MINI, jenama automotif premium kompak yang tercanggih di Malaysia pada hari ini telah memperkenalkan MINI John Cooper Works 3 Door dan MINI John Cooper Works Countryman yang terbaru untuk pasaran tempatan.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Daripada tiga kemenangan yang digarap di Monte Carlo Rally pada tahun 1960-an, hingga enam kejayaan yang dilakar di Dakar Rally baru-baru ini, keterujaan yang dibawakan oleh jentera MINI melalui DNA sukan permotorannya dibuktikan dari era demi era. MINI John Cooper Works 3 Door dan MINI John Cooper Works Countryman baharu merupakan hasil keulungan dalam sukan permotoran yang bersifat abadi, dan diperhalusi melalui kepakaran yang berusia bertahun lamanya di bawah nama ‘John Cooper Works’.”
Tambah beliau, “Nama ‘John Cooper Works’ terus meraih keterujaan dan kekaguman di Malaysia, seperti yang disaksikan melalui kejayaan luar biasa MINI Malaysia pada tahun 2020 yang mencatat penyerahan sebanyak 10% jentera John Cooper Works di peringkat tempatan. Dengan pengenalan model-model baharu ini, kami akan terus menyuntik nafas kepada sentimen ‘Big Love’ yang dijiwai oleh warga MINIacs.”
Melambangkan keunikan, hubungan antara MINI dan John Cooper Works adalah bertunjangkan tradisi serta kejayaan dalam arena permotoran yang berusia berdekad lamanya, digandingkan dengan semangat untuk menawarkan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan, individualiti, dan kualiti bertaraf premium. Meskipun mengikut arus alaf yang baharu, jentera MINI John Cooper Works 3 Door dan MINI John Cooper Works Countryman yang terkini masih menjulang warisan yang dikongsi bersama dalam membawakan keterujaan ala rali dalam pemanduan harian.
Iras yang bertemakan sukan permotoran klasik kini disegarkan untuk era baharu.
MINI John Cooper Works 3 Door baharu kini hadir dengan penampilan yang lebih moden. Wajahnya mempamerkan gril radiator yang baharu – kini lebih besar dan berbentuk heksagon dalam satu komponen tunggal yang mengunjur ke bawah, lantas memberikan jentera ini iras yang lebih megah di atas dan di luar litar lumba. Dalam heksagon tersebut, palang keselamatan dengan rona yang sama seperti tubuh jentera ini diselit dengan kemas, maka palang melintang berwarna merah yang terletak di hadapan dapat mencuri perhatian orang ramai yang melihat jentera ini. Turut menaik taraf penampilan jentera ini ialah lampu hadapan LED Adaptif (Adaptive LED), ia kini dilitupi dengan perumah dalaman baharu yang berwarna hitam, dan rekaan ini juga boleh dilihat pada
lampu belakang.
Sesuai dengan identiti sukan permotorannya, MINI John Cooper Works 3 Door baharu juga hadir dengan rongga udara penyejukan untuk memastikan sistem pemanduan dan brek berada pada tahap suhu yang optimum apabila jentera ini dipandu dalam kondisi ‘sporty’ yang ekstrem. Ketutup sisi yang bertemakan model kenderaan juga menghiasi panel sisi hadapan serta apron belakang – dan apron belakang ini turut didatangkan dengan peresap khas untuk mengoptimumkan aliran udara di seksyen belakang. Malah pembaharuan reka bentuk yang dibuat juga membolehkan kedua-dua paip ekzos kenderaan ini dibingkaikan dengan sempurna.
Kuasa dan keterujaan yang tiada tandingannya – MINI John Cooper Works Countryman baharu turut hadir dengan eksterior yang diperhalusi dan gubahan aksen yang lebih moden, termasuk elemen rekaan yang baharu pada komponen gril radiator. Dari hadapan, kerencaman teknologi pencahayaan yang berkualiti tinggi kini dapat dilihat dengan lebih jelas, manakala perwatakan MINI John Cooper Works Countryman baharu diserlahkan melalui rekaan lampu khas yang bertemakan Union Jack.
Trim eksterior Piano Black menghiasi MINI John Cooper Works 3 Door serta MINI John Cooper Works Countryman baharu, ia turut mempamerkan hendal pintu, logo MINI, serta jata model dalam warna hitam berglos tinggi. Lampu hadapan LED Adaptif yang bersertakan distribusi cahaya berciri boleh ubah dan fungsi matriks bagi lampu puncak juga ditawarkan sebagai standard bagi kedua-dua model.
Warisan DNA perlumbaan John Cooper Works.
MINI John Cooper Works 3 Door baharu dikuasakan oleh Enjin MINI TwinPower Turbo 2.0 liter 4 silinder, dibangunkan menerusi kepakaran John Cooper Works dalam bidang perlumbaan kereta. Turut digandingkan dengan Transmisi Steptronic Sport 8 Kelajuan, MINI John Cooper Works 3 Door baharu mampu menjana 231 kk (kuasa kuda) dan tork bernilai 320 Nm, serta berupaya memecut dari kelajuan 0 hingga 100 km/j hanya dalam masa 6.1 saat. Jentera ini mempunyai kelajuan tertinggi mencecah 246 km/j. Penggunaan bahan api direkodkan pada paras 6.3 liter bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100 kilometer, dengan emisi CO2 berkadar 143 g/km.