Pemain Kebangsaan Malayan Tigress, Steffi Sarge Sidhu kini jenama in house yang meniti di bibir peminat bola sepak negara dan menjadi ikon bola sepak bagi peminat wanita sukan tersebut.
Dikenali sebagai Steffi Sidhu dan dilahirkan dalam keluarga ahli sukan, anak muda yang mempunyai darah kacukan Siam, Cina dan Punjabi mengakui, sejak kecil lagi dia memupuk minat bermain bola sepak, sehinggalah dewasa minat itu tidak pernah pudar. “Sepanjang waktu saya membesar, di seluruh Taiping, tak ada budak perempuan main bola sepak kecuali saya.”
Bagaimana dan dengan siapa Steffi bermain bola sepanjang waktu itu jika tiada kawan untuk bermain? “I played with the boys dan dengan adik-beradik lelaki,” cerita Steffi, “Saya tak main masak-masak macam budak perempuan lain. Tak main anak patung pun.” Aktif bersukan, Steffi juga bagus dan serius dalam beberapa bidang sukan lain termasuk futsal, badminton, bola jaring, rugbi, bola baling dan juga hoki. Ketika di sekolah menyertai banyak pertandingan peringkat kebangsaan dan mewakili negeri Perak.
Lebih menarik lagi dia pernah mewakili Malaysia untuk beberapa acara rugbi sekitar 2008 dan kini giat dalam footgolf juga. Namun demikian di antara semua sukan tersebut hatinya begitu dekat dengan bola sepak dan hinggalah dia diberi gelaran Ratu Bola Sepak Wanita Negara.
Mungkin kala ibu lain sibuk menasihati anak gadis mereka supaya menjauhi beberapa jenis sukan yang mereka anggap sedikit ganas dan tidak sesuai untuk anak gadis mereka, Steffi beruntung kerana kedua ibu bapa dan keluarga menyokong minat dan hobinya itu.
Tamat belajar, Steffi membuat pilihan sendiri menentukan kerjaya dan masa depan. Begitupun nampak mudah baginya kerana sentiasa mendapat restu dan sokongan ibu bapa dan keluarga, perjalanan dunia kerjayanya sebagai seorang pemain bola sepak wanita profesional tidak semudah yang ramai jangkakan. Ikuti kisah perjalanan dunia bola sepaknya yang menarik dan juga penuh dengan cabaran.
Apa yang Steffi lalui sejak mula mendekati sukan ini dan bagaimana Steffi bermula secara profesional?
Agaknya bola sepak takdir kerjaya saya. Sejak kecil saya memang secara tersendirinya terdedah dengan sukan ini. Sejujurnya, saya bermain pelbagai jenis sukan dan boleh dikatakan bagus juga bakat saya dalam sukan seperti hoki dan futsal, tetapi entah mengapa, melekat pada bola sepak.
Persekitaran saya membesar baik di rumah mahupun apabila sudah bersekolah, saya sentiasa berada dalam masyarakat yang menjadikan bola sepak bukan sahaja hobi tetapi sesuatu yang dekat di hati kami hingga boleh dijadikan kerjaya. Apa pun saya amat bersyukur kerana ibu bapa dan ahli keluarga sentiasa menyokong pilihan
saya.
Ketika di sekolah saya banyak bermain sukan lain kerana waktu itu tiada sukan bola sepak untuk budak seperti saya dan memang tiada banyak pun perlawanan untuk remaja perempuan. Sebab itu saya bermain bola sepak di luar sahaja dan masyarakat ketika itu baru mula tahu mengenainya.
Apabila saya remaja, minat itu semakin mendalam dan saya mengambilnya serius. Alang-alang minat biar ia jadi satu kerjaya dan boleh mencari rezeki. Lepas SPM saya menyertai sukan wanita pada 2006 lalu mewakili Perak dalam bola sepak wanita.
Bagaimana saya bermula? Saya mula bermain secara professional agak awal. Ketika usia 17 ada pemilihan untuk pasukan perak di Taiping dan saya tersenarai dalam pilihan saringan hinggalah saya diserapkan dan bermain dalam Pasukan Bola Sepak Wanita Perak.
Ketika mencecah usia 18 saya sudah menyertai banyak perlawanan di dalam juga di peringkat luar termasuk Sea Games. Di peringkat awal saya turut mempunyai pekerjaan tetap di Majlis Perbandaran Subang Jaya walaupun saya bermain bola secara profesional.
Apa pendapat Steffi mengenai stigma atau pandangan negatif sesetengah orang tentang wanita dan bola sepak?
Hmm! Saya dah muak dengan sindiran dan soalan sinis… betul ke awak boleh main bola sepak? Awak budak perempuan, pergilah main anak patung dengan budak perempuan kat rumah tu, atau selalu dengar, girls should stay in the kitchen. Sebagai kapten pasukan bola sepak negara, jiwa saya perlu besar daripada itu dan saya mesti lepasi semua halangan dan hal-hal seremeh itu. Saya punya misi dan tugas lebih besar dalam penglibatan saya dengan bola sepak.
Sebaliknya semua sindiran tersebut tidak pernah melemah mahupun mengurangkan sedikitpun semangat saya untuk meneruskan hasrat menjadi seorang pemain bola sepak terkenal satu hari nanti. Lagipun itu masa dulu-dulu, masyarakat sekarang agak lebih moden dan sudah ramai yang bersikap terbuka. Malah ibu-bapa menghantar anak-anak perempuan mereka masuk berlatih dalam kumpulan bola sepak sebagai sukan pilihan.
Lari seketika daripada topik bola, dan ironinya, Steffi berterus-terang menyatakan bahawa selain berhasrat menjadi pemain bola sepak terkenal, dia pernah menyimpan impian menjadi seorang pramugari. Boleh kongsi sikit hal ini?
Hmmm! Begitupun pernah menyimpan hasrat tersebut, saya sedar sebenarnya jiwa saya tidak di bidang hospitaliti atau perkhidmatan seperti itu, dan ia agak bertentangan sifat semulajadi saya. Saya sukakan sukan lasak dan rancak. Jauh di lubuk hati, saya sedar bola sepak adalah jiwa dan raga saya.
Itu membuat saya berfikir berkali-kali dan amat berterima kasih kepada kedua ibu-bapa yang menyokong minat saya dari awal. Saya tahu tugas seorang pramugari tentu saja akan menghalang minat untuk mencapai impian menjadi seorang pemain bola sepak memandangkan masa bekerja yang tidak menentu, dan pasti tiada masa untuk bermain bola sepak.
Kekangan dan cabaran saya ialah senario dunia bola sepak itu sendiri. Bola Sepak Wanita masih sesuatu yang baru, ini memberi cabaran hebat kerana selain bermain untuk menang, kita berjuang untuk mempopularkan sukan tersebut. Kedudukan dan prestasi sukan Bola Sepak Wanita di negara kita masih agak jauh berbanding dengan negara-negara maju malah jika dibandingkan dengan sesetengah negara jiran di peringkat Asia kita jauh ke belakang. Jujur saya kata pasukan Bola Sepak Wanita kita belum ke tahap boleh dibanggakan sangat dan masih banyak yang perlu diiperbaiki dan dipertingkatkan.
Pelbagai pandangan mengenai industri sukan ini. Apakah Steffi yakin Pasukan Bola Sepak Wanita akan popular dan sudah ada peningkatan?
Sebagai seorang yang dekat dengan sukan ini dan terlibat secara langsung dalam perkembangannya setiap hari, saya boleh katakan setiap tahun ada peningkatan. Saya yakin kita sebenarnya mempunyai ramai pemain bagus di luar sana. Dan mereka hanya menunggu untuk dicungkil bakat yang ada. Apa pun saya dapat rasa dan lihat ia semakin berkembang walaupun agak lembab.
Ramai suka membandingkan pasukan kita dengan pasukan bola sepak dunia yang mempunyai pengalaman dan pendedahan yang hebat. Malah ramai mencemek dan ada yang memberi reaksi memerli bila menyebut mengenai Pasukan Bola Sepak Wanita Negara dan masa depan sukan ini.
Masyarakat sering berpendapat sukan bola sepak wanita bukan jenis sukan yang boleh mendapat tempat dan dipopularkan di Malaysia. Begitupun ia tidak menjejaskan sedikitpun minat dan hasrat saya untuk terus berjuang dan memartabatkan sukan ini di kalangan wanita sepertimana sukan lain yang popular.
Jika demikian dan berasakan perkembangannya masih lembab, mengapa Steffi masih terus bermimpi?
Saya tidak bermimpi. Saya melihat diri dan penglibatan saya ini sebagai penggerak yang memungkinkan sukan ini didedahkan kepada masyarakat secara lebih meluas. Mungkin saya sendiri pun tidak dapat merasakan atau melihat hasil perjuangan saya sepanjang kerjaya ini, namun saya yakin bahawa perlunya ada satu usaha dan titik mula yang menggerak ke arah itu. Dan inilah ia antara usaha dan pengorbanan saya.
Memang sukar dan memerlukan kerja keras daripada banyak pihak untuk merealitikannya, Namun saya yakin sekiranya dilakukan secara teratur dan mengikut perancangan yang teliti dan profesional serta melalui campur tangan badan-badan berkaitan, khususnya pihak kerajaan dan swasta, kita akan berjaya.
Banyak negara sudah menerima sukan ini secara meluas, malah mereka mempunyai beberapa pasukan wanita dalam negara mereka. Misalnya untuk pasukan kebangsaan, mereka punya pasukan pertama, kedua dan seterusnya
sedangkan kita hanya ada satu sahaja, itu pun bukan semua pemain melibatkan diri secara sepenuh masa. Kebanyakan mereka mempunyai pekerjaan lain di samping menjadi ahli pasukan bola sepak negara.
Ini secara tidak langsung mengurangkan persaingan antara pemain dan sudah pasti hasrat untuk mencungkil bakat-bakat baru akan terjejas. Dan impian menjadikan ia sukan popular di kalangan remaja wanita juga sudah tentulah lebih sukar.
Begitupun, kebelakangan ini banyak usaha pihak Kementerian berkaitan dan swasta dalam mempromosi sukan ini di kalangan wanita. Ini sedikit sebanyak membantu industri dan memudahkan usaha mereka seperti saya, yang ingin melihat bola sepak wanita diminati.
Usaha ini amat kami hargai kerana ia memungkinkan kumpulan sasar, khususnya peminat sukan ini didedahkan dan membuka peluang untuk dijadikan ia kerjaya sepenuh masa mahupun sekadar sambilan. Waktu saya mula dulu tak ada akademi mahupun liga dan secara professional tak ada pasukan pun. Tapi sudah ada perkembangan daripada sudut itu.
Jika begitu senarionya, bermakna masa depannya memerlukan lebih banyak usaha. Bagaimana Steffi meyakinkan diri dan tegar dengan pendirian? Pada pandangan Steffi, apa yang harus dilakukan sekarang ini?
Apa yang kita perlukan sekarang ini ialah lebih kempen mempromosi sukan ini dan memberi pendedahan kepada masyarakat. Saya percaya jika ada strategi dan disusun dengan sungguh-sungguh tidak mustahil akan menarik lebih ramai remaja perempuan untuk merapati sukan paling popular di dunia ini.
Seperti yang saya katakan negara memerlukan lebih skuad dan peluang bermain dalam pelbagai peringkat perlawanan dan liga. Negara memerlukan pihak swasta untuk mengambil bahagian. Walaupun kita sudah ada penaja yang bagus tetapi kita memerlukan penajaan dan komitmen yang lebih besar. Jika sukan lain yang diceburi
ada penaja besar dan gah untuk menyokong aktiviti dan pergerakan dari belakang, mengapa tidak pasukan Bola Sepak Wanita?
Bagi saya, setiap tahun ada peningkatannya kerana semakin ramai pemain bagus muncul di luar sana dan dapat dilihat trend ini semakin berkembang kerana lebih banyak perlawanan dianjurkan dan saya berharap ia akan terus berkembang dari semasa ke semasa.
Liga FAS adalah permulaan bagi Selangor FC yang mana mereka anjurkan kejohanan pertama untuk Bola Sepak Wanita, selepas itu ada Liga Wanita Nasional (LWN) dan pada hujung tahun ini ada perancangan akan mengada kejohanan jemputan antarabangsa.
LWN penting buat saya dan Sukan Bola Sepak Wanita Negara. Saya menyifatkan penambahan dua pasukan menjadikan jumlah keseluruhan lapan pasukan adalah petanda, sambutan di tahun ketiga penganjuran lebih baik dan mula mendapat perhatian. Seperti yang dijangkakan perebutan juara lebih menarik kerana penglibatan ramai pemain berstatus kebangsaan menjadikan kualiti liga dipertingkatkan. Buat masa ini saya mahu fokus dan mengambil sikap positif. Saya tidak mahu ada sikap negatif dalam diri ini kerana ia akan hanya menurunkan
semangat saya juga khususnya untuk pasukan.
Kekangan kewangan dan kekurangan penajaan adalah penyebab utama yang melemahkan pelbagai usaha mempromosi sesuatu sukan. Apa pandangan Steffi?
Sudah tentu setiap usaha dan langkah memerlukan duit. Jika banyak promosi dan pendedahan tentulah lebih ramai masyarakat akan terdedah dan menarik minat mereka mendekati sukan ini. Dari situlah bermulanya peluang-peluang untuk pemain pergi jauh dan mewakili negara hingga ke peringkat Asia dan seterusnya ke antarabangsa.
Begitupun kita sudah punya empat lapisan liga besar untuk pemain profesional untuk lelaki seperti Malaysia Super League (M1), Malaysia Premier League (M2), Malaysia M3 League, dan Malaysia M4 League, namun kita memerlukan lebih peluang itu untuk pasukan wanita.
Di Barat dan Eropah khususnya sukan ini diterima sebagai satu peluang untuk menjana ekonomi, baik daripada pemain yang mana mereka boleh menjadi jutawan, kelab-kelab juga meraih keuntungan ratusan juta pada setiap musim perlawanan besar. Malah penaja menjana lebih banyak keutungan melalui produk sukan yang mereka hasilkan dan seterusnya menjadi pemangkin kepada ekonomi negara tersebut seperti di Eropah dan di Brazil contohnya. Apakah Malaysia juga boleh mencapai ke tahap itu?
Malaysia terlalu kecil untuk sampai ke tahap sebegitu besar. Apa pun perlu ada satu usaha lebih besar dan perlu penglibatan negara serantau. Pertama perlu ada usaha memupuk minat dan menjuruskan masyarakat untuk bersaing. Hal-hal lain seperti peningkatan mutu permainan, tangga bayaran gaji yang jauh lebih tinggi buat
pemain akan dengan secara tidak langsung akan turut menyokong usaha hingga terlaksana.
Secara mental dan kejiwaan, apa fokus dan persediaan Steffi pada setiap perlawanan? Dan apa nasihat Steffi sebagai ketua pasukan?
Sejujurnya, tidak kira kecil mahupun besar sesuatu perlawan dan bagus atau tidak pihak lawan, saya tegaskan diri supaya tidak berasa over confident. Ini tidak bagus untuk pemain. Sebenar setiap kali perlawanan, kami hadapi dengan semangat juang yang sama… and everyone should give their best.
Fokus saya kala bermain dalam perlawanan, juga yang saya tegaskan kepada team ialah bekerja lebih keras daripada perlawanan atau aksi sebelumnya. Do your best or to the max di atas padang menjadi faktor utama kejayaan pasukan.
Paling penting pemain mesti ada kesedaran untuk apa bermain, mesti ada komitmen yang tinggi dan sentiasa menjaga disiplin dan kawalan emosi yang kuat. Sebagai ahli sukan perlu jaga pemakanan dan waktu tidur. Semua faktor itu kalau tidak diberi perhatian boleh saja melemahkan semangat
Bola sepak adalah makanan Steffi, bagaimana pula dengan beberapa sukan lain yang Steffi pernah ceburi juga dengan baiknya seperti hoki dan footgolf misalnya? Cerita sikit.
Seperti yang saya katakan saya memang meminati pelbagai jenis sukan, termasuk hoki ketika di sekolah dan sekarang secara serius juga dalam footgolf. Impian saya ialah untuk menjadi pemain top three. Tentulah lebih baik jika saya mampu menyandang gelaran champion. Sekarang saya bukan sahaja banyak berlatih bermain footgolf tetapi saya juga turut mengajar dan memberi latihan untuk generasi muda yang berminat dalam sukan ini. Secara tidak langsung saya turut mempromosikan sukan ini untuk dipopularkan di sini.
Boleh kongsi dengan peminat disiplin latihan dan diet Steffi?
Setakat ini saya melalui rutin latihan yang agak keras antaranya latihan berlari lima kilometer tiga kali seminggu. Selain itu ada juga latihan-latihan yang kami buat di gym dan lalui program latihan khas menjelang perlawanan khususnya yang besar seperti Liga Wanita Negara.
Dari segi diet pula, saya tidak ada diet plan tertentu. Biasanya saya makan apa yang saya suka tapi tentulah secara bersederhana. Paling ketat diet saya ialah no junk food at all. Ini antara pantang larang yang saya cuba pastikan saya tidak langgar. Selain itu saya cuba ikuti kaedah diet sihat kebiasaan yang diamalkan ahli sukan profesional yang mana mereka makan jumlah protein, serat, air dan zat-zat yang diperlukan dan memberi fokus kepada makanan penting untuk pertumbuhan dan kesejahteraan tubuh badan.
Supplements, itu adat lah kita ambil yang patut-patut sahaja untuk menambah jika ada kekurangan zat tertentu dan yang diperlukan oleh tubuh badan seperti ahli sukan secara umumnya.
Ceritakan sedikit pengalaman perlawanan Sea Games yang anda sertai?
Saya telah menyertainya beberapa kali. Yang pertama adalah pada 2007 yang berlangsung di Thailand dan kemudian 2013 di Myanmar dan kemudian pada 2017 yang diadakan di Kuala Lumpur. Sea Games juga merupakan pengukur kekuatan pemain dan pasukan di peringkat lebih tinggi dan berprestij.
Pernahkah Steffi mengalami kecederaan teruk yang tidak boleh dilupakan sepanjang bermain sukan ini?
Pernah. Saya pernah mengalami kecederaan di bahagian hamstring pada 2015 dan mengambil masa juga proses pemulihannya. Agak mengerikan sebenarnya kerana saya perlu dicucuk dengan jarum sepanjang 10 sentimeter dan tebal pula! Saya dicucuk di bahagian punggung untuk mengambil 10 tiub darah saya.
Mereka perlu lakukan itu kerana mahu memproses darah tersebut dan kemudian mencucuknya kembali ke dalam tubuh saya melalui punggung juga. Perit! Tetapi kini sudah kembali pulih sepenuhnya. Segalanya berpunca kerana saya tidak melakukan stretching dengan betul dan mungkin kerana overused juga.
Apakah yang Steffi rasakan paling berat kala berlatih?
Paling mencabar ialah main waktu pagi jam 9 pagi dan petang di mana matahari terik sangat. Lebih lagi waktu sekarang. Tapi kebiasaan juga kami jalankan latihan waktu malam. Memandangkan ramai yang mempunyai pekerjaan tetap dan bekerja pada waktu siang, latihan waktu malam memang bagus untuk semua pemain hadir.
Siapakah idola Steffi dalam dunia sukan?
Saya sangat meminati Nicol David. She is so perfect. Dia juga satu dalam sejuta. Walaupun sukan skuasy ini tidak diiktiraf di Olimpik, namun saya pasti jika acara skuasy diwujudkan dalam pertandingan besar seperti itu, tentulah Dato Nicol menjadi orang yang pertama merangkul beberapa pingat emas buat negara. Beliau seorang yang sangat berdisiplin dalam latihan. Dia juga seorang yang sangat fit dan menjaga fizikal badan.
Jika di dalam sukan bola sepak, semestinya Messi, Ronaldo serta Neymar menjadi idola saya. Martha adalah ikon saya dalam Sukan Bola Sepak Wanita dan dia kini berusia 38 tahun. Menariknya, dia masih bagus dan beraksi untuk pasukan negaranya walaupun menjangkau usia 40.
Menyentuh perihal keganasan yang berlaku di dalam arena bola sepak negara misalnya yang terjadi kepada pemain kebangsaan Harimau Malaya, Faisal Halim yang menjadi mangsa disimbah asid baru-baru ini, apa kata Steffi?
Sebagai ikon Bola Sepak Wanita Negara saya mendesak agar keganasan bola sepak dapat dihentikan segera kerana kami sebagai pemain profesional sekadar mencari rezeki dan bermain kerana minat dan cinta kami terhadap sukan ini.
Saya sedih, kerana bola sepak adalah sukan yang menyatupadukan masyarakat dan bukan sebaliknya. Tidak sepatutnya dipolitikkan mahupun untuk menimbulkan keganasan dan kita perlu positif kerana bagi saya keganasan dalam bola sepak adalah satu perkara yang kurang manis.
Mengenai usia meningkat dan peluang berkurangan apabila seseorang ahli sukan itu menjejaki usia 30, apa pandangan Steffi dengan kenyataan itu? Dan bilakah agaknya untuk bersara daripada arena sukan yang Steffi cintai ini?
Tidak dinafikan memang ramai ahli sukan daripada bola sepak, tenis, badminton dan banyak lagi yang menyimpan sejarah di mana pemainnya bersara selepas menjangkau usia awal 30-an. Namun begitu, saya yakin bahawa saya akan bertahan.
Menyebut hal itu saya menyarankan mana-mana ahli sukan, tidak kira apa jua sukan yang mereka minat dan ceburi, supaya bekerja keraslah ke arah menjadi pemain yang bagus. Saya pun begitu juga, tidak terkecuali. Jika tidak berusaha keras, bersikap positif dan fokus saya tidak mungkin dapat meneruskannya… apa lagi untuk berada di sini pada usia ini.
Bersara? Tidak pernah terfikir lagi hal itu. Pada usia 35 tahun ini, saya tidak pun berasa gentar malah amat berharap saya mampu bertahan mungkin lima tahun atau lebih lagi jika saya kekal positif, kerja keras, berdisiplin dan masih relevan untuk pasukan. Age is just a number!
Seandainyalah tidak mula bermain bola lagi secara professional, apa perancangan Steffi untuk meneruskan masa depan?
Mungkin dalam 10 tahun yang akan datang saya melihat diri ini akan terus relevan. Mungkin sebagai seorang jurulatih skuad bola sepak wanita kebangsaan… atau mungkin seorang jurulatih untuk sukan footgolf. Siapa tahu? Kita tidak tahu sebagus mana kita jika kita tidak mencuba.
Harapan dan impian Steffi mengenai masa depan bola sepak negara, khususnya untuk wanita?
Tentulah saya ingin melihatnya berkembang pesat dan menjadi sukan popular untuk wanita. Selain itu saya mahu status Bola Sepak Wanita mendapat penilaian sama rata baik daripada segi peluang, tajaan dan juga daripada sudut imbuhan untuk para pemain. Saya yakin dengan peluang-peluang dan insentif ini akan mendorong dan
menarik minat ramai untuk menyertainya.
Boleh Steffi kongsi sedikit mengenai perlawanan yang baru saja berlangsung tadi dan imbas kembali beberapa perlawanan yang lalu?
Kedua-dua pasukan sangat seimbang di mana pasukan Selangor juga mempunyai skuad yang cukup bagus dan pasukan saya juga. Perlawanan tadi adalah perlawanan mentaliti dan siapa yang bekerja keras dia akan menang. Jadi saya rasa pasukan MBSJ bekerja lebih keras membuatkan kami memperoleh kemenangan. Saya bangga dengan rakan sepasukan saya kerana setiap pemain memberikan aksi terbaik.
Sebelum itu Red Eagles menang 4-0. Begitupun saya rasa tidak begitu bagus permainan kami. Tapi alhamdulillah sebagai pemain bola sepak wanita Sabah FA, saya akui pasukan kita adalah pasukan ‘underdog’ untuk kejohanan AFC Women’s Champions League (AWCL) yang berlangsung dari 3 hingga 9 Oktober 2024 di Wuhan, China.
Kami sedar Sabah sebuah pasukan ‘underdog’ dan untuk menentang tiga pasukan lain yang merupakan pasukan terbaik di Asia. Kita tidak dapat meramalkannya tapi yang pasti kami lakukan yang terbaik untuk setiap perlawanan dan memanglah berharap menempa sejarah untuk Malaysia dan juga Sabah.
Apa pun sebelum itu, kami telah berjaya menjadi juara Asia dalam sukan footgolf selepas menewaskan juara dunia dari Jepun di perlawanan akhir Terbuka Malaysia 2024 yang berlangsung di The Els Club – Desaru Coast dari 23 hingga 29 September 2024.
Ramai yang mengenali Steffi berpendapat anda adalah seorang pemain yang hebat khususnya kala dipertanggunjawabkan dalam sepakan percuma hingga digelar “Queen of Free Kicks” malah dianggap tersendiri atau ’In Her Own League’, apa pandangan Steffi?
Ya, saya menerimanya dengan bangga. Tapi kita tak boleh lupa diri. Baguspun sebab kita berusaha dan kita tidak boleh leka dengan pujian. Malah pujian-pujian harus membuat kita mahu terus bekerja lebih keras lagi.
Pasukan Bola Sepak Wanita baru mendapat jurulatih baru Disember lalu? Sebagai kapten pasukan apa pandangan Steffi?
Jurulatih baru memanglah bagus kerana kita belajar perkara baru dan lain daripada yang kita tahu. Dan kita tahu setiap jurulatih, sedikit sebanyak mesti ada kelainan dan mahu menyuntik sesuatu pembaharuan demi kebaikan pemain dan pasukan , Namun memerlukan kerjasama dan kefahaman profesional supaya sama-sama
dapat merealisasikan impian.
As the captain of the team, saya merasakan satu tanggungjawab memastikan setiap pemain pasukan benar-benar faham faktor itu. Saya rasakan begitu besar tanggungjawab pada rakan sepasukan bagi membimbing muka-muka baru. Tekanan kerana sebagai senior mereka menaruh harapan pada saya. Saya mahu jadi contoh yang baik kerana mereka akan mengikut jejak langkah saya satu hari nanti. Sebab itu kena tegar berlatih dan perlu disiplin dan komitmen yang tinggi.
Saya berterima kasih dengan beberapa pihak yang cuba mengambil berat akan kebajikan pemain wanita seperti saya, namun usaha tersebut belum mencukupi dan terlalu banyak yang perlu ditambah dan diperbaiki lagi.
Untuk menjadi pemain bola antarabangsa memang impian ramai yang telah menceburi sukan ini namun senario bola sepak kita jika dibanding dengan negara jiran Asean seperti Thailand, Filipina dan Vietnam misalnya, kita masih ketinggalan. Ini kerana mereka telah ada planning development yang gigih dan serius. Begitupun saya yakin FAS dan beberapa pihak ada membuat usaha untuk menonjolkan sukan ini.