegawai pelindung pelarian di UNHCR Kuala Lumpur dan juga pernah menjadi pensyarah di Kolej Teknologi Alpha Seremban dan mengajar program komunikasi Universiti Utara Malaysia (UUM) di peringkat Sarjana Muda sehingga 2020.

Oleh sebab kecenderungan Norshela dalam kerja-kerja kemasyarakatan, beliau melibatkan diri secara aktif bersama masyarakat di sekitar Negeri Sembilan khususnya di daerah Seremban. 

Beliau dilantik sebagai Pembantu Ahli Majlis MBS sejak 2021 sehingga kini. Pernah menjadi pegawai penyelidik kepada EXCO Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan pada 2021 dan sekarang menjadi pegawai khas kepada EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan. Beliau juga dilantik sebagai Pembantu Pelindung Kanak-Kanak Daerah Seremban dan juga Penasihat Makhamah Kanak-Kanak Daerah Seremban sejak 2023 sehingga kini.

Norshela percaya, kesejahteraan dan kelestarian masyarakat umumnya adalah tanggungjawab bersama. Falsafah hidupnya mudah, pikullah tanggungjawab dan tangani kesulitan yang mendatang sebaik mungkin untuk menjadi lebih bagus dan contoh kepada yang lain.

Related posts

 BMW i4 eDrive35 Dalam Dua Varian Elektrik

adminwm

MERAIKAN KEMENANGAN PARA PEMENANG OLIMPIK KULINARI 2024 MALAYSIA

adminwm

Misteri Alam Cantik

admin

Leave a Comment