FESYEN

Kebaya: Sehelai Busana, Seribu Kisah Warisan

“Sehelai kain mungkin boleh menutupi tubuh, tetapi sehelai kebaya menyimpan sejarah, budaya dan maruah seorang wanita.”

Seorang wanita menyarung kebaya. Langkahnya saya lihat menjadi lebih tertib, geraknya lebih lembut, sementara senyumannya seolah-olah membawa bersama warisan yang telah merentasi zaman. Saat itu hati berkata, “Kebaya bukan sekadar pakaian tradisional. Ia adalah bahasa budaya yang tidak pernah berhenti berbicara.”

Kebaya sering dikaitkan sebagai identiti wanita Melayu, hakikatnya asal-usul kebaya jauh lebih luas dan merentasi sempadan Nusantara. Sejarah memperlihatkan bahawa kebaya berkembang hasil pertemuan pelbagai tamadun – daripada pengaruh Timur Tengah, China, India sehingga ke Eropah – sebelum akhirnya menemukan identitinya sendiri di Kepulauan Melayu.

Perkataan “kebaya” dipercayai berasal daripada perkataan Arab abaya, iaitu pakaian longgar yang dipakai wanita di Timur Tengah. Apabila pedagang Arab tiba di rantau Nusantara sekitar abad ke-15, mereka membawa bersama budaya berpakaian yang lebih sopan dan longgar. Busana itu kemudiannya mengalami transformasi mengikut cita rasa tempatan, cuaca tropika serta kemahiran tukang jahit Melayu dan Jawa.

Di Jawa, kebaya mula berkembang sebagai pakaian harian wanita bangsawan di istana Kesultanan Majapahit sebelum diteruskan pada era Kesultanan Mataram. Potongannya lebih kemas, berkolar V, dengan bukaan di bahagian hadapan yang dipadankan bersama kain batik atau songket.

Apabila kebaya tiba di Tanah Melayu, ia disesuaikan pula dengan budaya masyarakat tempatan. Wanita Melayu mula memadankannya dengan kain tenun, songket dan batik, manakala pemakaian kerongsang tiga serangkai menjadi pelengkap yang cukup sinonim sehingga hari ini.

Menariknya, setiap negeri dan setiap komuniti mempunyai tafsiran tersendiri terhadap kebaya.

Di Melaka dan Pulau Pinang misalnya, lahirlah Kebaya Nyonya yang terkenal dengan sulaman halus, renda import dan fabrik voile yang ringan. Warna-warnanya lebih terang, manakala kasut manik yang dipakai bersama menjadi lambang kehalusan seni masyarakat Peranakan.

Di Johor pula muncul Kebaya Riau-Pahang, dengan potongan lebih longgar, labuh dan sopan, mencerminkan pengaruh istana Melayu. Di Selangor dan Perak pula, kebaya sering dipadankan dengan kain songket tenunan tempatan bagi acara rasmi dan istiadat.

Apa yang menjadikan kebaya begitu istimewa ialah kemampuannya menyesuaikan diri mengikut zaman tanpa kehilangan jati dirinya.

Pada era kolonial, wanita bangsawan Melayu, Nyonya Peranakan dan isteri pegawai Belanda sama-sama mengenakan kebaya, tetapi dengan gaya yang berbeza. Busana ini menjadi simbol status sosial, pendidikan dan keanggunan wanita Asia Tenggara.

Memasuki era kemerdekaan, kebaya terus berkembang sebagai pakaian rasmi negara. Ia dipakai oleh guru, pramugari, petugas hospital, diplomat dan wanita korporat sebagai lambang profesionalisme yang masih berakar pada budaya.

Dalam dunia fesyen moden hari ini, pereka tempatan berjaya memberikan nafas baharu kepada kebaya. Potongan menjadi lebih minimalis, fabrik lebih kontemporari, sementara sulaman tradisional digabungkan dengan teknik jahitan moden. Namun, walau apa pun inovasinya, roh kebaya tetap sama – meraikan keanggunan wanita dengan penuh kesopanan.

Keistimewaan kebaya akhirnya mendapat pengiktirafan dunia apabila budaya pemakaian kebaya di rantau Asia Tenggara diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara oleh UNESCO. Pengiktirafan ini membuktikan bahawa kebaya bukan milik satu negara semata-mata, tetapi menjadi warisan bersama yang lahir daripada sejarah, perdagangan, perkahwinan, migrasi dan pertukaran budaya yang telah berlangsung selama berabad-abad.

Bagi masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, kebaya juga menjadi simbol perpaduan. Wanita Melayu, Baba Nyonya, malah wanita daripada pelbagai latar belakang bangsa terus memilih kebaya untuk majlis rasmi, sambutan kebudayaan dan acara istimewa kerana keindahannya yang bersifat sejagat.

Di sebalik jahitan yang halus, butang kerongsang yang berkilau dan lipatan kain yang kemas, tersimpan kisah tentang ibu yang mewariskan kebaya kepada anak perempuan, nenek yang menyimpan kebaya perkahwinannya puluhan tahun, serta generasi muda yang kembali menghargai warisan lama dengan sentuhan baharu.

Kebaya bukan sekadar sehelai pakaian. Ia adalah helaian sejarah yang masih hidup, warisan yang masih dipakai, dan identiti wanita Nusantara yang akan terus mekar, dari satu generasi ke satu generasi.

Di almari baju saya, masih ada beberapa helai yang disangkut bersama baju yang lain, menunggu badan ini kurus sedikit untuk saya pakai lagi pada majlis-majlis perkahwinan. InsyaAllah.

Related posts

Majalah WM Takluk Pentas FMA 2025 Dengan Nuansa Anggun, Glamor

Afiza Kamarulzaman

Kasih Bapa Mekar di HABIB

admin

PESTA EMAS HABIB PAPARKAN SENTIMEN SEMASA TERHADAP EMAS

adminwm

Leave a Comment