kecantikan

Me Time, Manjakan Diri

Tanyalah kepada kebanyakan wanita, siapa yang tidak sukakan aktiviti memanja dan membelai diri di spa? Ditemani aromaterapi menyinggah deria bau, keasyikan alunan muzik sayup-sayup di halwa telinga, dalam simbahan cahaya malap di ruang bilik dihias indah, hati mana tak berasa tenang dan nyaman. Kala tubuh terbaring di tilam empuk, jari-jemari terapi mengoles minyak membelai tubuh, inilah saatnya diri dilamun syurga dunia dambaan setiap wanita setelah seharian lelah membanting keringat dan minda.

Namun, dalam desakan ekonomi sekarang ini, mana mungkin aktiviti ini mampu menjadi rutin yang selalu boleh diamalkan, betul? Kebanyakan kos rawatan spa di ibu kota mencecah ratusan dan berada di bawah level kayangan. Atas kesedaran inilah, usahawan berasal dari Kuching, Sarawak, Sofia Ellen membuka spanya sendiri yang diberi nama Spa Alleia. Berkonsepkan ‘street spa’ dan rawatan mampu milik untuk setiap pelanggan, Spa Alleia ini telah dilancarkan pada 11.11.2024 pada jam 11.11 pagi di Ampang Galaxy, Kuala Lumpur.

Perasmian disempurnakan oleh Ketua Wanita & AJK Wanita UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Mar Daeng Matrok bersama Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kota Samarahan, YB Datuk Peter Minos bersaksikan kenalan dan sahabat, rakan media, blogger dan para pelanggan.

Spa Alleia memfokuskan pada rawatan urutan badan seperti Relaxing dan Traditional Massage, urutan kepala dan bahu, urutan refleksologi, skrub kaki, skrub badan, mandi bunga dan rawatan sampingan seperti resdung, ear candling, bekam angin, manicure dan pedicure.

Menurut Pengasas Spa Alleia, Puan Sofia Ellen, idea untuk membuka spa ini datang daripada minatnya sendiri yang sememangnya menyukai aktiviti rawatan spa. Ia menjadi aktiviti wajibnya sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk memanjakan diri di pelbagai spa sekitar Kuala Lumpur.

“Menyedari bahawa kebanyakan spa yang ada sekitar ibu kota agak tinggi harganya, menyebabkan saya terdetik kenapa tidak saya membuka spa sendiri yang mampu menawarkan servis yang sama tetapi pada harga mampu miliki untuk sesiapa sahaja yang menyukai aktiviti ini.

“Kita faham dengan kos kehidupan yang semakin tinggi hari ini, kebanyakan wanita terpaksa mengutamakan perbelanjaan yang lebih penting sehingga terpaksa mengenepikan kemahuan diri. Jadi, marilah semua ke Spa Alleia, saya belanja anda dengan pelbagai rawatan spa pada harga kasih-sayang serendah RM30. Sebagai wanita, saya memahami naluri mereka yang sesekali ingin membelai diri,” ujarnya penuh makna.

Dekorasi spa comel ini ditunjangi rona hijau zaitun yang menggambarkan elemen alam semulajadi dan organik. Ia menerapkan susun atur minimalis, kemas, bersih dan santai, sesuai dengan ruangnya yang terhad dan praktikal, namun memberi keselesaan sehingga pelanggan tidak mahu keluar pulang.

Leave a Comment