Bertempat di Wyndham Acmar Klang, berlangsungnya majlis sidang media pelancaran Program Explorasi Usahawan Wanita (EUW), satu inisiatif kerjasama antara Koperasi Wanita Malaysia Berhad (WCB) dan FAR Academy, dengan sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (KUSKOP). Majlis petang Isnin itu telah membawakan satu pengumuman mengenai program pembiayaan baharu bernilai sehingga RM20,000 untuk usahawan wanita dalam industri kecantikan.
Ketika menyampaikan ucapannya, Pengerusi Koperasi Wanita Malaysia Berhad (WCB), Datuk Nazilah Hj Idris berkata, “Program EUW merupakan pemangkin dalam memperkasa usahawan wanita Malaysia untuk bersaing di peringkat global. Dengan sokongan padu daripada pelbagai pihak berkepentingan dan kerjasama antarabangsa dengan Farmasi dari Turki, kami yakin dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan antarabangsa untuk usahawan tempatan.”
Usahawan wanita yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dan memohon pembiayaan melalui mana-mana institusi rakan kongsi program ini. Antara platform yang boleh dihubungi termasuklah laman web rasmi Amanah Ikhtiar (aim.gov.my), Usahanita (usahanita.gov), KoPutri (koputri.com.my), Hijrah Selangor (hijrahselangor.com), Tekun (tekun.gov.my), Angkasa (angkasa.coop), Coop Bank (cbp.com.my), Kopsya (kopsya.coop), MARA (mara.gov.my), KOOP Sahabat (koopsahabat.my), dan WCB (wcbmalaysia.com).
Program transformatif ini telah mendapat sokongan padu daripada rangkaian institusi kewangan dan koperasi terkemuka negara. Dua belas institusi, termasuk Amanah Ikhtiar, Tekun, MARA, dan Angkasa, telah berganding bahu untuk merealisasikan inisiatif ini. Kerjasama strategik ini bertujuan membuka peluang perniagaan yang lebih luas kepada usahawan wanita tempatan, terutamanya dalam industri kecantikan yang semakin berkembang pesat.
Melalui kerjasama istimewa dengan jenama kosmetik dari Turki iaitu Farmasi, program ini akan memberi akses kepada produk kosmetik, penjagaan kulit, dan nutrisi kesihatan bertaraf antarabangsa. Usahasama Malaysia-Turki ini dijangka memberi impak positif yang signifikan kepada ekonomi Malaysia, sambil mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab perniagaan serantau yang dinamik.
Selari dengan pelancaran program ini, ia akan dimeriahkan lagi dengan penganjuran Konsert Farmasi Soundzation yang bakal berlangsung pada bulan November 2024 di Megastar Arena, Kuala Lumpur. Menariknya, konsert ini akan menampilkan gabungan persembahan istimewa daripada Elly Mazlein dan penyanyi dari seberang, iaitu Bunga Cinta Lestari dan Ghea Indrawari.
Bertemakan ‘Gabungan Perpaduan Adunan Muzik dan Kecantikan’, konsert ini menjanjikan satu pengalaman liburan yang lebih daripada sekadar nyanyian semata. Ia turut diselangi latar inspirasi yang pasti memberi makna kepada para penonton. Diharapkan ia menjadi simbol perpaduan dan pemerkasaan wanita melalui seni dan kecantikan. Para pengunjung berpeluang memenangi sebuah kereta Perodua Bezza melalui cabutan bertuah yang akan diadakan ketika konsert berlangsung.
Konsert ini menawarkan lima kategori tiket dengan harga bermula dari RM288 (Silver), RM488 (Gold), RM688 (Platinum), RM888 (Diamond), hingga RM1,088 (VIP). Para peminat boleh membeli tiket melalui laman web iLasso Tickets, dan setiap tiket melayakkan pemegangnya untuk menikmati persembahan bertaraf dunia serta pelbagai ganjaran istimewa.