“Semua wanita yang minta cerai (gugat cerai) kepada suaminya tanpa alasan, maka haram baginya aroma surga” [HR Abu Dawud, At-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad, dan dishahihkan Syaikh Al-Albani dalam kitab Irwa’ul Ghalil, no. 2035]
Kahwin dan kemudian bercerai. Ada mengambilnya remeh, suka kahwin tak suka cerai. Semudah itu mereka ingat tentang hukum yang telah dibentangkan oleh Allah. Sementelah keadaan kahwin cerai menjadi berita hangat kebelakangan ini dan menjadi topik terpenting di merata media sosial dan tajuk-tajuk utama media massa dan media elektronik maka eloklah kamu hadam rencana di bawah ini.
Allah SWT berfirman di dalam surah An Nisa, ayat 35 “Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah orang tengah (untuk mendamaikan mereka, iaitu) seorang daripada keluarga lelaki dan seorang daripada keluarga pereka. Sekira orang tengah itu bertujuan untuk mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua suami isteri berpakai baik. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.
Hakam berfungsi untuk mendamaikan perpecahan antara suami isteri. Dalam konteks hari ini, apabila berlaku perpecahan, suami atau isteri akan memohon perceraian di Mahkamah Syariah. Hakim akan mengeluarkan perintah kepada pasangan setelah membuat keputusan mengenai permohonan perceraian tersebut.
Hakim:
Seseorang yang dilantik oleh kerajaan dan memegang jawatan rasmi dalam bidang kehakiman sebagai pengadil atau hakim dalam Mahkamah.
Hakam:
Seseorang penimbang tara yang diberi kuasa oleh pihak-pihak atau oleh Mahkamah untuk menyelesaikan perkelahian (shiqaq) antara suami dan isteri.
Majlis Tahkim:
Sesi timbang tara yang melibatkan pertemuan suami dan isteri bersama dengan Hakam untuk tujuan perdamaian atau perceraian dengan lafaz talaq atau khul’ (tebus talak).
Proses Hakam:
Ia bermula apabila suatu permohonan di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 difailkan oleh isteri dan suami enggan menceraikan isteri.
Hakim akan mengarahkan pasangan untuk hadir ke sesi Jawatankuasa Pendamai (JKP). Sekiranya proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) gagal dan mahkamah mensabitkan shiqaq (perkelahian antara suami dan isteri yang berlarutan sehingga menjejaskan kerukunan rumah tangga) maka Hakim akan membuat keputusan sama ada Majlis Tahkim diperlukan atau pun tidak.
Hakim akan mengguna pakai Seksyen 48 Enakmen UndangUndang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 sekiranya berpuas hati bahawa perkelahian (shiqaq) sentiasa berlaku antara pihakpihak kepada suatu perkahwinan. Mahkamah boleh melantik, mengikut Hukum Syarak, dua orang penimbang tara atau Hakam untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri yang berkenaan itu masing-masing.
Pelaksanaan Majlis Tahkim bermula selepas pelantikan Hakam dibuat. Terdapat dua peringkat Majlis Tahkim iaitu:
- Peringkat Hakam Kerabat (Keluarga) – Hakam suami melafazkan talaq setelah mendapat keizinan daripada suami.
- Peringkat Hakam Mahkamah – Hakam suami melafazkan talaq setelah mendapat kebenaran Mahkamah.
Hukum talaq peringkat Hakam Kerabat adalah Raji’ manakala peringkat Hakam Panel Mahkamah dengan kuasa penuh adalah Bain Sughro dan bekas suami tidak boleh merujuk bekas isterinya semula melainkan dengan akad nikah yang baru.
Penyelesaian kes melalui Hakam dapat diselesaikan dengan segera lazimnya dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh pelantikan Hakam berbanding ta’liq dan fasakh.
Kadar ‘iwadh (tebus talak dengan pampasan sama ada wang atau harta) bagi perceraian secara khul’ melalui Hakam diputuskan oleh kedua-dua hakam suami dan isteri.
Oleh itu, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) telah menyediakan Kaedah Hakam yang berstruktur bagi menyelesaikan kes-kes perceraian dengan tempoh yang minimum kerana prosiding telah dipercepatkan dengan adanya Hakam yang diberi kuasa penuh oleh Hakim.
Apakah sebenarnya perceraian secara hakam dan bagaimana ia ia boleh dijalankan? Berikut 20 fakta berkaitannya:
- Bagaimana perceraian secara hakam boleh dilakukan? Apabila suami enggan menceraikan isteri, mahkamah akan melantik suatu jawatankuasa pendamai.
- Jawatankuasa pendamai ini terdiri daripada seorang pegawai agama, seorang wakil suami, dan seorang wakil isteri.
- Keutamaan diberikan kepada saudara atau ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak. Penubuhan jawatankuasa pendamai ini adalah untuk mencapai perdamaian di antara suami dan isteri. Mereka diberi tempoh selama enam bulan dari tarikh jawatankuasa dibentuk.
- Dalam tempoh tersebut, suami dan isteri diberi peluang memberikan pendapat termasuk memanggil wakil untuk siasatan dan pandangan. Namun tempoh enam bulan tersebut juga boleh menjadi lebih lama jika mahkamah memutuskan ada keperluan untuk melanjutkan tempoh perdamaian.
- Jika selepas tempoh perdamaian itu, suami dan isteri bersetuju untuk berdamai, maka permohonan perceraian boleh ditarik balik. Tetapi jika suami dan isteri enggan berdamai atau suami tidak mahu melafazkan cerai, maka kes akan dirujuk kepada hakam.
- Sebelum itu, kita perlu tahu apa maksud ‘hakam’. Hakam ertinya seorang penimbang tara yang diberi kuasa oleh pihak-pihak atau oleh mahkamah untuk menyelesaikan perkelahian (syiqaq) antara suami dan isteri.
- Hakam diperuntukkan di bawah Seksyen 47(14) dan Seksyen 48 di bawah akta yang sama.
- Hakam terdiri daripada saudara karib suami dan isteri yang mempunyai maklumat berkaitan isu rumah tangga pihak suami dan isteri.
- Hakam mestilah lelaki beragama Islam, berakal, mukalaf, adil dan amanah, serta mempunyai pengetahuan asas dalam hal kekeluargaan dan hukum sarak.
- Hakam dilantik apabila mahkamah berpuas hati, perkelahian (syiqaq) sentiasa berlaku dalam tempoh perkahwinan walaupun selepas usaha perdamaian dilakukan pada peringkat jawatan kuasa pendamai.Pemilihan hakam adalah penting. Sebagai contoh, hakam mestilah tidak bersifat berat sebelah dan tidak mempunyai kepentingan peribadi.
- Oleh itu, hakam mestilah seorang yang jujur, adil, bersabar dan berusaha untuk menyelesaikan pertelingkahan suami dan isteri.
- Jika suami dan isteri gagal mengemukakan hakam masing-masing, Mahkamah akan melantik seorang hakam dari kalangan anggota Panel Hakam atau mana-mana Pegawai Syariah atau Pegawai Hal Ehwal Islam atau Pegawai Majlis yang mahir dalam bidang kekeluargaan dan Hukum Syarak.
- Fungsi hakam adalah untuk menamatkan perkelahian antara suami dan isteri dengan cara mendamaikan atau memisahkan kedua-duanya dengan talak atau khuluk
- Hakam mesti mempunyai kuasa penuh daripada prinsipal yang mana hakam juga boleh melafazkan talak atau khuluk di hadapan mahkamah bagi pihak suami.
- Hakam bagi isteri pula mempunyai kuasa untuk menerima lafaz khuluk di hadapan mahkamah.
- Namun, jika hakam berpendapat pasangan itu patut bercerai tapi tidak dapat memerintahkan perceraian atas sebab lain seperti hakam tidak mendapat kuasa penuh daripada prinsipal atau menarik diri, maka mahkamah boleh melantik hakam yang lain untuk proses yang sama.
- Jika hakam suami enggan melafazkan cerai dan meminta perceraian secara tebus talak dan hakam isteri bersetuju, mahkamah boleh mengarahkan perceraian secara tebus talak.
- Prosiding tidak diteruskan jika pihak suami gagal menghadirkan diri ke mahkamah dan tidak melantik hakam.
- Pada masa itu, perceraian akan diteruskan melalui proses fasakh atau taklik.
- Prosiding hakam lazimnya mengambil masa lebih kurang enam bulan hingga setahun dengan syarat kedua-dua pihak memberikan kerjasama yang baik.
Sumber JAIS