GAYA HIDUP

KEMERDEKAAN HAKIKI

Kita lihatkan sorakan Jalur Gemilang,
Senyum riang raikan Bulan Merdeka.
Seronok, Indah, damai, bahagia dan Syukur,
Penjajahan fizikal sudah berakhir dan pergi meninggalkan kita.

Namun, KITA risau dan bimbang..
Adakah erti kebebasan sekadar laungan merdeka?
Adakah merdeka kita bermakna mengibarkan Jalur Gemilang?
Adakah merdeka kita dengan menjadi negara terkaya?
Adakah merdeka kita dengan adanya bangunan tinggi mencakar langit?
Atau bagaimana?

Persoalannya ialah,
Adakah kita pasti bahawa tanah air ini tidak akan dijajah lagi?

Sepatutnya kita patut risaukan jiwa-jiwa yang akan mengisi pencakar langit kita,
Sepatutnya kita wajib merdeka dari penjajahan idealisme ciptaan yang membunuh jiwa merdeka,
Bebas dari dijajah minda dan hatinya.

Kita patut bebas untuk menyampaikan khutbah di masjid tanpa sebarang kecohan,
Kita patut bebas memperkukuh Islam kita dalam negara
Kita patut bebas meninggikan syariat Allah
Kita patut bebas membina sunnah Nabi dalam kehidupan

Kita perlu lihat kembali bagaimana Nabi kita memahami erti merdeka.
Ketika kita mula dijajah sejak 400 ratus lepas…
Mengapa tidak semangat kemerdekaan Madinah dikibarkan sentiasa?
Kerana prioriti Nabi ialah memerdekakan hamba-hamba dunia,
menjadi hamba Allah semata-mata.

Merdeka kita bila kita dapat sujud dan taat pada Ilahi,
Di mana saja kita berada,
Pada bila waktu pun,
Tanpa sebarang persoalan.

Apa erti Merdeka..?
Bila jiwa jiwa kosong dari hidayah Allah
Apa erti Merdeka ..?
Maksiat mungkar bebas berleluasa di merata rata
Apa erti merdeka..?
Apabila cara hidup masih berkiblat cara hidup penjajah…
Apa erti merdeka..?
Apa bila pemikiran terjajah dengan pelbagai fahaman yang menyimpang dari kebenaran Al Quran.

Maka kita perlu tambah erti merdeka,
Masih banyak perlu dibaiki,
Masih banyak yang perlu kita bangunkan,
Hentikan kita hanya mengkritik semata,
Namun kerahkan qudrat membina jatidiri Muslim sejati
Berlandas Al Quran & Sunnah yang hakiki
Untuk mengisi Kemerdekaan Hakiki
Di Bumi Pertiwi ini…

As Syahid Imam Hasan Al Banna ada berkata,
Andai Islam sebuah bangunan usang,
hampir roboh.
Maka akanku berjalan ke seluruh dunia,
mencari jiwa-jiwa yang tandus,
Bukan untuk mengutip bilangan.
Tetapi untuk mengumpul hati-hati yang ikhlas,
untuk membantu dan menegakkan kembali
bangunan yang usang dan hampir robek itu,
menjadi bangunan yang tersergam indah.

Ayuh Sahabatku…
Merdekakan minda dari kesesatan
Merdekakan diri dari kemaksiatan
Merdekakan aqal dari kejahilan
Merdekakan generasi muda dari belenggu kemungkaran
Merdekakan sikap dari kelupaan dan kelalaian
Dan ingat tujuan kita ..
Untuk merdekakan diri dari dari Neraka Jahanam yang amat menghinakan berlandaskan cara hidup yang ada pedoman

Mari Kita Bersama…
Di Hari Kemerdekaan Ini
Kita Suburkan Keimanan
Kita bangunkan ketaqwaan
Kita kukuhkan ukhuwwah dan persahabatan
Kita kuburkan dendam dan kebencian
Kita leburkan perbalahan dan persengketaan
Kita Hidup di bawah lembayung Al Quran
Memiliki jatidiri mengisi erti kemerdekaan
Damai dan tenteram sebagai makhluk ciptaan TUHAN.
Menghiasi kemerdekaan dengan kebenaran.

SELAMAT HARI MERDEKA

Drp
Ust Hj Wan Hamidi Bin Wan Mat
Yayasan Bina Insan Malaysia ( YBIM )

💖🌕💖🌕💖🌕💖🌕💖🌕

Related posts

Ku Ucapkan Syukur Untuk Hari Yang Indah Ini

admin

10 Cara Menurunkan Kolesterol

admin

Kabinet Privé Meraikan Tahun Baru Cina & Valentine Dengan Majlis Makan Tengahari Bersama Tetamu Kelas Atasan

admin

Leave a Comment