
Edisi keenam Perodua National Amateur Golf Series (PNAGS) 2026 telah dilancarkan secara rasminya di Templer Park Country & Golf Club, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pelancaran ini turut mencerminkan momentum berterusan kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) dalam mengetengahkan acara sukan bertaraf antarabangsa sebagai pemangkin kepada pertumbuhan pelancongan dan ekonomi negara.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II), Tourism Malaysia, YBhg. Encik Lee Thai Hung yang menyampaikan ucaptama. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa PNAGS merupakan platform strategik yang bukan sahaja mengangkat komuniti golf amatur negara, malah memperkukuh reputasi Malaysia sebagai hab penganjuran acara sukan bertaraf dunia.

“PNAGS 2026 bukan sekadar kejohanan yang merentasi 14 negeri sebelum kemuncaknya di Peringkat Akhir Kebangsaan. Ia adalah pentas yang mempamerkan semangat kesukanan, kolaborasi serta peningkatan profil Malaysia sebagai hab acara sukan bertaraf antarabangsa. Setiap hayunan dan setiap pusingan membawa peserta ke satu perjalanan lebih besar yang akhirnya menuju ke pentas berprestij,” katanya.
Kemuncak kejohanan ini adalah penyertaan ke World Amateur Golfers Championship (WAGC) World Final 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 31 Oktober 2026 di Desaru Coast, Johor. Acara berprestij ini dijangka menghimpunkan lebih 600 peserta dari 45 negara, menjadikannya antara kejohanan golf amatur paling berprestij di peringkat global.
Menurut beliau lagi, penganjuran PNAGS turut memberi impak signifikan kepada ekonomi pelancongan negara dengan membuka peluang kepada perniagaan tempatan, hotel dan operator pelancongan, di samping mempromosikan kepelbagaian tarikan Malaysia daripada pantai yang memukau hingga ke bandar-bandar dinamik dan warisan budaya yang kaya.
Sementara itu, Tan Sri Asmat Kamaludin menzahirkan komitmen berterusan Perodua sebagai penaja utama dalam memperkasa pembangunan sukan di peringkat akar umbi serta menyokong pertumbuhan pelancongan negara.

“Sebagai penaja utama, Perodua berbangga menerajui PNAGS dengan menyediakan platform kompetitif yang inklusif kepada pemain golf amatur di seluruh negara, sekali gus menyumbang kepada agenda pelancongan dan kebanggaan nasional,” katanya.
Acara pelancaran turut disusuli dengan sidang media, sesi rangkaian bersama media serta pusingan golf persahabatan melibatkan wakil media di Templer Park Country & Golf Club.
PNAGS 2026 dan WAGC World Final 2026 dianjurkan oleh Delta World Sdn Bhd yang komited memastikan penganjuran bertaraf dunia serta pengalaman bermakna kepada semua peserta dan pihak berkepentingan.


Kejayaan PNAGS 2026 turut disokong oleh barisan penaja termasuk Perodua (Penaja Utama), Outdoor Spectrum, Fella Design, Skechers Malaysia, ALPS, Padini, The Firefly Semporna Resorts, AirAsia, Frazer & Neave (F&N), DESA GOLF, IROAS, Hospitality 360 Sdn Bhd, Kami Malaysia Sdn Bhd, Le’ Botanical – Golf Defense, Golf Lab, The ELS Desaru Coast, YTL, Money Match, AGSSG Links, Pixel Block serta Templer Park Country & Golf Club selaku tuan rumah Peringkat Akhir Kebangsaan.


Sebagai kejohanan golf amatur utama negara dan platform kelayakan rasmi ke WAGC, PNAGS terus berkembang merentasi 14 pusingan kelayakan negeri. Seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, kejohanan ini dijangka menjadi pemangkin dalam mempromosikan kemudahan bertaraf dunia, tarikan pelancongan yang pelbagai serta layanan mesra Malaysia kepada khalayak antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan sukan pilihan dunia.
